Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol berkata adalah tidak wajar bagi pihak tertentu mengatakan tuntutan Sarawak merugikan negara. Foto fail TVS

Jangan persoal hak Sarawak guna fakta cetek dan perspektif sempit – Abdullah

BySaibi Gi

KUCHING, 31 Mei: Hak dan kepentingan yang diperjuangkan Sarawak adalah rasional serta berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata adalah tidak wajar bagi pihak tertentu mengatakan tuntutan Sarawak merugikan negara.

“Sejak akhir-akhir ini beberapa penulis upahan politik mengeluarkan kenyataan bahawa penguasaan sektor gas oleh Sarawak akan merugikan negara adalah hasil tulisan cetek serta penelitian yang sempit.

“Mereka yang bertanggungjawab di sebalik tabir penulisan ini tidak menghormati kedudukan Sarawak, bersifat konfrontasi dan yang pasti negara tidak akan tenang jika mereka diberi peluang untuk mentadbir negara,” katanya ketika diminta mengulas isu berkenaan, hari ini.

Baru-baru ini, satu artikel disiarkan menerusi media sosial mempersoal dan mempersendakan usaha Sarawak menuntut hak dan kepentingan seperti termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Malaysia.

Jelasnya, sejak Malaysia ditubuhkan 61 tahun dulu pada 1963, dari jumlah 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan dalam Malaysia, Sarawak adalah antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara melalui hasil minyak dan gas.

“Sementara suasana pembangunan infrastruktur di Semenanjung berada dalam kedudukan terbaik, adalah tidak melampau untuk Sarawak mula bersikap tegas dan fokus dalam menjaga kebajikan masyarakat dengan membina pembangunan yang setara dengan keadaan di negeri-negeri lain,” ujarnya.

Sarawak telah berkompromi sejak sekian lama, malah Sarawak juga berperanan menstabilkan suasana politik negara agar pentadbiran persekutuan dapat berfungsi demi mengurus pemulihan ekonomi dan mengurus kebajikan rakyat.

Beliau menegaskan bahawa Sarawak tidak pernah campur tangan atau terlibat secara langsung atau tidak dengan kecelaruan politik antara parti politik di Semenanjung.

Menurutnya, budaya politik dan perpaduan masyarakat di Sarawak sejak sekian lama tidak melampau dan sentiasa berjiwa besar untuk berkompromi dan bersahabat.

Amalan politik kasar yang hanya berkisar tentang kepentingan peribadi dan perebutan kuasa dan pangkat tidak akan pergi jauh, tegasnya.

“Kepimpinan GPS, gabungan parti politik tonggak utama di Sarawak, bijak mengurus hala tuju perjuangan politik dan semua wakil rakyat GPS berdisiplin mendakap falsafah politik yang mendahului nasib bangsa Sarawak dan membina pembangunan dengan corak pentadbiran yang lebih efisien dan kaedah formula ekonomi moden yang bukan retorik semata-mata tapi terbukti membawa hasil,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan