Search
Close this search box.

Kerancakan industri perlombongan di British Columbia dorong Sarawak mahu contohi mereka

ByMuqri Aziz

KUCHING, 8 Jun: Kerajaan Sarawak mahu mencontohi kejayaan Persatuan Perlombongan British Columbia yang berjaya mencipta lebih 40,000 peluang pekerjaan dalam sektor perlombongan di wilayah itu yang telah menyumbang dengan ketara kepada ekonomi Kanada.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang melakukan lawatan kerja di Kanada semalam berkata, kejayaan itu dicapai melalui penglibatan aktif persatuan perlombongan dalam penggubalan rangka kerja undang-undang dan hala tuju dasar industri perlombongan di negara itu.

“Sektor perlombongan di British Columbia telah mencipta lebih daripada 40,000 pekerjaan dan menjana 7.4 bilion Dolar Kanada kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan 3.7 bilion Dolar Kanada telah dibelanjakan untuk pembangunan khususnya bagi meningkatkan kehidupan penduduk asli Kanada.

“Persatuan Perlombongan British Columbia telah memainkan peranan yang penting dalam mengubah sektor perlombongan menjadi industri yang dinamik dan inklusif yang selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

“Sehubungan itu, Sarawak berhasrat untuk membangunkan industri perlombongan mineral berdasarkan prinsip ESG dan SDG dan ia merupakan salah satu sektor ekonomi utama di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pertemuannya bersama persatuan itu, mereka telah berkongsi pandangan mereka kepada Sarawak dalam penggubalan dasar, strategi dan hala tuju perlombongan Sarawak serta rangka kerja perundangan dan institusi yang diperlukan wilayah ini.

“Bukan itu sahaja, Persatuan Perlombongan British Columbia telah menyatakan minat mereka untuk bekerjasama dan melabur dalam pembangunan industri mineral di Sarawak,” tambah kenyataan itu lagi.

Rombongan itu juga turut mengadakan kunjungan hormat di pejabat Konsulat Jeneral Malaysia yang mahu bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi mempromosikan peluang perdagangan, pelaburan dan pelancongan di Sarawak.

Turut serta dalam lawatan itu Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan