Search
Close this search box.
Khutbah Arafah bertajuk ‘Kembali Kepada Fitrah’ kepada jemaah haji Malaysia yang berwukuf di bumi Arafah di sini, hari ini. Foto Zen Hashim (TVS)

Khutbah Arafah: Ajak umat Islam kembali kepada fitrah mentaati Allah SWT

ByLuqman Muhammad

MEKAH, 15 Jun: Umat Islam diseru untuk memperbanyakkan solat taubat dan berdoa memohon keampunan daripada Allah SWT atas kesalahan dan kekhilafan selama ini.

Justeru itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyeru agar seluruh umat Islam di negara terutama para jemaah haji untuk cekal memberi tumpuan seluruh jiwa dan raga untuk kembali kepada fitrah mentaati Allah SWT.

“Tanamkan keazaman yang kuat untuk tidak mengulangi maksiat yang pernah kita lakukan. Mohonlah keampunan terhadap segala dosa yang pernah kita lakukan tanpa segan dan malu sedangkan Allah Maha Melihat perbuatan dosa yang kita lakukan.

“Malulah kita kepada Allah SWT yang Maha Baik dan terus melimpahkan rahmat dan nikmat-Nya kepada kita yang sangat hina ini. Malulah juga kepada Allah SWT yang Maha Pengampun, malah Dia sentiasa menyeru kita untuk memohon keampunan dan rahmat-Nya walau dosa kita tinggi menggunung,” kata Mohd Na’im.

Muhd Na’im berkata demikian menerusi Khutbah Arafah bertajuk ‘Kembali Kepada Fitrah’ kepada jemaah haji Malaysia yang berwukuf di bumi Arafah di sini, hari ini.

Menurut Mohd Na’im dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Dzar, Nabi SAW bersabda, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai hamba-hambaku! Sesungguhnya kamu melakukan kesalahan (dosa) pada waktu malam dan siang, sedangkan Akulah yang dapat mengampuni semua dosa, maka mohonlah keampunan, nescaya Aku akan mengampuni dosa kamu”. (Hadis riwayat Imam Muslim).

“Justeru, laksanakanlah segala rukun dan wajib haji dengan penuh tertib dan penghayatan yang tinggi. Iringilah setiap langkah tersebut dengan jiwa yang penuh pengharapan kepada Allah SWT agar kita mendapat rahmat dan keampunan dari-Nya.

“Tetaplah istiqamah beramal dan bersungguh-sungguh melaksanakan setiap perintah-Nya dengan sabar dan ikhlas agar ibadah haji yang dilaksanakan ini dapat menjadikan kita hamba Allah yang soleh dan musleh.

“Curahkan segala nikmat kemanisan beribadah sepanjang kita melaksanakan ibadah haji ini sehingga masyarakat kita di Malaysia mendapat kesannya dan melahirkan sebuah masyarakat yang bertamadun atau Madani dan memahami agama Islam sebagai sebuah agama fitrah,” ujarnya lagi.

Pada akhir khutbah tersebut Mohd Na’im mengajak jemaah untuk bersama-sama melaksanakan ibadah haji ini dengan penuh keimanan dan keinsafan serta mencapai maqasid dan tujuan haji yang ingin Allah SWT anugerahkan kepada hambaNya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan