Search
Close this search box.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman. Foto fail TVS

Tuntutan dibuat Sarawak, Sabah tidak berniat mencabar kuasa Kerajaan Persekutuan – Fazzrudin

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 11 Jun: Segala tuntutan yang dibuat oleh Sarawak dan Sabah tidak berniat untuk mencabar kuasa Kerajaan Persekutuan, malah selama ini ia bukanlah sesuatu perkara yang baharu, kata Fazzrudin Abdul Rahman.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak itu berkata, tuntutan-tuntutan tersebut adalah berdasar dan berlandaskan kepada apa yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang merupakan perjanjian yang dimeterai bagi penubuhan negara ini.

“Kita juga harus sedar bahawa MA63 telahpun dirujuk sebagai instrumen Perlembagaan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini membuktikan betapa pentingnya perjanjian ini dalam menentukan hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Semua perkara yang dituntut adalah hak yang sewajarnya berdasarkan perjanjian asal dan Perlembagaan Persekutuan. Hal ini seperti yang pernah ditegaskan oleh arwah Pehin Sri Adenen Satem sebelum ini iaitu ‘no more, no less’,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Fazzrudin berkata demikian bagi merujuk kepada kenyataan daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim semalam, yang mendakwa tindakan-tindakan Sarawak sebagai mencabar kuasa Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, mengenai soal minyak dan penubuhan PETROS, beliau menyifatkan perkara tersebut juga adalah berlandaskan kepada undang-undang yang ada pada Sarawak seperti Oil Mining Ordinance 1958 dan Distribution of Gas Ordinance 2016.

Tambah Fazzrudin, mengenai soal pendidikan dan penggunaan Bahasa Inggeris di Sarawak pula, perkara itu sudahpun termaktub dalam Perenggan 17 InterGovernmental Committee Report (IGC) 1962 sejak dari dahulu lagi.

“Oleh itu, permintaan dan tuntutan daripada Sarawak tidak seharusnya menimbulkan cabaran terhadap sistem Persekutuan (Federalism) tetapi sebaliknya, setiap isu atau hak-hak yang dituntut adalah selaras dengan hak-hak Sarawak di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Ini diperkukuhkan lagi dengan adanya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diperjuangkan melalui diplomasi dan perundingan yang baik dan harmoni antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” ujarnya.

Sehubungan itu, menurut Fazzrudin, ini membuktikan keupayaan Kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama dengan baik bersama Kerajaan Sarawak dan ia bukanlah satu kelemahan dan tiada keresahan timbul mengenai wujudnya cabaran-cabaran ini.

Katanya lagi, kemampuan untuk berkolaborasi dan menyelesaikan isu-isu serta bukan sahaja permintaan dari Sarawak dan Sabah adalah bukti keberhasilan sistem federalisme dan hubungan baik di antara Kerajaan Persekutuan dan juga negeri.

“Keberanian Sarawak untuk bersuara dalam menuntut hak mereka sebenarnya dipengaruhi oleh sikap terbuka pihak Kerajaan Persekutuan dalam mendengar isu-isu kerajaan negeri, yang berbeza dengan sebelum ini, bukanlah kerana kelemahan Kerajaan Persekutuan seperti yang dinyatakan Parlimen Pasir Gudang,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan