Search
Close this search box.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata langkah itu dilakukan bagi mengurangkan kesesakan di Mina dan melancarkan pergerakan jemaah haji pulang ke penginapan di Mekah. Foto Zen Hashim (TVS)

Separuh daripada 31,600 jemaah haji Malaysia dijadual laksana Nafar Awwal

ByLuqman Muhammad

MEKAH, 8 Jun: Lembaga Tabung Haji (TH) bertindak menggerakkan 50 peratus daripada 31,600 jemaah haji Malaysia bagi melaksanakan Nafar Awwal iaitu melontar jamrah pada dua daripada tiga hari tasyrik, manakala 50 peratus lagi dijadual akan melaksanakan Nafar Thani (melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik).

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, langkah itu dilakukan bagi mengurangkan kesesakan di Mina dan melancarkan pergerakan jemaah haji pulang ke penginapan di Mekah.

“Sebanyak 10 buah bas akan disediakan untuk setiap maktab bagi pergerakan balik jemaah ke Mekah sebaik selesai melaksanakan melontar jamrah ada 12 Zulhijah (Nafar Awwal).

“Manakala 10 buah bas lagi akan digunakan selepas selesai melontar pada hari 13 Zulhijah (Nafar Thani) bagi membawa pulang jemaah ke maktab masing masing di Mekah,” katanya dalam sidang media mingguan di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua jemaah haji Malaysia akan mula bergerak secara berperingkat ke Arafah pada 8 Zulhijah (14 Jun) iaitu hari Jumaat untuk bersama-sama hampir tiga juta umat Islam dari seluruh dunia bagi menjalani ibadah wukuf yang merupakan kemuncak haji pada 9 Zulhijah (15 Jun).

Pergerakan itu katanya, akan bermula pada 6 pagi, lewat pagi serta selepas solat Jumaat dengan 20 bas disediakan untuk kegunaan setiap maktab.

Syed Saleh berkata, pergerakan dari Mekah ke Arafah sejauh hampir 22 kilometer itu dijangka akan mengambil masa antara satu hingga dua jam bergantung kepada lalu lintas, ditambah banyak laluan di sekitar Masjidil Haram akan ditutup sejak pagi lagi untuk solat Jumaat dan hanya akan dibuka kembali pada sebelah petang.

“Pergerakan jemaah haji dari Arafah ke Muzdalifah yang melibatkan perjalanan lapan kilometer dan Muzdalifah ke Mina sejauh 6.9 kilometer pula akan dilaksanakan secara Taradudiah atau shuttle,” katanya.

Beliau berkata, pada masa yang sama, pergerakan itu juga akan melibatkan lebih 600 petugas haji dengan sebilangan daripada mereka akan bergerak sebagai kumpulan pendahulu pada 7 Zulhijah (13 Jun) untuk melakukan persiapan bagi menunggu ketibaan kumpulan pertama jemaah haji, manakala sebahagian lagi akan bergerak secara berperingkat.

“Sebilangan dari petugas kita juga akan tunggu di Mekah sehingga semua jemaah berlepas dan mereka akan melakukan semakan termasuk di bilik penginapan dan Masjidil Haram serta persekitarannya untuk memastikan tiada jemaah haji kita yang tertinggal untuk dibawa ke Arafah,” katanya.

Dalam pada itu katanya lagi, bagi jemaah yang berada di wad hospital, TH akan menyediakan empat buah bas khas yang diubahsuai seperti ambulans untuk mengangkut jemaah yang sakit untuk berwukuf melalui program yang dinamakan Safari Wukuf.

“Jemaah akan dibawa ke Arafah selama 2 jam dan selepas masuk waktu wukuf serta khutbah Arafah dibacakan oleh petugas haji, mereka akan dibawa semula ke Pusat Rawatan TH Mekah untuk meneruskan rawatan lanjut,” katanya lagi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan