Search
Close this search box.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Bandar Dunia (WCS) dan Forum Infrastruktur Asia (AIF) 2024 yang akan berlangsung tiga hari bermula esok di Singapura. Foto fail TVS

Nanta ketuai delegasi Malaysia ke WSC, AIF 2024 di Singapura esok

ByBernama

KUALA LUMPUR, 1 Jun: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Bandar Dunia (WCS) dan Forum Infrastruktur Asia (AIF) 2024 yang akan berlangsung tiga hari bermula esok di Singapura.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan hari ini memaklumkan WCS menjadi platform eksklusif untuk pemimpin kerajaan dan pakar industri dari seluruh dunia bertukar pandangan dalam menangani cabaran pembangunan bandar yang boleh didiami dan mampan.

Selain itu, WCS yang merupakan acara dwitahunan turut menjadi platform untuk berkongsi penyelesaian bandar bersepadu dan menjalin perkongsian baharu bersama negara lain yang terlibat dalam persidangan berkenaan.

“Bertemakan Liveable and Sustainable, Rejuvenate, Reinvent, Reimagine, ia menghimpunkan pemimpin dan pihak berkepentingan untuk membincangkan mengenai peluang serta penyelesaian bagi mencapai tahap pembangunan bandar mampan, pintar, berdaya tahan dan regeneratif pada masa kini mahupun masa hadapan serta kualiti bandar yang mampu memberikan kehidupan yang baik untuk semua warganya,” menurut kenyataan itu.

Pada sidang berkenaan Nanta dijadual berucap sebagai ahli panel dalam Sesi Plenari Utama Perasmian WCS.

“Menteri Kerja Raya akan berkongsi pandangan di samping mengulas serta mengupas isu berkaitan kepentingan pembangunan dan infrastruktur mampan termasuk impak serta faedahnya kepada negara membangun seperti Malaysia,” menurut kementerian itu.

Nanta juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Pembangunan Nasional Singapura Desmond Lee bagi membincangkan dan meneroka potensi kerjasama dalam sektor pembinaan serta pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Usaha berkenaan selari dengan inisiatif pengantarabangsaan di bawah Dasar Pembinaan Negara (NCP) 2030 selain menjadi fokus utama pencapaian KKR bagi memperkasakan TVET di negara ini.

Kenyataan itu juga memaklumkan penyertaan Malaysia ke persidangan antarabangsa itu bakal memperlihatkan komitmen dan kesungguhan negara dalam mengetengahkan isu perancangan serta pembangunan bandar dan infrastruktur mampan negara melibatkan bidang pembinaan, infrastruktur dan teknologi.

“Persidangan ini juga secara tidak langsung dapat membuka ruang dan peluang kepada Malaysia untuk mencapai hasil positif dalam perancangan negara ke arah pembangunan sektor pembinaan dan infrastruktur yang mampan dan pintar berlandaskan teknologi terkini,” menurut kenyataan itu.

Turut sama dalam delegasi Malaysia ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan) KKR Mohd Sakeri Abdul Kadir, pengurusan tertinggi serta pegawai kanan dan agensi di bawah KKR.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan