Search
Close this search box.
Aktif sukan larian sejak lapan tahun lepas, Airulmi Mokhtar tidak menyangka beliau kini memiliki lebih 300 pasang kasut larian pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan mencecah RM65,000. Foto, Bernama.

Aktif berlari, Al Rumie kini miliki lebih 300 kasut larian

ByBernama

KUALA LUMPUR, 5 Jun: Aktif sukan larian sejak lapan tahun lepas, Airulmi Mokhtar tidak menyangka dia kini mempunyai lebih 300 pasang kasut larian pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan mencecah RM65,000.

Menurut Airulmi, 47, koleksi kasutnya yang berharga serendah RM50 hingga ribuan ringgit itu adalah ‘hasil usaha’ membuat ulasan visual serta berkongsi pandangan di YouTube, mengenai ilmu serta pengalaman dengan orang ramai.

Perkongsian dalam bahasa Melayu itu juga bertujuan membantu orang ramai khususnya mereka yang memiliki hobi sama mendapatkan pandangan supaya tidak mengulangi kesilapannya membeli kasut yang tidak sesuai akibat kurang bahan rujukan semasa mula aktif dalam aktiviti fizikal itu.

“Situasi saya dulu, banyak membuat silap. Salah beli kasut dari segi saiz, material dan kegunaannya. Akhirnya saya bukan hanya tidak seronok berlari (semasa menggunakan kasut yang salah) tetapi juga terdedah kepada risiko kecederaan. Satu pembaziran, ” katanya kepada Bernama baru-baru ini..

“Di luar negara seperti di Amerika Syarikat dan Eropah, ramai pelari di sana berkongsi ulasan kasut larian sama ada di blog dan YouTube.

“Orang ramai boleh membaca ulasan serta pengalaman mereka, dan secara tak langsung ini dapat mendidik mereka untuk memilih kasut larian yang sesuai dan selari dengan minat mereka,” katanya.

Airulmi yang berkhidmat sebagai ketua unit operasi sebuah syarikat berkaitan kerajaan dan berasal dari Johor Bharu, Johor itu pada mulanya berkongsi ulasan di blog sebelum aktif di YouTube pada pertengahan tahun 2020.

‘Perpindahan’ itu berbaloi apabila pengikut YouTube Al Rumie kini mencecah lebih 64,200 pengikut, selain video dimuatnaik dan ditonton hampir lima juta orang.

Tanpa berselindung, bapa kepada dua orang cahaya mata itu mengakui 90 peratus daripada koleksi kasut lariannya adalah pemberian individu atau syarikat kasut yang meminta beliau memberikan ulasan sebagai salah satu kaedah pemasaran produk.

“Bagaimanapun, saya tidak terikat atau dibayar oleh mana-mana jenama untuk menyatakan kasut (keluaran) mereka adalah baik. Mereka meminta saya memberikan pandangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman sebagai pelari.

“Ini berbeza daripada menjadi duta kepada jenama tertentu (kerana) sudah semestinya perlu bercakap mengenai jenama itu. Tapi, saya berkecuali dan akan berkongsi apa yang sesuai dan perlu diketahui kebanyakan orang,” jelasnya.

Airulmi menambah, hampir semua jenama kasut larian memberikan kepercayaan kepadanya untuk membuat ulasan video, dan dia sendiri menetapkan beberapa kriteria supaya kandungan video yang dimuat naik mengandungi maklumat yang diperlukan penonton.

“Dari segi content, saya akan bermula dengan unboxing (mengeluarkan produk daripada pembungkusan), video close-up kasut dan outdoor iaitu semasa berlari menggunakan kasut tersebut dengan rakaman dari pelbagai sudut.

“Kriteria yang dipertimbangkan pula ialah harga, berat, reka bentuk, saiz, material, heel drop (ukuran tinggi antara tumit dan tapak kaki depan), midsole (tapak tengah), outsole (tapak luar), collar (bahagian pergelangan kaki), heel counter (di bawah collar untuk mendakap tumit kaki) dan sebagainya,” katanya.

Untuk lebih khusus, Airulmi akan membuat ulasan selepas kasut itu digunakan bagi membolehkan dia memberi pandangan seperti kesesuaian kasut dengan jenis dan jarak larian, selain juga dapat berkongsi ‘kelemahan’ yang dirasakan pada kasut berkenaan.

Airulmi yang memakai kasut bersaiz US11 berkata, dia juga ada menghadiahkan kasut miliknya kepada mereka yang memerlukan.  -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan