Search
Close this search box.
Penyakit mulut bakal menjadi keutamaan dan dimasukkan ke dalam agenda penyakit tidak berjangkit (NCD) yang baharu pada Mesyuarat Peringkat Tertinggi Keempat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai NCD 2025. Foto hiasan Envato

Penyakit mulut bakal diberi keutamaan, dimasukkan dalam agenda NCD global

ByBernama

PUTRAJAYA, 31 Mei: Penyakit mulut bakal menjadi keutamaan dan dimasukkan ke dalam agenda penyakit tidak berjangkit (NCD) yang baharu pada Mesyuarat Peringkat Tertinggi Keempat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai NCD 2025.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia antara topik perbincangan yang diutarakan dalam program ‘Kesihatan Mulut: Masa untuk Komitmen dan Bertindak’ yang bertemakan penentuan dan pengukuran kejayaan Pelan Tindakan Kesihatan Mulut Global (GOHAP) 2023-2030, diadakan sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) kali ke-77 di Geneva.

“Penekanan komitmen politik negara anggota terhadap kesihatan mulut serta mempercepat peluasan usaha mencegah dan mengawal penyakit mulut bersama NCD lain amat penting bagi melaksanakan dasar kesihatan mulut global, memantapkan dasar kesihatan mulut nasional serta menggerakkan pihak berkepentingan di luar sektor kesihatan mulut.

“Kemajuan menuju liputan perlindungan kesihatan sejagat (UHC) untuk kesihatan mulut menjelang 2030 bergantung pada kemampuan dan kesediaan kementerian kesihatan negara anggota dan pihak berkepentingan lain dalam menyelaras, bekerjasama dan mengintegrasikan usaha ini,” menurut KKM.

Malaysia membentangkan pengalaman dan kejayaan dalam melaksanakan serta memantau pencapaian GOHAP 2023-2030 kepada komuniti global selain turut membincangkan kaedah inovatif untuk menilai pelaksanaan, pengukuran kejayaan dan hala tuju untuk menggembleng pihak berkepentingan di luar sektor kesihatan mulut.

“Menerusi sesi interaktif ini, tindakan, konsep, idea pelaksanaan dan pemantauan pencapaian GOHAP antara negara anggota dibincangkan sebagai persiapan menuju Mesyuarat Kesihatan Mulut Global yang buat julung kalinya dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) di Thailand pada Nov 2024,” menurut KKM.

Untuk rekod, Malaysia melancarkan Dasar Kesihatan Pergigian Kebangsaan dan pelan strategiknya selaras dengan inisiatif global pada tahun 2023.

Sejumlah 18 tindakan nasional ke arah mempertingkatkan UHC bagi kesihatan pergigian dilaksanakan di seluruh negara selaras dengan enam objektif strategik GOHAP, antaranya meliputi aspek tadbir urus kesihatan pergigian, promosi dan pencegahan penyakit serta penjagaan kesihatan pergigian.

“Malaysia beriltizam melaksanakan agenda kesihatan mulut global menerusi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan daripada sektor awam, swasta, badan bukan kerajaan dan pemain industri demi mencapai status kesihatan mulut rakyat yang terbaik,” kata KKM. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan