Search
Close this search box.
Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) terus meningkat sebanyak 6.1 peratus dari tahun ke tahun sehingga April 2024. Foto Envato

Indeks Pengeluaran Perindustrian naik 6.1 peratus pada April 2024- DOSM

BySheera Abg Mansor

PUTRAJAYA, 10 Jun: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) terus meningkat sebanyak 6.1 peratus dari tahun ke tahun sehingga April 2024.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi laporan keluaran IPP Malaysia hari ini memaklumkan peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan output sektor pembuatan yang lebih tinggi.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, IPP juga mencatatkan pertumbuhan tertinggi sejak September 2022 disokong oleh pengembangan dalam semua sektor pada bulan berkenaan.

“Pengeluaran sektor pembuatan berkembang sebanyak 4.9 peratus (Mac 2024: 1.3%) manakala sektor perlombongan merekodkan pertumbuhan kukuh 10.0 peratus (Mac 2024: 4.9%).

“Pada masa yang sama, pertumbuhan sektor elektrik kekal stabil pada kadar 7.6 peratus (Mac 2024: 8.5%). Perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP merosot 7.6 peratus berbanding pertumbuhan positif pada bulan sebelumnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir memaklumkan, peningkatan dalam output pembuatan pada April 2024 disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi dalam industri berorientasikan
eksport iaitu sebanyak 2.6 peratus berbanding 0.5 peratus yang direkodkan pada Mac 2024.

Kenaikan tersebut, katanya, diterajui terutamanya oleh pembuatan kok & produk petroleum bertapis dan pembuatan kimia dan produk kimia yang mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 5.9 peratus dan 5.0 peratus.

Tambahnya, pembuatan perabot juga mengalami lonjakan sebanyak 13.1 peratus pada bulan tersebut.

“Pengembangan tahun ke tahun ini adalah selari dengan prestasi eksport barangan perkilangan negara yang berkembang 7.1 peratus pada April 2024 (Mac 2024: 0.6%), katanya.

Bagi perbandingan bulan ke bulan pula katanya, industri berorientasikan eksport jatuh 11.6 peratus berbanding pertumbuhan 11.0 peratus pada Mac 2024.

Sementara itu, industri berorientasikan domestik terus berkembang dengan mencatatkan 9.5 peratus berbanding 3.1 peratus pada Mac 2024.

“Peningkatan didorong terutamanya oleh pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 20.2 peratus dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler; pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan (12.8%); dan pembuatan produk galian bukan logam lain (11.2%).

“Berbanding dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik menurun 1.3 peratus (Mac 2024: 1.9%),” jelasnya.

Tambah beliau lagi, peningkatan 10.0 peratus dalam sektor perlombongan pada April 2024 dipacu oleh pertumbuhan dua digit 14.9 peratus dalam pengeluaran Gas Asli (Mac 2024: 8.9%), manakala output minyak mentah dan kondensat pulih kepada 3.5 peratus (Mac 2024: -0.7%).

Berbanding Mac 2024, indeks perlombongan menyusut 6.3 peratus selepas mengalami pertumbuhan positif 5.3 peratus pada bulan sebelumnya.

“Pada masa yang sama, penjanaan elektrik berkembang sebanyak 7.6 peratus tahun ke tahun pada April 2024 (Mac 2024: 8.5%).

“Perbandingan bulan ke bulan, indeks Elektrik merosot 4.1 peratus berbanding positif 11.2 peratus yang direkodkan pada Mac 2024,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, di peringkat global, IPP bagi beberapa negara meningkat pada April 2024 termasuk China, Korea Selatan, Vietnam, dan Thailand, dengan pertumbuhan kukuh dapat dilihat di Taiwan.

Ujarnya lagi, sebaliknya Jepun dan Singapura terus mengalami trend kemerosotan pada April 2024, namun pada kadar negatif yang lebih kecil, manakala Amerika Syarikat kembali merosot dengan penurunan yang kecil.

Merumuskan prestasi IPP bagi tempoh Januari – April 2024, Mohd Uzir berkata, IPP bertambah baik sebanyak 3.9 peratus berbanding 1.3 peratus yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Pada tempoh tersebut, kesemua sektor mencatatkan pengembangan, iaitu indeks perlombongan (6.9%); indeks pembuatan (2.8%); dan indeks elektrik (8.8%). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan