Search
Close this search box.
Cadangan mewujudkan Majlis Daerah Gedong telah dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Foto Facebook Gedong

Kerajaan Persekutuan lulus cadangan wujud Majlis Daerah Gedong

ByBernama

PUTRAJAYA, 13 Jun: Kerajaan Persekutuan meluluskan cadangan mewujudkan Majlis Daerah Gedong di Sarawak sekali gus menjadikan bilangan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara sebanyak 156 setakat ini.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam satu kenyataan hari ini berkata cadangan mewujudkan Majlis Daerah Gedong telah dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Majlis Daerah Gedong akan mentadbir keseluruhan daerah Gedong selaras dengan keputusan kerajaan Sarawak yang melaksanakan persempadanan semula kawasan pentadbiran baharu Daerah Gedong berkuat kuasa 1 Mac 2022.

Ketika ini, daerah Gedong terletak di dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Simunjan. Daerah Gedong seluas 612 kilometer persegi (km2) (61,200 hektar) dahulunya menjadi sebahagian daerah Simunjan yang berada dalam bahagian Samarahan.

Bilangan penduduk daerah Gedong yang akan ditadbir Majlis Daerah Gedong adalah seramai 14,424 orang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong kini diwakili oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Nga berkata antara kriteria ditekankan kementerian mengenai keperluan Majlis Daerah Gedong bagi menyediakan perkhidmatan PBT pada tahap cemerlang serta penyediaan kemudahan infrastruktur dan utiliti awam yang dapat dinikmati oleh warga daerah itu.

“Penekanan kepada kriteria ini bagi memastikan langkah pewujudan Majlis Daerah Gedong dapat memenuhi harapan dan kehendak Kerajaan MADANI dan aspirasi rakyat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat, meningkatkan daya saing negara dan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata kewujudan Majlis Daerah Gedong diharap dapat membantu kerajaan dalam pelaksanaan pelbagai projek dan program di Bahagian Samarahan yang diputuskan melalui Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan.

“Ia dijangka merangsang lagi pertumbuhan sosioekonomi rakyat dan pembangunan khususnya di daerah Gedong,” katanya.

Nga berharap melalui kelulusan ini, Majlis Daerah Gedong dapat memberikan perkhidmatan PBT yang terbaik bagi memastikan manfaat pembangunan di daerah itu dapat dinikmati oleh rakyat sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan untuk membina masyarakat berteraskan Malaysia MADANI.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan