Search
Close this search box.
Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Umum Sarawak mendedahkan purata umur pesakit yang mengalami kegagalan jantung kini semakin muda. Foto hiasan Envato

Astrazeneca, Hospital Umum Sarawak guna AI rawat kegagalan jantung

ByOdleen Catherny

KUCHING, 14 Jun: AstraZeneca dan Hospital Umum Sarawak (SGH) mengumumkan kerjasama baharu menerusi program Heart2Miss, inisiatif dengan tujuan menangani cabaran dalam diagnosis kegagalan jantung.

Kerjasama ini juga bagi menambah baik penjagaan kesihatan bagi pesakit diabetes jenis-2 yang mengalami kegagalan jantung.

“Inisiatif perintis inovatif ini juga akan memupuk integrasi ultrasound titik penjagaan yang dikuasakan Kecerdasan Buatan (AI) (AI-POCUS) atau Al-powered point-of-care ultrasound (AI-POCUS) ke dalam ujian saringan ekokardiogram bagi mendapatkan diagnosis kegagalan jantung yang lebih baik dalam individu dengan risiko diabetes yang tinggi.

Kajian ini berhasrat memperbaiki haluan pengesanan awal kegagalan jantung bagi pesakit dengan mengalihkan diagnosis kepada pengesanan dalam komuniti bagi mengenal pasti lebih ramai pesakit peringkat awal dan membantu mencegah kerosakan jantung yang kritikal,” menurut kenyataan media yang dikongsi, pada Jumaat.

Terdahulu, kerjasama yang diumumkan hari ini di Hospital Umum Sarawak (SGH) disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Presiden AstraZeneca Malaysia, Vinod Narayanan, dan SGH diwakili Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr Ngian Hie Ung, Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Umum Sarawak, Dr Alan Fong, dan Penyiasat Utama Heart2Miss dari Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Umum Sarawak, Dr Diana Foo.

Dalam kenyataan bersama, Vinod Narayanan berkata dengan menyediakan AI-POCUS di klinik komuniti, pihaknya dapat meningkatkan akses orang ramai kepada ujian saringan awal untuk Kegagalan Jantung (HF).

“Melalui pendekatan ini, kami boleh memperbaiki hasil rawatan pesakit dengan ketara dengan membolehkan pengesanan kegagalan jantung yang awal dan memastikan intervensi yang tepat pada masanya,” kata kenyataan berkenaan.

Kajian perintis ini akan menggunakan kaedah pemeriksaan dan pengesanan yang inovatif menggunakan peranti Al-POCUS mudah alih yang dikendalikan oleh pegawai baharu untuk membantu mengesan kegagalan jantung melalui analisis dan tafsiran imej lanjutan.

Algoritma Al dalam sistem ini boleh membantu mengenal pasti keabnormalan jantung tertentu yang berkaitan dengan kegagalan jantung seperti fungsi ventrikel terjejas, pembesaran dimensi ruang, dan corak aliran darah yang tidak normal.

Sebagai pemula kajian Heart2Miss, Dr Diana Foo mendedahkan di Malaysia, purata umur pesakit yang mengalami kegagalan jantung semakin muda dengan satu daripada lima pesakit akan dimasukkan semula ke hospital dalam tempoh masa 30 hari, dan satu daripada tiga akan meninggal dunia dalam tempoh masa setahun selepas dimasukkan akibat daripada kegagalan jantung.

“Projek Heart2Miss bertujuan untuk menangani isu ini dengan memperluaskan skop diagnostik dari hospital kepada masyarakat untuk mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi walaupun simptom belum muncul,” jelas kenyataan lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan