Search
Close this search box.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan (MYSED) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama atlet tenpin boling Sarawak di Kuching merakam kenangan selepas sidang media Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Terbuka Sarawak 2024 di Kuching, hari ini. Foto TVS

Lebih RM3 juta diperuntuk naik taraf SRTC tenpin boling Sarawak

KUCHING, 31 Mei: Kerajaan Sarawak memperuntukkan lebih RM3 juta bagi pelaksanaan menaik taraf kemudahan sukan tenpin boling di Pusat Penyelidikan dan Latihan Sarawak (SRTC) di sini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan (MYSED) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata usaha penambahbaikan itu merupakan sebahagian daripada persiapan untuk Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Terbuka Sarawak (SIOTBC) 2024 pada Jun ini dan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 pada Ogos nanti.

“Ini merupakan salah satu pencapaian terbaik kita di rantau ini dalam memupuk serta mengasah bakat dan memangkin kecemerlangan dalam sukan. SRTC merupakan bukti komitmen Sarawak terhadap pembangunan sukan, sejajar dengan visi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan. Kelebihan pusat ini dapat dilihat menerusi penggunaan pendekatan terkini dalam peralatan bimbingan serta latihan digital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Terbuka Sarawak 2024 di Kuching pada Jumaat.

Tambah Abdul Karim, kemudahan teknologi terkini yang ada di SRTC akan turut membantu jurulatih tenpin boling dalam menganalisa secara lebih mendalam kelebihan serta kekurangan atlet tenpin boling dari aspek balingan, sudut dan kelajuan bola boling, selain mengatur latihan khusus bagi meningkatkan teknik pemain.

Malah beliau turut berpuas hati dengan persiapan latihan atlet tenpin boling negeri menjelang Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Terbuka Sarawak 2024 yang bakal berlangsung di Megalanes Sarawak, Batu Kawa di sini.

Seramai 600 pemain tenpin boling dari 11 negara bakal berentap dalam kejohanan itu yang bermula 10 hingga 15 Jun 2024.

Antara negara-negara yang dijangka bakal menyertai SIOTBC 2024 adalah Singapura, Thailand, China Taipei, Filipina, Hong Kong, Indonesia, Brunei, Australia, United Kingdom dan tuan rumah, Malaysia.

Hadir sama Timbalan Menteri MYSED, Dato Gerald Rentap Jabu, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Sherrina Hussaini, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan Presiden Persatuan Tenpin Boling Sarawak, Sunny Si Poh Heng. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan