Search
Close this search box.
Perutusan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersempena Perayaan Gawai Dayak 2024

Perutusan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersempena Perayaan Gawai Dayak 2024

SALAM SEJAHTERA,
SALAM SARAWAK KU SAYANG,
DAN SALAM PERPADUAN.

Bersempena dengan Perayaan Hari Gawai Dayak 2024, saya dan keluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Gawai 2024 kepada semua rakan kita yang berketurunan Dayak di mana sahaja mereka berada, khususnya di seluruh Sarawak dengan ucapan selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menua.

2. Saya percaya pada masa ini kebanyakan daripada rakan-rakan kita yang berketurunan Dayak sudah berada bersama-sama keluarga masing-masing untuk menyambut Hari Gawai. Inilah saat yang paling sesuai untuk kita mempereratkan hubungan kekeluargaan sesama keluarga, jiran tertangga, rakan dan seluruh anggota masyarakat.

3. Kita di Malaysia, khususnya di Sarawak sesungguhnya bertuah kerana terdiri daripada pelbagai kaum dan pelbagai anutan agama. Dalam situasi kepelbagaian tersebut, kita menghormati anutan agama, adat resam budaya di antara satu sama lain dengan penuh kesantunan. Ini terbukti apabila sudah menjadi tradisi sambutan Gawai Dayak di Sarawak diraikan oleh bukan sahaja kaum bangsa Dayak tetapi juga diraikan oleh seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama.

4. Kunjung-mengunjung di antara satu dengan yang lain apabila tiba musim perayaan begini menjadi suatu suasana menarik dalam negara kita, khususnya di Sarawak. Ini mencerminkan eratnya hubungan kita sebagai rakyat yang pelbagai kaum dan pelbagai pula anutan agama atau kepercayaan. Saya meletakkan keyakinan agar generasi baharu akan meneruskan tradisi begini demi memastikan ia kekal untuk diwarisi pula oleh generasi seterusnya.

5. Apabila sampai di kampung masing-masing nanti, saya dengan ini menyeru agar kita semua menjadi ejen pembangunan masyarakat dengan menyebarkan kepentingan pendidikan di dalam masyarakat dan kampung kita masing-masing. Dengan adanya kesedaran mengenai pentingnya pendidikan maka masyarakat kita tidak ketinggalan daripada arus kemajuan. Kita sebarkan tentang semua dan pelbagai inisiatif Pendidikan yang dirancang oleh pihak kerajaan Sarawak yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier kita untuk menjadikan Sarawak wilayah maju menjelang tahun 2030. Dengan tertubuhnya 5 institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak (iCats University College, Sarawak Skills, Centexs, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Kolej Laila Taib) dan 5 buah sekolah antarabangsa (Yayasan Sarawak International School di Petra Jaya, Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri) yang juga milik Kerajaan Sarawak pastinya akan dapat membantu masyarakat kita mengorak langkah demi memastikan anak-anak kita di bangku sekolah menyediakan diri untuk merealisasikan pelbagai inisiatif tersebut menerusi pendidikan. Dengan menguasai ilmu kita akan menguasai pelbagai teknologi termasuk teknologi hijau, AI dan sebagainya yang tersenarai dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 Sarawak. Dengan sumber tenaga manusia dalam kalangan penduduk tempatan mahir yang cukup, kita tidak akan bergantung dengan pakar asing dalam rangka Pembangunan Sarawak. Sebaliknya, kita akan memanfaatkan kepakaran tempatan untuk mengangkat Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030. Itulah impian kita bersama yang harus kita realisasikan dengan semangat kekitaan dalam kepelbagaian secara profesional dan berhemah.

6. Seiring dengan itu juga, janganlah kita menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk menafikan pendidikan anak-anak kita. Anggaplah kemiskinan itu sebagai cabaran dan bukan halangan terus ketinggalan serta sentiasa menyalahkan keadaan. Sekarang kita menyaksikan pelbagai bantuan dan kemudahan telah disediakan oleh pihak Kerajaan untuk memastikan setiap rakyat di negara ini tidak ketinggalan untuk mengejar ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat universiti.

7. Sebelum anak-anak Sarawak boleh melanjutkan pelajaran ke institusi tinggi, mereka perlu dipupuk dan dibimbing di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab tidak boleh memantau aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya di sekolah-sekolah. Guru-guru dan pentadbir sekolah perlu juga memainkan peranan dalam memastikan anak bangsa menjadi anak terdidik, berfikiran luas dan bermotivasi. Oleh itu, segala-galanya kini terserah kepada kita semua untuk merebut peluang yang disediakan oleh Kerajaan. Di hari baik dan bulan baik ini mari kita bersama menghayatinya. Jangan sama sekali kita tertinggal kerana kelemahan sebahgian dari kalangan kita sendiri.

8. Namum demikian, dalam keadaan yang terbuka luas sekarang tiap-tiap kita mesti mempunyai sikap dan pendirian yang positif. Barang siapa yang hendak mesti berani mencuba jangan terus mengalah jikalau belum mencuba. Cuba dahulu. Sekali gagal cuba lagi. Cari kelemahan sendiri mengapa kita gagal sebelum kita mengadili orang lain atas segala kelemahan, kegagalan dan kekurangan. Kerana mengadil orang lain dahulu akan mendatangkan pergeseran dan perpecahan. Kita mesti pertahankan perpaduan. Sejarah telah menunjukkan kepada kita bahawa perpecahan akan mendatangkan malapetaka bukan sahaja kepada kita tetapi kepada negeri dan Negara. Kemajuan, kesenangan dan keselesaan akan terbantut. Tiada siapa yang akan beruntung. Terutamanya dalam masyarakat yang berbilang kaum dan anutan agama seperti Sarawak. Sebaliknya buktikan lah tiap-tiap kita benar-benar menguasai ilmu dan berkepakaran tinggi untuk memajukan keluarga, masyarakat dan seterusnya negara. Meminjam ungkapan keramat Panglima Rentap ‘agi idup agi ngelaban’ begitulah kuatnya semangat dan cekalnya hasrat kita dalam mempertahankan perpaduan masyarakat kita dan membawa mereka ke mercu kejayaan demi mencapai wawasan Sarawak maju menjelang tahun 2030.

 

9. Ketika kita bergembira menyambut perayaan Hari Gawai, saya serta keluarga juga ingin mengingatkan agar kita berhati-hati dalam perjalanan untuk balik ke kampung halaman masing-masing. Lebih-lebih lagi kini kita sudah mempunyai rangkaian jalan raya yang lebih selesa maka janganlah lebuh raya pan-Borneo kita jadikan litar lumba, biarlah lambat asalkan selamat. Memandulah dengan berhemah dan patuhilah semua peraturan dan undang-undang jalan raya. Pastikan kenderaan anda dalam keadaan yang baik, tayar yang masih selamat untuk digunakan, alignment kereta dan stereng jangan dilupa, pendek kata periksalah keselamatan kenderaan anda, rumah yang ditinggalkan jangan lupa dikunci dan ditutup semua bekalan elektrik.

10. Di samping itu, kita janganlah lupa akan pengorbanan pasukan keselamatan kita yang bertugas di perbatasan negara pada perayaan Hari Gawai ini. Mereka terpaksa mengorbankan keinginan untuk menyambut Hari Gawai bersama-sama keluarga demi menjaga perbatasan negara sama ada di darat mahupun di laut. Begitu juga dengan penjawat awam lain yang terpaksa menjalankan tugas demi negara pada musim perayaan Hari Gawai ini. Untuk mereka saya merakamkan setinggi penghargaan dan setulus terima kasih.

11. Akhir kata, sekali lagi bagi pihak diri saya serta keluarga, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Gawai kepada semua masyarakat berketurunan Dayak di mana sahaja mereka berada, khususnya di seluruh Sarawak. Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menua. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan