Search
Close this search box.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bercakap pada sesi Townhall 7 Tahun bersama Premier Sarawak di sini, hari ini.

Perutusan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg sempena Gawai Dayak 2024

PERUTUSAN
YAB PREMIER SARAWAK
DATUK PATINGGI TAN SRI (DR) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN
ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG
SEMPENA

GAWAI DAYAK 2024

 

Salam sejahtera

Salam Segulai Sejalai

Salam Sarawak Maju Makmur

1. Oh ha.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

2. Bagi pihak saya sendiri dan keluarga, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Hari Gawai 2024 kepada rakan- rakan dan anak Sarawak berketurunan Dayak di mana sahaja saudara dan saudari berada.

3. Mungkin ada yang sudah berada di pangkuan keluarga di rumah panjang atau kampung masing-masing pada ketika ini. Mungkin juga ada yang tidak dapat kembali ke tempat asal masing-masing seperti anak-anak perantauan di Semenanjung atau di luar negara kerana keperluan tugas atau sebab-sebab lain. Tidak kira di mana saudara dan saudari berada saya pasti semangat sebagai anak Sarawak tetap membara di hati sanubari masing-masing lebih-lebih lagi pada musim menyambut gawai ini yang menjadi identiti masyarakat Dayak.

4. Pada musim Gawai ini, saya begitu tertarik dengan usaha pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti pra-gawai yang menonjolkan ciri-ciri unik masyarakat Dayak di samping menyemarakkan lagi mood Gawai Dayak pada tahun ini. Saya amat berharap aktiviti-aktiviti seperti ini akan terus memupuk perpaduan dalam kalangan kaum Dayak sendiri agar Gawai Dayak menepati matlamat ianya diinstitusikan sebagai wadah penyatuan kaum Dayak.

5. Usaha-usaha para pemimpin kaum Dayak terdahulu seperti mendiang Dato Sri Tra Zendher yang telah berjuang supaya Gawai Dayak diiktiraf oleh Kerajaan harus terus diperkasakan sebagai identiti dan kuasa penyatuan kaum Dayak di Bumi Kenyalang ini.

6. Dari segi budaya, Gawai Dayak merupakan pesta selepas musim menuai padi mengikut tradisi kaum Dayak untuk meraiekan hasil tuaian yang baik. Amat wajar diraiekan usaha yang telah membuahkan hasil, bukan sahaja dari segi hasil tuaian di sawah atau huma padi, kerana maksud “hasil tuaian” itu pada era modern ini harus meliputi bidang-bidang lain termasuk kemajuan perniagaan atau pekerjaan. Untung yang banyak, kenaikan pangkat dan gaji yang lumayan juga harus diraiekan seperti merayakan kesyukuran daripada hasil tuaian padi yang banyak.

7. Pada zaman dahulu, kehidupan masyarakat Dayak berkisar banyak pada tradisi menanam padi yang hanya bertujuan untuk menyara kehidupan keluarga, atau subsistence farming dan bukan berbentuk perniagaan. Pada era sekarang hasil tuaian banyak bergantung kepada penggunaan teknologi dan jentera seperti di kawasan-kawasan yang sudah maju dalam penanaman padi dan pengeluaran beras dengan sumber yang terhad. Atas alasan ini saya telah meminta pihak UPM melalui kampus cawangan di Bintulu untu membuat penyelidikan di beberapa lokasi di Gedong dan Lubuk Punggur, Simunjan untuk mempertingkat hasil pengeluaran beras dengan benih hybrid yang berkualiti tinggi.

8. Kajian tersebut yang mengunakkan kaedah baharu telah menunjukkan bahawa 1 hektar padi mampu mengeluarkan 8 tan padi dalam satu musim berbanding kaedah lama yang hanya boleh mengeluarkan 1 tan sahaja. Di samping itu, dengan kaedah baru ini, petani mampu menanam sebanyak lima (5) musim dalam tempoh 24 bulan. Kajian juga sedang dibuat untuk mengeluarkan benih hybrid yang mencukupi untuk kegunaan di seluruh Sarawak.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

9.Baru-baru saya telah mengadakan lawatan ke Seoul, Korea Selatan untuk bertemu para pelabur yang melihat Sarawak sebagai sebuah kawasan yang begitu berpotensi sebagai hub tenaga hijau di rantau Asia. Sekarang ini tiga buah syarikat Korea berkenaan sedang mengukuhkan komitmen untuk melangkah seterusnya bagi merealisasikan projek H2biscus di Bintulu yang akan mengeluarkan gas hidrogen dan ammonia sebagai bahan api bersih.

10. Dalam pertemuan tersebut salah sebuah syarikat Korea berkenaan juga telah mengemukakan cadangan untuk membina sebuah fasiliti bersepadu yang berasaskan tenaga hijau. Kos projek tersebut termasuk kos-kos berkaitan dijangka mencecah USD460 billion sehingga 2050 seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Kerajaan Sarawak pimpinan saya telah menyatakan komitmen untuk mempastikan projek tersebut di Bintulu akan menjadi kenyataan sebagai satu lagi program untuk terus memacu transformasi ekonomi Sarawak yang berasaskan tenaga hijau.

11. Selain itu, saya juga akan mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat antarabangsa dari negara-negara Arab yang ingin berkerjasama dengan Sarawak dalam industri tenaga hijau. Sebelum ini, negara-negara European Union (EU) melalui duta-duta besar negara masing-masing telah berkunjung ke Sarawak dan menyatakan kesediaan mereka untuk berkolaborasi dengan Sarawak dalam bidang yang sama. Ini menunjukkan bahawa para pelabur luar yakin dengan komitmen dan halatuju Sarawak ke arah membina sebuah ekonomi yang berteraskan penggunaan dan pengeluaran sumber tenaga hijau selari langkah sejagat untuk menangani perubahan iklim dunia.

12. Saya amat yakin jika semua projek ini dan projek-projek lain sudah menjadi kenyataan menjelang 2030 rakyat Sarawak akan berpeluang untuk menikmati pekerjaan yang memberikan gaji yang tinggi sekaligus melengkapkan status Sarawak sebagai sebuah kawasan yang maju dan berpendapatan tinggi. Dalam pada itu, sekarang sudah ada beberapa program dan projek pembangunan yang dicadangkan sehingga 2050 yang akan terus mempastikan kemajuan Sarawak akan berkekalan selepas 2030.

13. Itulah harapan dan impian yang ingin saya kongsikan dengan saudara dan saudari pada musim perayaan Gawai Dayak pada tahun ini. Semoga semua Anak Sarawak, khususnya kaum Dayak, terus berusaha dengan gigih untuk mengangkat martabat Sarawak sebagai kawasan yang maju dan makmur di mata dunia, Insyallah.

Saudara dan saudari sekalian,

14. Transformasi ekonomi Sarawak di bawah pentadbiran GPS tidak bergantung kepada nasib tetapi perlu bekerja keras berdasarkan kepada perancangan yang teliti dan berpandangan jauh melalui Strategi Pembangunan Pasca Covid 2030 (PCDS 2030). PCDS 2030 berteraskan kepada tiga tonggak, iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

15. Dalam pada itu, kuasa yang diperolehi oleh Kerajaan Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan bukan juga bergantung kepada nasib kerana perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak didasari oleh peruntukan-peruntukan tertentu dalam Perlembangaan Persekutuan, MA63 dan Laporan-Laporan IGC (atau Inter-Government Committee Report) yang menjadi asas penubuhan Malaysia. Beberapa kuasa yang diberi kepada Sarawak pada kebelakangan ini, termasuk penyerahan Pelabuhan Laut Dalam dan pengedaran gas kepada Sarawak adalah kuasa-kuasa yang terhakis dan harus dikembalikan kepada Sarawak. Kerajaan GPS akan terus mengadakan perundingan dengan Kerajaan Persekutan untuk mengembalikan semua hak Sarawak yang telah terhakis.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

16. Sempena menyambut Gawai Dayak pada tahun ini sekali lagi sebagai Premier yang menjaga kepentingan semua kaum, saya melahirkan harapan agar kaum Dayak menggunakan kesempatan ini untuk terus memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Dayak itu sendiri. Gunakan perpaduan itu untuk melakar masa hadapan kaum Dayak yang gemilang sama-sama dengan masyarakat  ain di Bumi Kenyalang yang bertuah ini.

17. Sarawak berada pada landasan yang betul untuk menuju matlamat menjadi kawasan yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan GPS. Saya menyeru agar masyarakat Dayak merobohkan segala tembok dari segi kekangan pemikiran untuk menjadi kaum yang progresif dan dinamik di era yang penuh dengan cabaran tetapi sarat dengan peluang ke arah kemajuan.

18. Akhir kata, sekali lagi saya dan isteri, Puan Sri Hajjah Juma’ani mengucapkan Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai Lantang Senang Nguan Menua kepada seluruh masyarakat Dayak yang merayakan Gawai.

19. Sekian. Terima kasih. Oh Ha.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan