Search
Close this search box.
Sekurang-kurangnya 36,050 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza, sebahagian besarnya adalah wanita dan kanak-kanak manakala lebih 81,000 yang lain cedera sejak Oktober lepas. Foto AFP

Kesemua anggota EMT Mercy Malaysia berjaya dibawa keluar dari Rafah, Gaza

ByBernama

KUALA LUMPUR, 1 Jun: Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Sabtu mengesahkan kesemua enam anggota Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) Mercy Malaysia telah berjaya dibawa keluar dengan selamat dari Rafah, Gaza.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan enam anggota EMT dibawa keluar dari zon konflik secara berperingkat bersama-sama dengan petugas antarabangsa yang lain.

“Sebahagian ahli-ahli EMT ini telah dibawa keluar masing-masing pada 23, 24 dan 28 Mei manakala kumpulan terakhir yang terdiri daripada dua orang ahli EMT telah dibawa keluar pada 31 Mei,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar ingin merakamkan penghargaan kepada semua rakan antarabangsa yang telah memberikan kerjasama dan komitmen dalam memastikan keselamatan petugas warganegara Malaysia tersebut sehingga mereka berjaya dipindahkan keluar dari zon konflik.

Kenyataan itu menyatakan bahawa kementerian juga ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia agar tidak melakukan sebarang perjalanan ke mana-mana zon konflik.

Beribu-ribu rakyat Palestin melarikan diri dari kawasan barat Rafah selepas tentera Israel meluaskan serangannya ke bandar itu pada Isnin malam (27 Mei).

Ramai rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan khemah untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Tal al-Sultan, barat laut pusat bandar Rafah, kata sumber perubatan kepada Agensi Anadolu.

Menurut saksi, serangan itu menyebabkan kakitangan perubatan dan pesakit terperangkap di dalam klinik Tal al-Sultan dan hospital medan Indonesia di Rafah.

Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas Gaza walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menuntut gencatan senjata segera.

Sekurang-kurangnya 36,050 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza, sebahagian besarnya adalah wanita dan kanak-kanak manakala lebih 81,000 yang lain cedera sejak Oktober lepas. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan