Search
Close this search box.
Menteri MYSED, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa sesi bergambar. Foto TVS

Perbincangan diadakan untuk adakan Sukan SEA 2027 di Semenanjung dan Sarawak – Karim

ByTVS

MIRI, 9 Jun: Terdapat perbincangan untuk Sukan SEA 2027 diadakan di dua lokasi berbeza iaitu di Semenanjung dan Sarawak untuk 36 sukan yang dipertandingkan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perbincangan itu dilakukan dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan dan Kerajaan Pusat dan setakat ini menunjukkan persetujuan.

“Kita masih dalam perbincangan, tapi perbincangan itu sudah sampai ke peringkat akhir. Lebih kurang 36 sukan yang akan dipertandingkan untuk tahun 2027, 18 sukan di Sarawak dan 18 di Semenanjung iaitu di Kuala Lumpur. Tapi satu syarat untuk kita di Sarawak ialah perasmian mesti diadakan di Kuching. Kementerian Belia dan Sukan dan Kerajaan Pusat lebih kurang setuju,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Majlis Pelancaran Kursus Asas Sukarelawan Am SUKMA XXI di Universiti Curtin pada Ahad.

Sementara itu, beliau mengingatkan kepada kontraktor yang bertanggungjawab untuk lokasi trek basikal BMX di Bukit Siol untuk siap mengatur tempat tersebut secepat mungkin.

“Meskipun terdapat pelan alternatif sekiranya berlaku tempat-tempat yang tidak dapat siap menjelang SUKMA untuk dipindahkan ke lokasi yang bersesuaian, setakat ini tiada lokasi lain untuk trek basikal BMX selain di Bukit Siol.

“Tapi untuk BMX, kita tidak ada plan B. Itu sahaja tempat untuk BMX, jadi mereka perlu kerja pagi dan malam. Saya akan pastikan kontraktor jangan sibuk dengan raya haji, dia perlu atur tempat itu dulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, dengan lebih 12,000 atlet akan bertanding di Sarawak untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, para sukarelawan berperanan penting untuk membantu memastikan semua elemen pelaksanaan berjalan seperti yang dirancang.

Menurutnya, para sukarelawan perlu diingatkan untuk mempersiapkan diri dengan perkara-perkara lain yang mungkin berlaku di luar modul yang dipelajari.

“Selain daripada modul-modul yang diajar, kita berharap juga tuan-tuan dan puan-puan yang menjadi sukarelawan ini berusaha untuk menambahkan lagi pengetahuan apa perkara lain yang anda akan hadapi bila kamu berada di tapak padang ataupun lapangan terbang.

“Kalau kamu ditugaskan di lapangan terbang, apa perkara kamu dijangka perlu tahu. Kalau kamu di padang, apa perkara yang kamu perlu tahu atau soalan yang mungkin akan ditanya dari kontinjen,” katanya.

Bukan itu saja, mereka juga berperanan sebagai duta kecil kepada para atlet dan pengunjung untuk berkongsi maklumat pelancongan tempat-tempat menarik dan makanan tempatan yang harus dirasai sewaktu menikmati kemeriahan temasya SUKMA 2024.

Seramai 3,000 orang sukarelawan am akan dilatih sepanjang kursus ini dijalankan di 11 lokasi bermula daripada bahagian Miri dan akan berakhir di bahagian Kuching, dengan Miri mempunyai 250 sukarelawan setakat ini.

Antara lapan modul Kursus Asas Sukarelawan Am yang disampaikan ialah Pengenalan SUKMA, Penetapan Matlamat, Komunikasi Berkesan, Pengurusan Krisis, Pertolongan Cemas, Penugasan Khusus, Pengoperasian dan Pengurusan dan Pembayaran Elaun. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan