Search
Close this search box.
Gambar fail menunjukkan Kimberly Bong meraih pingat emas acara 3 meter (m) papan anjal wanita Sukan Sea Kemboja tahun lepas. Foto, Bernama.

Kesihatan mental penting, saya minta maaf bersara usia muda – Kimberly Bong

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 24 Mei: Keputusan untuk bersara sebagai penerjun negara pada usia yang masih muda oleh Kimberly Bong baru – baru ini agak mengejutkan peminat sukan.

Ini kerana atlet kelahiran Kuching berusia 22 tahun itu dilihat sebagai antara pelapis berpotensi untuk menyambung legasi hebat penerjun elit seperti Dato Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Kimberly berkata, dia tidak menyesal untuk menggantungkan ‘wetsuitnya’ selepas 15 tahun.

‘Terima kasih Kimberly atas sumbangan dalam bidang sukan’

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan di Universiti Malaya (UM) itu berkata, beberapa faktor telah menyumbang kepada keputusan besar itu.

“Saya ingin menjaga kesihatan mental dan mencari kebahagiaan dalam hidup.

“Saya memilih untuk melakukan perkara yang membuatkan saya gembira dan ya, kesihatan mental sangat penting,” katanya ketika ditemu bual TVS secara dalam talian baru – baru ini.

Pada 20 Mei lepas, Kimberly mengumumkan persaraannya dalam menerusi hantaran di Instagram.

Ditanya mengenai perancangan selepas ini, Kimberly berkata dia perlu menjana pendapatan sendiri setelah tidak lagi bergelar atlet kebangsaan.

Sukan SEA: Kimberly Bong tidak jangka raih emas

Kongsi Kimberly, selain mahu menamatkan pengajian, dia juga mula berjinak – jinak menceburi pemasaran kewangan.

“Saya sangat tertarik bagaimana orang boleh membaca carta kewangan dan memahami bagaimana pasaran kewangan berfungsi,” katanya.

Diajak berkongsi saat manis ketika bergelar atlet, Kimberly berkata, dia tidak akan melupakan jasa individu yang banyak berjasa dalam kariernya.

“Saya mula melibatkan diri dalam sukan ini sejak berumur tujuh tahun. Terdapat beberapa jurulatih yang datang ke sekolah saya di SJK Chung Hua No.2 di Kuching.

“Mereka memilih saya untuk menyertai program terjun. Pada mulanya, saya fikir ia hanya aktiviti menyeronokkan di kolam renang namun semakin lama, saya semakin serius dengan sukan terjun,” katanya.

Sementara itu Kimberly berkata, seperti atlet lain, dia juga tidak dapat lari daripada mengalami kecederaan.

Pada 2019, dia mengalami kecederaan serius di bahu yang memaksanya berehat dari pertandingan selama dua tahun.

“Cabaran terbesar adalah apabila menghadapi kegagalan semasa latihan kerana ia boleh mempengaruhi emosi saya,” jelas Kimberly.

Namun kata Kimberly, selepas pulih dia berjaya bangkit daripada kekecewaan tersebut.

“Kalau ditanya kenangan manis, salah satu detik paling bermakna ialah ketika memenangi pingat gangsa di Sukan SEA 2017, Kuala Lumpur.

“Pertandingan yang paling bermakna bagi saya adalah tahun lepas ketika menyertai kejohanan kebangsaan kerana ayah datang menyaksikan saya bertanding.

“Saya sangat terharu kerana itu kali kedua dia melihat saya bertanding,” kata Kimberly.

Sementara itu, Kimberly turut memohon maaf kepada penyokongnya selepas mengambil keputusan berkenaan.

“Saya minta maaf jika mengecewakan anda dengan keputusan untuk bersara awal dan anda tidak lagi dapat melihat saya bertanding. Sekali lagi, terima kasih banyak,” katanya.

Kimberly sebelum ini mempamerkan potensi besar apabila menduduki tempat keempat dalam acara 10m platform wanita dan keenam dalam 3m papan anjal wanita pada Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina.

Beliau adalah penerjun wanita negara kedua yang mengumumkan persaraan tahun ini selepas Wendy Ng Yan Yee bersara bulan lepas. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan