Search
Close this search box.
Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) melaungkan amaran dalam misi mempertahankan gelaran selepas menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 4-0 pada perlawanan pusingan pertama Piala FA 2024/2025 di Stadium Sultan Ibrahim semalam. Foto JOHOR Southern Tigers (FB)

Piala FA: JDT laung amaran, Sabah berpesta gol di Likas

ByBernama

ISKANDAR PUTERI, 16 Jun: Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) melaungkan amaran dalam misi mempertahankan gelaran selepas menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 4-0 pada perlawanan pusingan pertama Piala FA 2024/2025 di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi.

Skuad Harimau Selatan itu akan berdepan pasukan semi-pro Liga A1, Malaysian University yang mengejutkan PDRM 3-0 Rabu lepas, pada peringkat suku akhir yang dijadual bermula hujung bulan ini.

Pada aksi malam tadi, JDT terpaksa menunggu sehingga ke penghujung separuh masa pertama untuk membuka tirai jaringan menerusi tandukan penyerang import sensasi Fernando Forestieri yang menerima hantaran dari Murilo Henrique pada minit ke-44.

Pasukan tuan rumah kendalian Hector Bidoglio menambah jaringan pada minit ke-61 selepas penyerang gantian Romel Morales berjaya menyambar bola muntah tampanan KDN Mohd Muhaimin Mohamad selepas penjaga gol itu bertindak cemerlang menyelamatkan penalti diambil Juan Muniz.

Percaturan Bidoglio terus tampak berhasil apabila seorang lagi pemain gantian Francisco Geraldes mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-81 sebelum pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi melengkapkan kejayaan JDT menerusi penalti pada masa tambahan babak kedua.

JDT berpeluang merangkul gelaran Piala FA keempat selepas memenanginya pada musim 2016, 2022 dan 2023 sementara Johor FA pernah muncul juara pada 1998.

Di KOTA KINABALU, pasukan tuan rumah Sabah FC menempah tiket ke suku akhir dengan bergaya selepas berpesta gol membelasah pasukan Liga A1 Kuala Lumpur (KL) Rovers 7-0 pada satu lagi aksi pusingan pertama di Stadium Likas.

Penyerang import skuad Sang Badak Ramon Machado paling mencuri tumpuan apabila menjaringkan hatrik selepas meledak gol masing-masing pada minit ke-28, 45 dan minit ke-59.

Empat lagi gol skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu masing-masing dijaringkan Saddil Ramdani pada minit ke-17, Park Tae-su (51’), Jafri Firdaus Chew 73’) dan jaringan sendiri Raffli Nagoorgani pada masa tambahan babak kedua.

Menanti Sabah yang merangkul gelaran tunggal Piala FA pada 1995 di pusingan lapan terbaik ialah juara dua kali Terengganu FC. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan