Search
Close this search box.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan Singapura bersetuju untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran dalam penggunaan Sistem Penyerahan Produktiviti Elektronik (ePSS) bagi membantu industri pembinaan di Malaysia. Foto fail TVS

Singapura setuju kongsi kepakaran ePSS sektor pembinaan dengan Malaysia – Nanta

ByBernama

SINGAPURA, 5 Jun: Singapura bersetuju untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran dalam penggunaan Sistem Penyerahan Produktiviti Elektronik (ePSS) bagi membantu industri pembinaan di Malaysia mengukur produktiviti pekerja, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata itu antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat dua hala dengan Menteri Pembangunan Negara Singapura Desmond Lee di republik ini, pada Isnin.

“Antara perbincangan yang diketengahkan ialah ePSS di bawah bidang kuasa Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) Kementerian Pembangunan Negara Singapura.

“Dalam hal ini, BCA telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dari segi perkongsian pengetahuan dan kepakaran mengenai penggunaan ePSS bagi membolehkan CIDB mengukur produktiviti pekerja,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Di Singapura, pembina diwajibkan untuk memantau penggunaan tenaga kerja dalam projek mereka dan menghantar data tersebut kepada BCA melalui ePSS. Daripada data yang dikumpul, agensi tersebut dapat mengira purata produktiviti projek industri bagi kategori bangunan yang berbeza.

Sementara itu, mesyuarat selama 40 minit itu turut memberi tumpuan kepada pelan pelebaran Lebuhraya PLUS antara Senai Utara ke Sedenak di Johor.

Nanta berkata pelebaran daripada empat kepada enam lorong ini dijangka menjadikan perjalanan dari Singapura ke Johor lebih selesa dan mudah seterusnya memberi impak positif kepada sektor ekonomi dan logistik kedua-dua negara.

Selain itu, kedua-dua pihak turut menyatakan sokongan untuk inisiatif seperti Minggu Pembinaan Antarabangsa 2024 (ICW 2024) oleh CIDB, menandakan trajektori dalam menjanjikan kerjasama pada masa hadapan.

Ini termasuklah ke arah perkongsian yang lebih kukuh, memudah cara pemindahan teknologi dan meningkatkan kualiti mutu kerja pembinaan.

Nanta berkata pertemuan antara beliau dan Lee sangat membuahkan hasil kerana telah membuka peluang dan merangsang usaha untuk mewujudkan kerjasama yang berpotensi terutamanya dalam perkembangan infrastruktur dan pembinaan antara Malaysia dan Singapura.

“Saya berharap, pandangan, hala tuju dan kemajuan berharga yang kami peroleh daripada penglibatan yang bermanfaat ini akan menyemarakkan lagi usaha seterusnya membuka jalan kepada dialog dan kerjasama yang penting pada masa hadapan,” katanya.

Nanta mengetuai delegasi Malaysia ke Singapura dari 2 hingga 4 Jun ke Sidang Kemuncak Bandar Dunia (WCS) dan Forum Infrastruktur Asia (AIF) 2024.

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan