Search
Close this search box.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni merakam gambar kenangan bersama tetamu yang hadir semasa Majlis Perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Siri 1 Daerah Lundu dan Sambutan Hari Denggi Asean Bahagian Kuching 2024 di Sematan hari ini. Foto TVS

Sarawak perlukan peruntukan RM17 bilion naik taraf 206 klinik daif

SEMATAN, 8 Jun: Sarawak memerlukan peruntukan berjumlah RM17 bilion bagi membaiki, membina semula dan menaik taraf 206 klinik kesihatan yang dikenal pasti berada dalam keadaan daif.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, menerusi dua siri jelajahnya sebelum ini mendapati hampir kesemua klinik-klinik kesihatan serta kuaters-kuaters kediaman kakitangan kesihatan di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar berada dalam keadaan yang daif.

Hospital Petra Jaya 70 peratus siap.

“Itu adalah angka yang dikemukakan kepada Perdana Menteri selain daripada Kerajaan Sarawak bukan hanya sekadar menggantikan klinik tetapi keseluruhan fasiliti kesihatan kita di Sarawak.

“Jadi itu adalah angka yang besar dan juga akan melibatkan beberapa siri rancangan Malaysia sebenar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Siri 1 Daerah Lundu dan Sambutan Hari Denggi Asean Bahagian Kuching 2024 di Sematan hari ini.

Menurut beliau, tahun ini sebanyak 39 buah klinik kesihatan di Sarawak akan dibaik pulih dan dinaik taraf melibatkan peruntukan berjumlah RM19 juta iaitu tambahan kepada 30 buah klinik yang telah di naik taraf tahun lalu.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dalam proses menyenaraikan klinik-klinik kesihatan dan beberapa buah hospital di Sarawak yang daif serta menghampiri usia emas untuk dimasukkan dalam senarai naik taraf dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RM Ke-13).

“Pelaksanaan tersebut bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif dan berkualiti kepada rakyat menerusi penyediaan prasarana kesihatan yang mampan dan selesa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM komited dalam usaha menyiapkan Hospital Petra Jaya bagi membolehkan ia beroperasi menjelang tahun 2026 dengan tahap kemajuan pembinaan telah mencapai sebanyak 70 peratus dan dijangka siap pada Ogos 2026.

Menurutnya, pembinaan hospital tersebut memerlukan ketelitian dari aspek teknikal serta keperluan memasukkan peralatan perubatan dan fasiliti yang lengkap di dalamnya.

“Sejak tahun lepas saya sudah memantau Hospital Petra Jaya ini dengan teliti dan Yang Berhormat Menteri sendiri pun telah turun padang pada tahun ini dan juga kita menjangkakan siap sepenuhnya tahun hadapan.

“Kita kena berikan satu kerja yang baik dan kita tidak boleh terburu buru kerana untuk membangunkan sebuah hospital tidak sama berbanding sebuah sekolah ataupun perumahan kerana melibatkan aspek teknikal,” jelasnya.

Projek Hospital Petra Jaya bermula pada 2013 dan sebelum ini ia dijadualkan siap pada November 2016, namun kontraktor asal gagal menyiapkannya.

Pada Oktober 2021, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengarahkan projek hospital yang mempunyai kapasiti 300 katil itu diambil alih oleh kontraktor penyelamat dan JKR diarah memantau rapi untuk memastikan ia dapat disiapkan pada penghujung 2024. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan