Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol berkata pembangunan yang efisien dapat dilaksanakan dengan adanya kedudukan kewangan yang kukuh. Foto fail TVS

Kedudukan kewangan Sarawak kukuh pemangkin pembangunan

BySaibi Gi

KUCHING, 31 Mei: Kedudukan kewangan Sarawak yang kukuh dan pendapatan semakin bertambah setiap tahun telah menjadi pemangkin bagi kerajaan negeri untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan dan kebajikan yang efisien.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata adalah mustahil dan sukar bagi sesebuah kerajaan negeri atau negara untuk melaksanakan pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan dengan efisien dan efektif jika kedudukan kewangan atau tabung simpanan kerajaan tidak kuat atau menyusut.

Malah, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menawarkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai beberapa projek penting yang di bawah bidang kuasa Persekutuan.

“Walaupun sering diumum di peringkat Persekutuan tentang banyak petanda bahawa ekonomi negara sedang menuju ke arah pemulihan yang memberangsangkan melalui pelaburan asing dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang positif, tapi hakikatnya kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan masih berada dalam keadaan yang belum cukup stabil untuk memenuhi banyak keperluan pembangunan seluruh negara.

“Menyedari senario tersebut, Premier tiada pilihan melainkan menawar kepada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan beberapa projek kritikal atau keperluan mendesak dengan menggunakan peruntukan Sarawak dahulu dan akan dibayar balik oleh Persekutuan mengikut skim yang dipersetujui antara dua pihak,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai pendapatan Sarawak yang kian meningkat dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan Sarawak adalah negeri pertama menawarkan untuk membiayai beberapa projek kritikal Persekutuan.

Abdullah berkata lagi, keputusan kerajaan Sarawak bertindak sedemikian adalah kerana enggan menunggu lama proses penyaluran peruntukan dana Persekutuan yang kurang berupaya memenuhi kehendak kos pelaksanaan projek-projek yang sebenarnya di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

“Kecergasan dan kecekapan kerajaan Sarawak dalam pelaksanaan banyak agenda pembangunan dan ekonomi adalah dipengaruhi oleh tiga faktor utama iaitu, ketenangan dan kesepakatan politik, formula ekonomi yang realistik dan berkesan serta kebijaksanaan pimpinan kerajaan dalam melakar dan menggerak pelan hala tuju Sarawak yang membina dan inklusif,” jelasnya.

Jelasnya lagi, polisi ekonomi Sarawak di bawah pentadbiran Abang Johari sejak dari awal kepimpinan beliau telah distruktur dan dilaksana dengan konsisten memfokuskan kepada tiga objektif utama.

Objektik itu adalah menambahkan pendapatan Sarawak, mempercepatkan pelaksanaan infrastruktur kemudahan awam terutama di luar bandar dan menaik taraf kualiti hidup, sosioekonomi dan kebajikan masyarakat berpendapatan rendah.

“Secara ringkasnya, formula atau acuan perancangan ekonomi Premier tidak sukar untuk difahami, beliau bertekad dan berani menerokai dan melaksana pelbagai inisiatif sektor ekonomi baru bagi menambah pendapatan Sarawak.

“Hasilnya terbukti dengan pertambahan belanjawan lebihan Sarawak setiap tahun yakni kira-kira 70 peratus adalah untuk pembelanjaan pembangunan.

“Setiap tahun, 60 peratus dari peruntukan pembangunan dalam Belanjawan Sarawak akan disalur ke arah kawasan luar bandar,” ujarnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan