Search
Close this search box.
Abdul Rahman Zainuddin percaya Konsert Getaran Kesenian Melayu Sarawak mampu mengangkat dan memartabatkan adat kesenian Melayu Sarawak di wilayah ini seiring dengan perkembangan realiti kini. Foto TVS

Konsert Getaran Kesenian Melayu Sarawak pamer kekayaan warisan dan tradisi masyarakat Melayu Sarawak

ByMuqri Aziz

KUCHING, 9 Jun: Konsert Getaran Kesenian Melayu Sarawak yang dianjurkan hasil kerjasama Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK) dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) itu mahu mengangkat dan memartabatkan adat kesenian Melayu Sarawak di wilayah ini seiring dengan perkembangan realiti kini.

Pengerusi PASBK, Abdul Rahman Zainuddin berkata, ia adalah penting kerana kesenian Melayu Sarawak adalah satu ikon berharga kepada anak-anak seni di Bumi Kenyalang.

Beliau berkata, penganjuran konsert itu diinspirasikan daripada perpaduan, kesatuan dan setiakawan dalam kalangan Melayu Sarawak.

“Konsert Getaran Kesenian Melayu Sarawak merupakan suatu kesinambungan terhadap usaha memartabatkan seni budaya Melayu Sarawak kerana tidak dinafikan bahawa sebelum ini ramai pihak telah menghasilkan persembahan berkaitan kesenian.

“Namun, persembahan ini adalah berbeza kerana kita tidak mengulangi apa yang telah dibuat oleh pihak lain,” katanya ketika ditemui TVS selepas Konsert Getaran Kesenian Melayu Sarawak di Tebingan Sungai Sarawak di sini pada malam Sabtu.

Konsert yang berlangsung selama dua jam yang bertemakan ‘Tiada yang lama, Tiada yang baru’ itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Konsert itu mengetengahkan enam kesenian irama Melayu Sarawak tradisional iaitu Gendang Nopeng, Bangsawan, Tarian Zapin Bandarsah, Gurindam dan Syair, Silat Pulut Sarawak dan Gambus Sarawak yang dibahagi kepada dua segmen iaitu tradisional dan kontemporari.

Menariknya, konsert itu turut menampilkan penyanyi tanah air dan lagenda seperti Bob Yusuf, Datuk Sarbanun Marican, Safar Ghaffar dan Norafizah Busman.

Ditanya mengenai hasrat Kerajaan Sarawak yang mahu menubuhkan Pusat Seni Persembahan Sarawak (SPACE) dengan mengubahsuai Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Lama, Abdul Rahman menyifatkan ia sebagai satu langkah baik bagi memperkasakan seni persembahan Sarawak terutamanya budaya Melayu Sarawak di wilayah ini.

“Itulah satu peluang bagi kami, anak seni, untuk menceburi dan mempersembahkan dan menggunakan tempat itu untuk kami melangkah lebih jauh,” katanya lagi.

PASBK diasaskan sejak tahun 2013 dan kini mempunyai sebanyak 52 orang ahli persatuan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan