Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto fail AFP

Anwar beri jaminan pertahan penjawat awam, tidak terikut-ikut tekanan “penyakau”

ByBernama

PUTRAJAYA, 11 Jun: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan mempertahankan penjawat awam yang menjalankan tugas dengan baik dan tidak akan terikut-ikut dengan tekanan daripada puak “penyakau”.

Berucap pada majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan di sini hari ini, Anwar berkata beliau telah memaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk mempertahankan penjawat awam yang menjalankan tugas dengan bertanggungjawab.

“Saya akan pertahankan setiap penjawat awam selagi mereka jalankan tugas dengan baik. Saya tidak akan terikut-ikut dengan tekanan puak-puak ‘penyakau’, jadi saya harap saudara faham itu,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hal ini kerana terdapat banyak kes dilaporkan mengenai ada tindakan diambil terhadap penjawat awam biarpun menjalankan tugas dengan baik susulan “tekanan” daripada pegawai peringkat tertinggi.

Anwar turut menegaskan beliau akan terus melakukan yang terbaik demi negara biarpun dikritik dari pelbagai aspek dan mahu membuktikan bahawa tidak semua orang politik itu merupakan “kaki sakau”, bersifat angkuh dan mendera rakyat.

“Macam orang kata penyasaran (subsidi diesel), saya banyak dikritik (begitu juga) soal skim gaji penjawat awam.

“Jadi, saya tidak kisah kalau dia orang nak maki saya berbakul-bakul, saya ada mandat, saya akan lakukannya. Apabila tiba masanya saya pergi, saya akan pergi. Tetapi sementara saya di sini, saya akan kekal dan perjuang apa yang betul untuk memastikan Malaysia muncul sebagai negara hebat di Asia,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Anwar menjelaskan kedudukan sebagai negara yang mempunyai kadar inflasi rendah di Asia, ia tidak menjamin tiada kenaikan harga barangan akan berlaku meskipun beliau tidak inginkan perkara itu berlaku.

“Inflasi yang terendah di Asia maknanya kenaikan kecil masih berlaku,” katanya sambil menambah beliau turun padang setiap minggu bagi menyelami kehidupan rakyat.

Perdana Menteri turut menegaskan beberapa keputusan besar kerajaan ketika ini adalah untuk menyelamatkan negara serta meningkatkan aspek tertentu meliputi pengangkutan awam, pendidikan, digital dan kecerdasan buatan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan