Search
Close this search box.
PM Anwar di majlis penutupan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), hari ini. (Foto X PM Anwar Ibrahim)

Bersatu padu demi keselamatan, perpaduan rakyat Malaysia – PM Anwar

ByBernama

PENAMPANG, 31 Mei: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan berkompromi dengan keperluan untuk menjaga keselamatan dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia, sambil menekankan kepentingan untuk bersatu padu.

Perdana Menteri tegaskan bahawa kita tidak boleh memandang rendah terhadap pihak-pihak tertentu yang mengancam keselamatan dan perpaduan negara dengan pandangan sempit mereka mengenai perkauman atau agama tertentu, yang merosakkan sehingga ke dasar negara.

“Sebab itu saya nyatakan dengan sangat jelas, selagi kerajaan ini bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah kita akan terus memperjuangkan, menuntut dan memastikan hak setiap rakyat dan komuniti di Malaysia mesti dilindungi dan dipelihara.

“Saya perlu terus mengulangi perkara ini, kerana ada pihak dan anda telah melihat beberapa pandangan ekstrem yang telah diluahkan. Selepas 60 tahun, enam dekad merdeka anda masih boleh mendengarnya dan ini tidak boleh dibiarkan,” katanya pada majlis penutupan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzli, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Anwar berkata dalam sebuah negara yang demokrasi, perlu ada ruang untuk menyatakan pandangan namun penting untuk ada hadnya.

Perdana Menteri berkata bukan menjadi keutamaannya untuk mendapat pengiktirafan dan dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa kerana melindungi hak warganegara sehingga membolehkan mereka mengeluarkan pendapat yang menghina, bersifat perkauman atau berdasarkan pandangan agama yang ekstrim.

“Itu bukan keutamaan saya, malah saya anggap ia kurang penting dan skalanya menurun di peringkat antarabangsa. Saya tidak akan berkompromi mengenai keperluan untuk memelihara keselamatan dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia, dan kita mesti bersatu padu,” katanya.

Anwar berkata beliau bersikap terbuka  terhadap kritikan, tidak setuju dengan dasar kerajaan, membuat tuntutan munasabah, dan mengusulkan seuatu melibatkan isu sukar, tetapi beliau tidak akan bertoleransi dengan perbuatan menghina kaum, agama dan menolak hak mereka.

Beliau berkata negara telah Merdeka sejak sekian lama, namun masih ada yang membawa sentimen keras perkauman seperti pertempuran politik di Semenanjung menolak kehadiran dan hak perwakilan kaum lain, juga memainkan sentimen agama hingga menganggap mereka yang tidak sehaluan itu tidak berharga.

“Kerajaan MADANI bersama GRS (Gabungan Rakyat Sabah) tetap dengan pendirian kita pegang prinsip Perlembagaan (Malaysia) yang jelas tentang agama, budaya, bahasa kita tidak pernah engkar dan tidak mungkiri kenyataan mesti muliakan setiap suka kaum, budaya, setiap hak rakyat Malaysia,” katanya.

Anwar berkata dalam usaha membela nasib rakyat, kerajaan Persekutuan komited untuk terus bersama kerajaan Sabah bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat negeri itu, terutama melibatkan sekolah dan kemiskinan.

Justeru, beliau menyeru kerajaan Sabah yang dipimpin Hajiji untuk tidak mempedulikan kata nista yang dikeluarkan orang luar dan bersama kerajaan Persekutuan untuk terus berusaha membela nasib rakyat Negeri di Bawah Bayu itu.

“Penting bagi kita selesaikan masalah rakyat, ini tugas kita kerajaan Persekutuan untuk selesaikan untuk kita bela rakyat Sabah…saya hadir bersama di sini untuk bersama bela rakyat Sabah, bukan saya mahukan balak atau kepentingan lain,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan