Search
Close this search box.
Projek menaik taraf 403 klinik kesihatan di negara ini yang dikenal pasti sebagai klinik daif menerusi peruntukan RM150 juta menunjukkan perkembangan positif dan diharapkan dapat disiapkan akhir tahun ini. Foto fail TVS

Projek naik taraf 403 klinik daif tunjuk perkembangan positif – Lukanisman

ByBernama

PEKAN, 11 Jun: Projek menaik taraf 403 klinik kesihatan di negara ini yang dikenal pasti sebagai klinik daif menerusi peruntukan RM150 juta menunjukkan perkembangan positif dan diharapkan dapat disiapkan akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 41 klinik sudah siap dinaik taraf manakala 326 lagi dalam proses pelaksanaan, selain 36 projek masih belum bermula namun sudah dalam proses tender dan hanya melibatkan projek kecil.

Bagi projek naik taraf yang memerlukan gantian penuh bermaksud roboh dan bina, Lukanisman berkata daripada 403 klinik kesihatan, 85 klinik dalam kategori itu kini berada dalam proses pelaksanaan.

”Saya juga telah selesai siri jelajah di Sabah, Sarawak dan beberapa tempat lain dan perkembangan projek adalah sangat positif dan kita berharap pada tahun hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat menambah lagi peruntukan projek klinik daif di bawah Bitara MADANI.

“Pada tahun lepas sahaja, kita telah membelanjakan hampir RM100 juta peruntukan bagi klinik daif seluruh Malaysia, manakala pada tahun ini pula kita dapat peningkatan yang sangat baik di mana kerajaan telah memperuntukkan kepada KKM (Kementerian Kesihatan) sebanyak RM150 juta,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan, Pahang di sini hari ini.

Bagi projek menaik taraf tersebut, Lukanisman berkata sebanyak 393 projek dilaksanakan sendiri oleh KKM manakala yang selebihnya dilakukan oleh agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya.

Sementara itu, Lukanisman berkata beliau akan membawa cadangan menyediakan klinik yang komprehensif bagi penduduk di Pekan kepada kepimpinan tertinggi, memandangkan klinik sedia ada menggunakan bangunan lama hospital yang telah berpindah ke kawasan baharu.

“Saya akan pastikan (dengan) pihak perancangan dan pembangunan adakah keperluan ini memadai, mencukupi kerana ia melibatkan kos agak besar. Kalau tidak, kita akan melaksanakan projek ini secara berfasa.

“Projek permohonan klinik sebegini merupakan perkara yang rutin dan juga kerap kita terima. Bukan hanya di Pahang tetapi juga di negeri lain,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan