Search
Close this search box.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab merasmikan jelajah Larian Baton SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang diteruskan ke Bahagian Sarikei, hari ini. Foto Hafeezzur Muzamir (TVS)

SUKMA 2024: Rakyat diseru beri sokongan padu, pamer semangat kesukanan tinggi

ByHafeezzur Muzamir

SARIKEI, 8 Jun: Warga Sarikei diseru untuk memberikan sokongan padu kepada kontinjen Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2024 yang akan berlangsung di negeri ini pada Ogos dan September depan.

Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab berkata, meskipun Bahagian Sarikei tidak disenarai sebagai salah satu lokasi penganjuran acara pada temasya dwitahunan itu, namun telah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Sarawak untuk menyuntik moral dan semangat kontinjen negeri ini beraksi dalam dua temasya itu kelak.

“Saya menyeru kepada semua warga bahagian Sarikei untuk meraikan temasya berprestij ini dengan memberi sokongan padu kepada semua atlet yang bertanding di arena-arena berhampiran khususnya di Bahagian Betong, Sibu dan Mukah, tanpa mengira negeri asal mereka.

“Tunjukkan semangat kesukanan serta perpaduan yang tinggi sebagai rakyat Sarawak yang kita cintai ini,” katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Larian Baton Bahagian Sarikei,di Kompleks Sukan Integrasi Kampung Seberang Sarikei di sini, hari ini.

Seramai 500 peserta menyertai larian sejauh 4.4 kilometer (km) itu yang bermula pada 7:35 pagi tadi diketuai oleh dua ikon sukan dari Sarikei iaitu bekas atlet pencak silat Sarawak, Ibrahim Japar dan bekas atlet tukul besi Sarawak, Lu Teck Yii.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing dan ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom.

Mengulas lanjut, Yusuf berkata, temasya SUKMA kali ke-21 ini merupakan penganjuran yang terbesar dalam sejarah dengan menyaksikan sebanyak 37 sukan dengan 488 acara dipertandingkan.

Sehubungan itu, Yusuf menyeru rakyat di negeri ini komited menyokong Sarawak untuk mencapai hasrat bergelar juara pada edisi kali ini dengan memberikan sokongan kepada para atlet dalam setiap acara.

“Sebagai tuan rumah bagi kedua-dua temasya tersebut, kita telah diamanahkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg agar penganjuran SUKMA dan Para SUKMA ke-21 pada tahun ini adalah yang terbaik di dalam sejarah penganjurannya,” jelasnya.

Penganjuran SUKMA pada edisi kali ini melibatkan seramai 12,000 atlet dan pegawai manakala bagi Para SUKMA pula 2,000 atlet dan pegawai. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan