Search
Close this search box.
Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. Foto TVS

Hak Sarawak mengikut undang-undang yang berkaitan jelas, tiada ruang untuk tafsiran

BySheera Abg Mansor

KUCHING, 10 Jun: Hak Sarawak ke atas pelantar benua, keluasan sempadan negeri, air dan duti setem adalah berdasarkan peruntukan perlembagaan serta undang-undang negeri dan persekutuan yang jelas dan tidak mempunyai ruang untuk sebarang pentafsiran.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata sempadan Sarawak, berdasarkan Perintah Sarawak (Pengubahan Sempadan) termaktub dalam Majlis bertarikh 24 Jun 1954, telah diperluaskan meliputi dasar laut dan tanah bawah kawasan itu yang membentuk pelantar benua di bawah laut lepas.

“Perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa wilayah Sarawak hendaklah menjadi wilayah seperti yang ditetapkan pada Hari Malaysia.

“Wilayah Sarawak pada 16 September 1963 termasuk dasar laut dan subtanah (tanah bawah) daripada kawasan yang membentuk pelantar benua di luar pantai Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berita yang memetik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bahawa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak mempunyai pandangan dan tafsiran yang berbeza mengenai isu seperti pelantar benua, sempadan negeri dan duti setem.

Menurutnya, beberapa tafsiran berbeza mengenai bidang kuasa termasuk sempadan dan tanah di Sabah, Sarawak dan peringkat persekutuan perlu dimuktamadkan oleh Kabinet.

Hasidah berkata lagi, di bawah Kanun Tanah Sarawak, iaitu undang-undang sebelum penubuhan Malaysia, dasar laut dan tanah bawah di sepanjang sempadan yang diperluaskan menerusi perintah dalam Majlis adalah dikira sebagai tanah negeri.

Katanya, di bawah Perkara 2 Senarai II (Senarai Negeri) dalam Jadual Kesembilan Persekutuan Perlembagaan, tanah adalah perkara di bawah kuasa perundangan dan eksekutif negeri.

“Di bawah Perkara 2(c) Senarai II, pihak berkuasa perundangan dan eksekutif meliputi ‘permit dan lesen untuk mencari gali lombong; pajakan dan sijil perlombongan.’.

“Butiran 8(j) Senarai I (Senarai Persekutuan) memperuntukkan kuasa kepada perkara 2(c) dalam Senarai Negeri: Pembangunan sumber mineral; lombong, perlombongan, mineral dan bijih galian; minyak dan ladang minyak;…,” katanya.

Justeru, beliau berkata peruntukan perlembagaan yang tidak jelas ini menunjukkan bahawa pembangunan minyak dan medan minyak di Sarawak adalah tertakluk kepada pajakan perlombongan atau sijil yang dikeluarkan oleh Negeri di bawah perkara 2(c) Senarai Negeri.

Tambahnya, Ordinan Perlombongan Minyak Negeri 1958 memperuntukkan pengeluaran lesen cari gali minyak, pajakan perlombongan atau sijil untuk cari gali dan perlombongan petroleum.

Sehubungan itu, Hasidah menegaskan kerajaan negeri akan terus berhubung dengan Kerajaan Persekutuan mengenai pelaksanaan hak dan kuasa perlembagaan tersebut untuk kepentingan negara dan untuk menggalakkan kesejahteraan ekonomi dan kemajuan Persekutuan.

“Kerajaan negeri mempunyai tugas perlembagaan untuk memastikan semua hak perlembagaan dan kuasa milik negeri tidak terhakis dan dihormati sepenuhnya.

“Hak dan kuasa perlembagaan tersebut tidak boleh terjejas melalui ‘kononnya’ tafsiran peruntukan perlembagaan atau undang-undang yang jelas dan tidak jelas,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan