Search
Close this search box.
Datu Hii Chang Kee berkata acara larian baton SUKMA Sarawak 2024 dan Para SUKMA Sarawak 2024 Bahagian Sarawak akan dilancarkan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto Muqri Aziz (TVS)

Premier Sarawak rasmi Larian Baton SUKMA Sarawak di Waterfront Kuching

ByMuqri Aziz

SERIAN, 16 Jun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan merasmikan acara Larian Baton Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dan Para SUKMA Sarawak 2024 Bahagian Kuching di Waterfront Kuching pada 23 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee berkata, Bahagian Kuching akan menjadi bahagian ke-12 dan terakhir di Sarawak bagi acara larian itu setelah dimulakan di Bahagian Limbang di Lawas pada 27 April lepas.

Menurutnya, acara itu turut akan disertai hampir 2,000 peserta dari pelosok bahagian itu kelak yang bertujuan bagi mempromosi serta mewar-warkan kedua-dua temasya tersebut kepada semua masyarakat setempat.

“Selain daripada larian baton, acara sampingan adalah Sarawak X-Tive yang dianjurkan oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSD) bersama dengan larian baton.

”Bukan itu sahaja, semasa berlangsungnya kedua-dua temasya itu kelak, kita akan adakan Karnival SUKMA dan Para SUKMA di tapak-tapak pertandingan dan juga perkampungan yang terdiri daripada berbagai komponen seperti makanan, minuman, cenderamata dan juga ada gerai jualan yang melibatkan penaja serta usahawan-usahawan tempatan juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Larian Baton SUKMA Sarawak 2024 dan Para SUKMA Sarawak 2024 di Serian Conference Centre di sini hari ini.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, Sarawak kini sudah bersedia menerima 15 kontinjen terdiri daripada semua negeri di Malaysia serta Brunei Darussalam yang akan bertanding kelak serta persiapan atlet kini turut giat dilaksanakan bagi memastikan kejuaraan keseluruhan bakal milik Sarawak pada edisi kali ini.

“Setakat ini, ada beberapa atlet dari kontinjen Sarawak berada di luar negeri bagi tujuan diberi pendedahan serta mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan tempatan di luar negeri dan sudah semestinya kita mengharapkan satu keputusan yang cemerlang.

“Kontinjen Sarawak telah diamanahkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta menteri-menteri pengelola bersama supaya Sarawak menjadi juara SUKMA pada kali ini dengan mengambil peluang keemasan sebagai tuan rumah tahun ini,” tambahnya.

Ditanya mengenai sasaran pingat bagi kontinjen Sarawak pada edisi kali ini, Chang Kee berkata, perkara itu akan diumumkan pada suatu masa yang sesuai.

“Walaupun kontinjen Sarawak telah mensasarkan sebanyak 83 pingat emas bagi Para SUKMA Sarawak 2024, tetapi untuk SUKMA Sarawak 2024 kita tunggulah dan nantikan pada saat yang betul.

“Jika tiba pada waktu yang tepat, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahupun Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah akan mengumumkannya,” katanya lagi.

Sebelum acara larian itu tiba di Bahagian Kuching, acara itu akan singgah di Bahagian Samarahan yang akan diadakan pada 22 Jun ini di The Summer Mall Shopping Mall, Kota Samarahan, sebelum bergerak ke Bahagian Kuching dan seterusnya melengkapkan kesemua bahagian yang dilaluinya di seluruh pelosok wilayah ini bagi acara larian baton tersebut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan