Search
Close this search box.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media sempena Majlis Peluncuran Baitul Mahabbah di Depot Imigresen Bekenu, hari ini. Foto Radzi Ahmad (TVS)

Kementerian Dalam Negeri sasar buka tiga lagi pusat jagaan kanak-kanak PATI tahun ini

ByRadzi Ahmad

MIRI, 30 Mei: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan membuka tiga lagi pusat jagaan kanak-kanak pendatang asing tanpa izin (PATI) atau Baitul Mahabbah di seluruh negara pada tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiga Baitul Mahabbah yang beroperasi setakat ini ialah di Nilai, Negeri Sembilan pada 4 September 2023, di Papar, Sabah pada 15 Disember 2023 dan terkini di Bekenu.

KDN sasar buka tiga lagi Baitul Mahabbah tahun ini | TVS

Menurutnya, sasaran yang ditetapkan itu boleh dicapai setelah KDN menerima peruntukan RM10 juta untuk projek Baitul Mahabbah dalam Belanjawan 2023.

“Tiga lagi dalam jadual untuk kami luncurkan tahun ini, yang berikutnya di Kedah, Kelantan dan Johor. Sasaran akhir kami untuk tahun ini adalah paling kurang enam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Peluncuran Baitul Mahabbah di Depot Tahanan Imigresen Bekenu di sini hari ini. Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala.

Baitul Mahabbah merupakan inisiatif bagi menempatkan kanak-kanak PATI berumur 10 tahun ke bawah yang datang bersama atau tanpa penjaga di premis berasingan dan bukan di depot tahanan imigresen.

“Idea Baitul Mahabbah ini adalah kalau dalam keadaan depot imigrisen yang sedia ada, yakni dewasa dan kanak-kanak bercampur, tentulah keadaannya tidak kondusif.

“Kerana itu, KDN melalui Jabatan Imigresen tampil dengan idea alihkan anak-anak itu di premis yang lebih kondusif,” jelasnya.

Jelasnya lagi, kanak-kanak PATI ditempatkan di premis tersebut sementara menunggu proses pengeluaran dokumen dari kedutaan negara berkenaan sehingga mereka dihantar pulang.

Premis tersebut katanya dikawal selia sepenuhnya oleh kakitangan Jabatan Imigresen serta kawalan keselamatan 24 jam oleh pasukan RELA.

Saifuddin mendedahkan inisiatif tersebut telah mendapat sokongan kuat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang menyumbang antara lain alat permainan, peralatan, buku kanak-kanak, serta merangka pengisian aktiviti.

Tambahnya lagi, pihaknya telah mencapai objektif utama melalui inisiatif ini, iaitu menterjemahkan sifat ihsan sebuah kerajaan yang membawa slogan Madani.

“Sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan prinsip Madani, kita kena tunjuk sifat empati, ihsan pemurah dan belas kasihan untuk (kanak-kanak) yang masuk tanpa dokumen,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan