Search
Close this search box.
Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad ketika sidang media berhubung kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ke atas Perdana Menteri China Li Qiang semalam. (Foto Bernama)

Jumlah dagangan Malaysia-China naik 5.9 peratus pada Jan-April 2024

BEIJING, 30 Mei: Jumlah perdagangan Malaysia dan China bagi tempoh Januari hingga April 2024 meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM151.06 bilion berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata eksport ke China mencecah RM58.6 bilion dengan barangan elektrikal dan elektronik (E&E) menyumbang nilai terbesar sebanyak 40.5 peratus.

Prestasi import dari China pula menokok 11.6 peratus kepada RM92.46 bilion, merangkumi terutamanya produk E&E, jentera, peralatan dan komponen serta bahan dan produk berkaitan kimia, katanya.

Beliau berkata pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia dan China susut 7.3 peratus kepada RM450.84 bilion manakala defisit perdagangan Malaysia dengan negara itu mencecah RM66.42 bilion.

“China yang juga rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut, menyumbang 17 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan.

“Eksport ke China menyumbang 13.5 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada 2023 yang mencecah RM192.21 bilion, nilai tertinggi setakat ini yang disokong oleh eksport kukuh membabitkan produk E&E, bahan kimia dan produknya serta gas asli cecair (LNG),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sidang media itu bersempena lawatan rasmi pertama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke China pada 22 Mei-1 Jun, 2024.

Menjelaskan selanjutnya, Norman berkata pada tahun lepas, sektor E&E menjadi penyumbang utama eksport ke China sebanyak 39.9 peratus atau RM76.68 bilion; diikuti oleh kimia dan produk berkaitan kimia 9.7 peratus kepada RM18.60 bilion; LNG sebanyak 8.0 peratus kepada RM15.44 bilion manakala pengilangan logam 6.7 peratus pada RM12.82 bilion.

Selain itu, beliau berkata jumlah kemasukan pelancong dari China ke Malaysia turut melonjak secara ketara sebanyak 217 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada 2023.

“Dianggarkan sebanyak 270,000 pelancong dari China mengunjungi Malaysia setiap bulan, sekali gus menjadikan Malaysia antara tiga negara pilihan utama destinasi pelancongan oleh rakyat China,” katanya.

Bersandarkan perkembangan itu, beliau menyarankan agar syarikat penerbangan di Malaysia bertindak meneroka potensi pembukaan laluan baharu terutamanya di bandar sekunder China bagi merancakkan lagi sektor pelancongan antara kedua-dua negara.

“Kebanyakan pelancong dari China gemar mengunjungi Kota Kinabalu, Sabah; Pulau Pinang; Melaka; Kuala Lumpur dan Sarawak berikutan tarikan yang jarang didapati di China seperti aktiviti sukan perairan serta keunikan masyarakat setempat,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan