Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto fail Bernama

Tiada kenaikan pangkat bagi Ketua Jabatan jika ‘tutup mata’ amalan salah laku

ByBernama

PUTRAJAYA, 10 Jun: Tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan jika wujud salah laku penjawat awam di bawahnya dan tidak dilaporkan, demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Jun di sini hari ini, beliau berkata, agak mustahil bagi ketua jabatan atau ketua unit ‘tidak tahu’ mengenai wujudnya amalan salah laku dalam pentadbiran masing-masing.

“Kalau nampak terang salah laku, kenapa ketua jabatan tidak lapor, kenapa ketua unit tidak tahu, saya kadang-kadang fikir kerana amalan ini sudah berlaku bertahun-tahun, mustahil tidak tahu.

“Maka saya akan syorkan kepada KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali) mesyuarat dalam masa terdekat ini, dalam keputusan kita mengenai penyelarasan gaji, kita tetapkan seorang ketua jabatan atau ketua unit tidak akan diberikan kenaikan pangkat, sekiranya diketahui di bawahnya itu sistemnya bobrok dan tidak dilaporkan,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mahu satu ketetapan mengenai aspek kenaikan pangkat itu dibuat pada minggu hadapan dengan kaedahnya dijangka diumumkan oleh Mohd Zuki dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

“Saya harap saudara faham, kalau tidak saudara boleh pilih tidak mahu jadi ketua jabatan kerana tanggungjawabnya lebih, maklumkan kepada KPPA, katakan – saya hanya mahu bekerja sebagai pegawai biasa, tidak mahu jadi ketua unit atau jabatan,” katanya.

Beliau berkata, dengan langkah berkenaan, ia bermaksud tanggungjawab untuk mencegah amalan salah laku tidak hanya terletak pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja, malah pada ketua jabatan dan ketua unit juga.

“Ini bukan soal selamatkan imej dan integriti penjawat awam tetapi untuk selamatkan negara ini. Saya mahu Malaysia terkenal sebagai negara bersih atau paling minimum rasuahnya, tidak seperti yang ada sekarang,” kata Anwar.

Sementara itu Anwar berkata, dalam kalangan penjawat awam yang majoritinya beragama Islam, mereka diseru untuk menanam roh haji dalam amalan kerja ke arah penyempurnaan tugas yang baik serta menghentikan segala kecurangan.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan