Search
Close this search box.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi mengucapkan selamat Hari Gawai Dayak.

Kekangan kewangan tidak wajar dijadikan alasan menafikan pendidikan

BySaibi Gi

KUCHING, 31 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengingatkan ibu bapa agar tidak menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan untuk menafikan pendidikan anak-anak.

Sebaliknya beliau mahu kekangan itu dijadikan sebagai cabaran dan bukan halangan untuk terus ketinggalan memandangkan kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai bantuan dalam membantu anak-anak melanjutkan pelajaran.

“Sekarang kita menyaksikan pelbagai bantuan dan kemudahan telah disediakan oleh pihak kerajaan untuk memastikan setiap rakyat di negara ini tidak ketinggalan untuk mengejar ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat universiti,” katanya menerusi perutusan sempena Hari Gawai Dayak.

Sejajar dengan menyediakan akses pendidikan kepada semua, kerajaan Sarawak menubuhkan lima institusi pengajian tinggi miliknya – Kolej Universiti iCats, Pusat Kemahiran Sarawak, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Laila Taib.

Selain itu Sarawak menubuhkan Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

“Pastinya akan dapat membantu masyarakat kita mengorak langkah demi memastikan anak-anak kita di bangku sekolah menyediakan diri untuk merealisasikan pelbagai inisiatif tersebut menerusi pendidikan,” ujarnya.

Jelasnya, dengan menguasai ilmu, rakyat akan menguasai pelbagai teknologi termasuk teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya yang tersenarai dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.

“Dengan sumber tenaga manusia dalam kalangan penduduk tempatan mahir yang cukup, kita tidak akan bergantung dengan pakar asing dalam rangka Pembangunan Sarawak.

“Sebaliknya, kita akan memanfaatkan kepakaran tempatan untuk mengangkat Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030. Itulah impian kita bersama yang harus kita realisasikan dengan semangat kekitaan dalam kepelbagaian secara profesional dan berhemah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan rakyat menyebarkan kepentingan pendidikan.

“Kita sebarkan tentang semua dan pelbagai inisiatif pendidikan yang dirancang oleh pihak kerajaan Sarawak yang diterajui oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjadikan Sarawak wilayah maju menjelang tahun 2030,” katanya.

Menerusi perutusan itu, Tun Wan Junaidi percaya perayaan Gawai Dayak merupakan masa paling sesuai untuk masyarakat mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama keluarga, jiran tertangga, rakan dan seluruh anggota masyarakat.

Malaysia, khususnya di Sarawak amat bertuah kerana terdiri daripada pelbagai kaum dan pelbagai anutan agama.

“Dalam kepelbagaian, kita menghormati anutan agama, adat resam budaya antara satu sama lain dengan penuh kesantunan.

“Ini terbukti apabila sudah menjadi tradisi sambutan Gawai Dayak di Sarawak diraikan oleh bukan sahaja kaum bangsa Dayak tetapi juga diraikan oleh seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan