Search
Close this search box.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyampaikan hadiah kepada pasukan SMK Baru Bintulu yang muncul johan pada Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Kuching, hari ini. Foto Zaim Zharfan (TVS)

Forum Remaja lahirkan pelajar kreatif, inovatif dan peka isu semasa

ByRadzi Ahmad

KUCHING, 11 Jun: Forum remaja berupaya memupuk kreativiti, inovasi dan kesedaran dalam kalangan pelajar, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.

Menurutnya, penganjuran Forum Remaja Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak mampu melahirkan pelajar yang kreatif, inovatif dan peka isu semasa.

“Melalui program sebegini, kita secara tidak langsung berupaya membentuk potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu, melahirkan generasi muda yang berketerampilan agar mereka dapat menikmati manfaat daripada dasar pendidikan tinggi percuma yang akan dilaksanakan pada 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada pertandingan akhir forum berkenaan di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Dr Annuar turut menekankan sokongan berterusan kerajaan Sarawak terhadap inisiatif sebegini selaras dengan visinya untuk mencapai Sarawak yang makmur dan maju menjelang 2030.

Hadiah-hadiah disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada majlis yang turut dihadiri, isterinya, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Forum berkenaan menyaksikan SMK Baru Bintulu dinobatkan sebagai juara.

Pasukan yang dianggotai pengerusi Atasha Fatin Abdul Rahman, ahli-ahli forum Khairrunisa Qurratu Abu Bakar, Ronald Rio Suliman dan Eva Elishya Bulan Freddy, serta guru pembimbing Nancy Ahmadie Chen dan Teong Ung Ung, membahas tajuk “Generasi Alfa: Matangkah Mereka Mendepani Media Sosial?”

Mereka membawa pulang wang tunai RM2,500, piala pusingan, buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan watikah pengiktirafan.

Pasukan SMK Baru Bintulu itu akan mewakili Sarawak di Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 9 dan 10 Julai.

Sementara itu, naib johan jatuh kepada SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, Kuching, yang membawa pulang wang tunai RM2,000, buku terbitan DBP serta watikah pengiktirafan.

Tempat ketiga pula diraih oleh SMK Riam, Miri, yang memenangi wang tunai RM1,000, buku terbitan DBP serta watikah pengiktirafan.

Ronald Rio Suliman dari SMK Baru Bintulu memenangi ahli panel terbaik, manakala Dayang Nurainun Nasuha memenangi pengerusi terbaik.

Masing-masing membawa pulang RM300, buku terbitan DBP dan watikah pengiktirafan.

Pertandingan yang dianjurkan DBP dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sarawak menyaksikan lima buah pasukan mara ke peringkat akhir: SMK Riam, Miri, SMK Baru Bintulu, SMK Rosli Doby, Sibu, SMK Sri Aman dan SMKA Sheikh Haji Osman Abdul Wahab, Kuching.

Pertandingan kali ini melihat peningkatan penyertaan kepada 71 sekolah menengah kerajaan dan swasta di Sarawak berbanding 51 sekolah pada 2023.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan