Search
Close this search box.
Model Malaysia Sharminidevi Parameispran yang baru-baru ini tampil memukau pada Festival Filem Cannes ke-77 di Perancis, mahu mengangkat dunia fesyen dan hiburan Malaysia dengan menghubungkan generasi muda negara ke pentas kecantikan dan fesyen antarabangsa. Foto, Instagram Hatta Dolmat.

Sharwita menyinar di Cannes, serlahkan keanggunan budaya Malaysia

ByBernama

KUALA LUMPUR, 2 Jun: Model Malaysia Sharminidevi Parameispran yang baru-baru ini tampil memukau pada Festival Filem Cannes ke-77 di Perancis, mahu mengangkat dunia fesyen dan hiburan Malaysia dengan menghubungkan generasi muda negara ke pentas kecantikan dan fesyen antarabangsa.

Muncul berbusana ala kebaya moden hasil kerja tangan pereka fesyen terkenal tempatan Hatta Dolmat yang menyerlahkan warisan budaya Malaysia dengan sentuhan moden, model yang lebih dikenali sebagai Sharwita itu memikat pandangan mata para jemputan.

Kehadirannya di acara berprestij itu bukan sekadar demi glamor tetapi adalah usaha halus untuk memperkenalkan budaya Malaysia kepada masyarakat global.

“Berjalan di laluan karpet merah pada hari kedua Cannes adalah peluang hebat bagi saya mengetengahkan budaya kita di peringkat antarabangsa.

“Saya lihat peluang itu sebagai satu cara mewakili industri fesyen dan hiburan Malaysia, mempamerkan keunikan, keaslian dan kepelbagaian dalam industri tersebut,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di Wisma Bernama baru-baru ini.

Sepanjang lima hari di Cannes, Sharwita menghabiskan hampir keseluruhan masa dengan menjalinkan jaringan kerja dan mempromosikan bakat Malaysia.

“Saya berjalan di laluan karpet merah pada 15 Mei dan menghabiskan hari-hari seterusnya dengan membina jaringan kerja bagi industri filem,” katanya yang berharap kehadirannya sebagai rakyat Malaysia di Cannes pada tahun ini meninggalkan  kesan berkekalan di dunia filem dan hiburan antarabangsa.

Busana ala kebaya yang dipakainya, dihiasi 10,000 keping kelopak bunga dan mengambil masa 60 hari untuk disiapkan, melambangkan asal usulnya dan juga aspirasi beliau dalam menghubungkan jurang budaya.

Menurut Sharwita, beliau menerima undangan ke acara eksklusif itu daripada D-Production, sebuah syarikat penerbitan antarabangsa yang melibatkan pengarah-pengarah filem Perancis.

“Saya diundang ke sana sebagai sebahagian daripada kerjasama dengan agensi saya, Le Fashion Secret. Saya dapat perkhabaran itu pada tahun lepas, jadi saya ada masa setahun untuk melakukan  persiapan,” katanya yang kini turut bergelar usahawan.

Sepanjang di Cannes, Sharwita berkongsi tumpuan dengan ramai selebriti dan pelakon, antaranya Tessa Hoder, Besir Zeciri, Trine Dyrholm, Vic Carmen Sonne, Magnus von Horn, Malene Blenkov dan Mariusz Wlodarski.

“Di Cannes, segalanya diatur, justeru peluang untuk bertemu begitu sahaja adalah terhad, namun pengalaman yang diraih amat bernilai,” katanya, menambah beliau adalah antara segelintir rakyat Malaysia yang pernah diundang ke festival filem gah tersebut.

Jelasnya lagi, jaringan kerja yang dibinanya itu amat penting dalam membantu misinya menggembleng fesyen dan bakat Malaysia ke dalam industri hiburan global.

Bercerita lanjut tentang pakaiannya di festival filem itu, Sharwita berkata apabila mengetahui dipilih untuk berjalan di laluan karpet merah, beliau terus memikirkan siapa pereka fesyen yang sesuai baginya.

“Saya kemudian mengunjungi Hatta Dolmat dan kami berbincang tentang penghasilan baju yang diilhamkan daripada kebaya,” katanya.

“Titik tumpuan adalah bahagian atas baju di mana diletakkan kelopak bagi menghasilkan kesan tiga dimensi seperti bunga yang sedang mekar. Pereka memilih warna putih gading/putih pudar sebagai simbol ‘kesegaran’ dan ‘kemurnian,” tambahnya.

Penyertaan Sharwita dipanjangkan melangkaui karpet merah apabila turut diundang hadir ke tayangan perdana filem Denmark, “PIGEN MED NALEN” (The Girl with the Needle).

Beliau menggambarkan pengalaman itu sebagai “dipenuhi dengan tenaga positif dan sokongan”, yang memperkaya kefahaman beliau tentang komuniti filem antarabangsa dan dinamiknya.

Sedar terdapat banyak cabaran untuk pereka dan artis Malaysia beraksi di pentas global, beliau berkata ada banyak peluang bagi mereka mempamerkan rekaan masing-masing di peringkat antarabangsa.

Tentang perancangan masa depannya, Sharwita bertekad untuk meneruskan misinya ke Cannes dan pergi lebih jauh.

“Saya tidak sabar menunggu Festival Filem Cannes pada tahun depan. Saya berhasrat membawa bersama seseorang daripada generasi yang lebih muda dan layak berjalan di laluan karpet merah,” katanya yang komited untuk membimbing bakat baharu.

Festival Filem Cannes diadakan pada Mei setiap tahun di bandar Cannes yang terletak di pesisir pantai Cote d’Azur, tenggara Perancis,  bagi meraikan pemain industri filem serta menobatkan filem terbaik. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan