Search
Close this search box.
Presiden STU, Kullin Djayang (tiga kiri) bersama ahli STU mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan Sarawak, Datu Dr Azhar Ahmad. Foto TVS

STU cadang wujud Anugerah Perkhidmatan Setia kepada guru Sarawak

KUCHING, 31 Mei: Kesatuan Guru Sarawak (STU) mencadangkan kepada kerajaan negeri Anugerah Perkhidmatan Setia kepada para guru kelahiran Sarawak yang telah bertugas sebagai pendidik selama 30 tahun di negeri ini.

Presiden STU, Kullin Djayang berkata pingat tersebut boleh disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Sarawak semasa majlis anjuran Jabatan Pendidikan Sarawak sendiri.

“Cadangan ini adalah bagi menghargai para guru yang kebanyakannya tidak pernah menerima sebarang pingat dalam perkhidmatan mereka daripada Kerajaan Sarawak.

“Perkara ini akan diperincikan lagi oleh pihak JPN dan mereka akan merujuk status pingat kepada Jabatan Premier Sarawak terlebih dahulu,” katanya kepada TVS hari ini.

Terdahulu beliau bersama Setiausaha Agung, Chung Fui San, dan 10 ahli jawatankuasa tertinggi STU mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan Sarawak, Datu Dr Azhar Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Siti Zulaiha Ibrahim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Zamzaitul Akmal Hisham Yussuf serta para ketua sektor dan wakil setiap sektor di JPN.

Selain itu, katanya, perkara lain yang turut dibincangkan ialah isu capaian internet di kawasan sekolah di pedalaman yang mana terdapat menara tetapi ia masih belum berfungsi.

“Keadaan ini memberikan kesukaran kepada para guru untuk melakukan pelbagai perkara online termasuklah pembelajaran secara digital.

“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa perkara ini perlu diunjurkan secara kerjasama kesatuan dan JPN kepada pihak kerajaan negeri untuk bertindak lebih progresif,” ujarnya.

Beliau berkata, pihak STU juga ada mengemukakan aduan daripada para ahli berkaitan beberapa perkara yang berlaku di sekolah seperti tindakan ketua jabatan yang agak kurang disenangi kerana terlalu mendesak serta menekan ahli dalam tugasan di sekolah sehingga melibatkan pemberian markah penilaian LNPT.

“Ada juga para ahli mendakwa segelintir ketua jabatan yang selalu memberikan arahan dan tugasan pada saat akhir sehingga memanggil guru yang sepatutnya bercuti untuk datang bertugas.

“Terdapat juga dakwaan ahli di mana berlaku perselisihan faham serta pertindihan tugas antara warden dan Pembantu Pengurusan Murid(PPM) di sekolah rendah,” jelasnya.

Katanya, dalam perbincangan tersebut STU mohon agar pihak JPN melihat perkara itu dengan lebih terperinci serta membuat penyelesaian yang memberikan kepuasan atau keselesaan bagi semua pihak terbabit. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan