Search
Close this search box.
Rata-rata perahu penambang di sekitar Tebingan Kuching dilengkapi dengan panel solar di bumbung perahu mereka, sekali gus membantu menjana kuasa bagi menghidupkan pelbagai jenis lampu hiasan yang dipasang pada perahu. Foto Bernama.

Perahu solar serikan tebingan Kuching

ByBernama

KUCHING, 29 Mei: Suatu ketika dahulu, lampu kerosin atau lampu gas yang menggunakan minyak tanah sebagai bahan bakar merupakan “teman akrab” kepada pengusaha perahu tambang di sekitar Tebingan Kuching di sini terutamanya ketika membawa penumpang pada waktu malam.

Berbeza sekarang apabila rata-rata teksi air ikonik Sarawak yang wujud sejak berabad lamanya ini, kini dilengkapi dengan panel solar di bumbung, sekali gus membantu menjana kuasa bagi menghidupkan pelbagai jenis lampu hiasan yang dipasang pada perahu.

Evolusi gabungan tradisional dan moden itu menyaksikan kebanyakan pengusaha memasang lampu diod pemancar cahaya (LED) berwarna-warni pada bumbung perahu dan ada yang memasang lampu di dalam perahu untuk keselesaan penumpang dengan menggunakan tenaga yang dijana menerusi panel solar sebesar 0.3 hingga 1.2 meter berkenaan.

Usaha itu sekali gus menambah warna-warni pada pemandangan di sepanjang Tebingan Kuching dan Sungai Sarawak, yang berlatarbelakangkan bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Jambatan Darul Hana.

Bagi Awie Nawi, 56, yang mengusahkan perahu tambang sejak 20 tahun lepas, pemasangan lampu solar berkenaan amat memudahkannya kerana tidak perlu lagi membeli minyak tanah atau mengecas bateri kering seperti sebelum ini untuk menghidupkan lampu.

“Ini semua kerajaan negeri bagi, jadi tak perlu lagi susah-susah, kalau guna sistem solar ini waktu siang boleh cas sendiri, lepas tu boleh guna. Tak payah lagi cas berhari-hari macam guna bateri kering dulu,” katanya sambil menambah dia hanya mengenakan kadar tambang RM1 bagi perjalanan sehala dari Tebingan Kuching ke bahagian seberang.

Awie berkata tenaga solar berkenaan juga memudahkannya untuk mengecas peralatan seperti telefon bimbit di dalam perahu itu.

Saini Bujang, 65, pula berkata walaupun pada mulanya agak berat hati ketika ditawarkan untuk pemasangan panel solar berkenaan, dia menyedari banyak manfaat yang diperoleh antaranya penjimatan kos hampir 90 peratus berbanding sebelum ini.

“Minyak tanah kalau dulu memang mahal dan kadang-kadang bekalan susah mahu dapat, sekarang ini senang guna tenaga matahari secara percuma sahaja sudah boleh hidupkan lampu dan guna peralatan elektrik,” katanya.

Menurut Saini penggunaan lampu menerusi tenaga solar juga lebih cekap tenaga dan tidak terjejas dengan cuaca hujan, berbanding penggunaan lampu kerosin yang boleh terpadam sekiranya terkena air.

Seorang pelancong Norhayati Tahir, 33, dari Sibu, Sarawak berkata lampu berwarna-warni yang dipasang pada perahu kelihatan sangat cantik pada waktu malam, sekali gus mendorongnya untuk bersiar-siar di sepanjang Sungai Sarawak atau menyeberang ke Kampung Boyan.

Media tempatan pada Disember lepas melaporkan 22 pengusaha perahu tambang di Kuching mengambil bahagian dalam projek Facelift Perahu Tambang untuk merapikan bot mereka dan memastikan keselamatan yang lebih baik untuk penumpang mereka.

Projek yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak itu bertujuan memberi penampilan baharu kepada perahu tambang serta menarik pelancong dengan memberikan wajah baharu bertemakan motif-motif etnik kaum di Sarawak serta pemasangan lampu solar. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan