Search
Close this search box.
Keberkesanan pelaksanaan perancangan berkenaan menjadi kunci kejayaan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS). (Foto hiasan Envato)

Kerjasama pihak berkepentingan kunci keberkesanan pelaksanaan NSS

ByBernama

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Malaysia kini giat memacu usaha bagi merancakkan industri semikonduktor selain bersedia terhadap lonjakan berteraskan kecerdasan buatan (AI) dari segi permintaan cip berkuasa tinggi.

Namun hakikatnya, keberkesanan pelaksanaan perancangan berkenaan menjadi kunci kejayaan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang dilancarkan bersempena penganjuran acara berskala besar SEMICON Asia Tenggara 2024 selama dua hari yang berakhir semalam.

Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila kerajaan mendapat pujian kerana memberi reaksi pantas terhadap usaha penting kehadiran era baharu AI menerusi langkah memperkenalkan NSS.

Jika diamati, kaitan penting NSS adalah statusnya sebagai satu dokumen ‘hidup’ dan sentiasa berkembang susulan persaingan global dalam sektor itu yang sememangnya sengit.

Apatah lagi, limpahan manfaatnya yang menanti juga lumayan, termasuk potensi ekonomi yang ketara, terutama dalam penjanaan peluang pekerjaan.

Oleh itu, bagi meraih manfaat ekonomi itu, kesemua pihak berkepentingan perlu tampil menggembleng tenaga dalam satu arah bagi mewujudkan industri semikonduktor yang kukuh bagi negara ini.

Tidak kiralah sama ada kementerian, kerajaan negeri, penggiat berkaitan industri atau institusi pengajian tinggi, perlu bertindak berani dengan mengetepikan perbezaan masing-masing dan mencari titik persefahaman dan menerima satu matlamat sama serta memainkan peranan untuk pelaksanaan NSS secara berkesan.

Kerjasama tempatan pelengkap ekosistem

Sehubungan itu, adalah penting bagi semua pihak berkepentingan untuk memperkemas kekuatan serta bidang keutamaan ke arah matlamat sama iaitu NSS dan membuang tabiat lama untuk lebih cenderung berharap kepada pihak lain.

Sepertimana yang terbukti, Pulau Pinang dianggap sebagai Lembah Silikon Timur dan kini masih menjadi pilihan utama untuk pelaburan langsung asing susulan ekosistemnya yang mantap dan boleh dicontohi oleh negeri-negeri lain.

Atas alasan ini, bidang kuasa negeri serta agensi Persekutuan tidak boleh membiarkan kekangan birokrasi menjadi penghalang yang menyebabkan pelaksanaan NSS terjejas.

Ini penting bagi memastikan keseluruhan Malaysia mampu menjadi lokasi menarik untuk kalangan syarikat semikonduktor asing yang mahu beralih mencari destinasi baharu susulan perang cip Amerika Syarikat (AS) dan faktor kos yang meningkat.

Perkara itu turut ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu melancarkan NSS pada awal minggu ini – Malaysia perlu tangkas dan berupaya menyesuaikan diri “dengan mengukuhkan asas kita untuk konteks serta keadaan yang berbeza.”

Mesej beliau juga jelas – kalangan pembuat dasar Malaysia dan industri semikonduktor mesti bertindak segera selain fleksibel untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Selain pelawaan agar pelabur memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan, Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memberi sokongan.

Ini termasuk sokongan inisiatif bagi memudahcara perdagangan, aliran pelaburan, perjalanan perniagaan dan membolehkan institusi, termasuk pusat kecemerlangan, universiti, cabang penyelidikan serta persatuan industri untuk memacu inovasi, menjalankan penyelidikan serba maju dan memupuk bakat untuk industri semikonduktor.

Persoalannya, adakah pihak berkepentingan ini bersedia untuk menyahut cabaran ini?

Kerjasama serantau bagi memupuk bakat, memudahcara mobiliti

Di peringkat global, industri itu berdepan cabaran kritikal – menarik dan mengekalkan bakat serta menangani jurang kemahiran yang besar akibat kemajuan tekknologi yang pesat.

Justeru, tiba masanya untuk kita bertindak membawa balik bakat tempatan yang berkhidmat di luar negara dan menarik bakat asing yang penting dalam usaha membangunkan sektor di negara-negara jiran dan lainnya untuk memastikan kejayaan pelaksanaan NSS.

Bagi memenangi persaingan merebut bakat ini, sektor korporat ini perlu menawarkan gaji yang amat kompetitif.

Sejajar dengan perkara itu, saranan mantan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming mengenai keperluan Malaysia dan negara-negara jiran untuk bekerjasama dalam membangunkan hab semikonduktor baharu, wajar dipertimbangkan.

Beliau berkata Malaysia boleh memulakan usaha itu dengan Singapura bagi menjadikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai hab semikonduktor baharu, memudahcara aliran bakat dengan potensi mobiliti atau pergerakan bebas pasport untuk pekerja kedua-dua negara.

Ia juga menjadi kaedah menarik bagi mengelak perang bakat atau tindakan ‘mencuri’ pakar semikonduktor dan jurutera mahir (yang sedang berkhidmat) – satu amalan dalam kalangan firma semikonduktor, terutamanya di tengah-tengah kekurangan minat membabitkan pelajar dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Mengikut Kementerian Pendidikan, kemasukan pelajar dalam aliran STEM adalah rendah pada 45.73 peratus pada 2023.

Di bawah NSS, Malaysia bersedia untuk menarik pelaburan bernilai sekurang-kurangnya RM500 bilion, membangunkan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan dalam reka bentuk dan pembungkusan canggih dengan perolehan antara RM1 bilion dan RM4.7 bilion selain berharap untuk membimbing sekurang-kurangnya 100 syarikat berkaitan semikonduktor dengan pendapatan hampir RM1 bilion (US$210 juta), sekali gus mewujudkan bayaran gaji lebih tinggi untuk pekerja Malaysia.

Bagi mencapai sasaran itu, Malaysia akan membangunkan hab penyelidikan dan pembangunan global bagi semikonduktor yang mengetengahkan universiti bertaraf dunia, korporat dan pusat kecemerlangan selain memupuk 60,000 jurutera berkemahiran tinggi Malaysia.

Jelaslah, kerajaan telah mengetengahkan platform bagi mengupayakan sektor semikonduktor meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai serta membolehkan Malaysia untuk kembali muncul sebagai destinasi pilihan untuk firma global.

Di sebalik persaingan sengit bagi mendapatkan FDI, Malaysia juga tidak boleh ketinggalan dalam perlumbaan semikonduktor yang menjanjikan limpahan manfaat besar dari segi pendapatan, pekerjaan, peningkatan teknologi dan kemahiran, inovasi dan pertumbuhan ekonomi.

Apa yang pasti, NSS perlu dijayakan dalam apa jua keadaan dan kos. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan