Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-65 dan Anugerah 2024 Institusi Jurutera Malaysia (IEM) di sini, malam tadi. Foto, Facebook Fadillah Yusof.

Menerapkan prinsip ketahanan ESG dalam industri kejuruteraan – TPM Fadillah

ByBernama

PETALING JAYA, 2 Jun: Industri kejuruteraan boleh meningkatkan reputasi dan daya tahan untuk menyumbang kembali secara positif kepada masyarakat dan memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih saksama dan alam sekitar yang mampan melalui penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penerapan ESG semakin mendapat perhatian daripada kedua-dua perniagaan dan pelabur.

Beliau berkata di sebalik pembangunan pesat negara, negara masih bergelut dengan cabaran besar seperti pencemaran dan jurang sosioekonomi yang memerlukan campur tangan yang teliti.

“Ketika Malaysia meneruskan trajektori pertumbuhan pesatnya, ia perlu menghadapi isu mendesak seperti penebangan hutan dan aktiviti degradasi alam sekitar yang menjejaskan ekosistem dan komuniti.

“Selain itu, jurang kekayaan yang semakin melebar memburukkan lagi ketidaksamaan sosial, terutamanya yang menjejaskan kumpulan terpinggir seperti komuniti orang asli dan keluarga berpendapatan rendah,” katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-65 dan Anugerah 2024 Institusi Jurutera Malaysia (IEM) di sini, malam tadi.

“Oleh itu, sebagai responds kepada ketidakseimbangan ini, syarikat semakin mengutamakan inisiatif ESG dan mengiktiraf kepentingan untuk mengurangkan kesan alam sekitar, menyokong komuniti dan menegakkan piawaian tadbir urus etika.

“Pelabur juga lebih menekankan kriteria ESG apabila membuat keputusan pelaburan, didorong oleh keinginan untuk pulangan jangka panjang yang mampan,” katanya.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk mempromosikan amalan ESG, melaksanakan peraturan dan inisiatif yang bertujuan untuk mengalakkan kemampanan merentas industri.

“Melalui amalan prinsip ke arah pembangunan mampan, Malaysia mengiktiraf pentingnya strategi berani dan berpandangan jauh untuk mengurangkan pergantungan negara terhadap bahan api fosil sambil kami bergerak ke arah penyahkarbonan dengan matlamat utama sumber tenaga yang lebih bersih, lebih berpatutan, boleh dipercayai serta mampan.

“Tahun lalu, pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) merupakan satu inisiatif penting yang bertujuan mencapai Pelepasan Sifar Karbon Bersih menjelang 2050 dan pelan hala tuju strategik ini bukan sahaja menggariskan komitmen negara kita terhadap masa depan yang mampan tetapi juga berfungsi sebagai rangka kerja asas dalam menyokong pematuhan piawaian ESG global,” katanya.

Beliau mengakui bahawa ESG semakin mendapat tarikan di Malaysia, didorong oleh mandat kawal selia, jangkaan pelabur dan kesedaran yang semakin meningkat tentang kepentingannya untuk perniagaan dan masyarakat.

“Sesuatu yang amat menggembirakan melihat usaha IEM terhadap prinsip ESG dalam menegakkan standard etika yang tinggi, memupuk keterangkuman dan mempertimbangkan faktor sosial dan tadbir urus untuk projek kejuruteraan, dan ia seharusnya dipuji.

“Kita perlu sentiasa menyedari bahawa ESG sedang membentuk semula kejuruteraan ke arah yang lebih baik dan bukan sekadar menangani cabaran tetapi merebut peluang untuk melakukan inovasi, pertumbuhan dan impak positif kepada masyarakat,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan