Search
Close this search box.
Ketua Pegawai Eksekutif MASDAR, Mohamed Jameel Al Ramahi. Foto Akma Salleh (TVS)

Syarikat gergasi tenaga boleh diperbaharui dunia ingin melabur bidang solar di Sarawak

ByAkma Salleh

KUCHING, 28 Mei: Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) memaklumkan syarikat itu sedang meneroka peluang pelaburan sektor tenaga boleh diperbaharui di Sarawak.

Ketua pegawai eksekutifnya, Mohamed Jameel Al Ramahi berkata, syarikat itu ingin melabur dalam pembangunan solar terapung.

Jelas beliau hasrat itu dinyatakan ketika bertemu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

“Kunjungan ini dibuat selepas Memorandum Persefahaman (MoU) yang sangat penting telah kami tandatangani di hadapan Premier Sarawak ketika lawatan beliau ke Dubai, Disember lalu semasa Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2023 (COP28),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Mengulas mengenai kemampuan syarikat berkenaan, Mohamed Jameel berkata, sebagai salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia, mereka berkeupayaan melabur dalam projek berkaitan ekonomi hijau berimpak tinggi.

“Kami ingin melabur serta menilai peluang dalam projek tenaga boleh diperbaharui, terutamanya solar terapung sehingga kapasiti satu gigawatt,” katanya.

Sementara itu kata beliau, Masdar juga berharap dapat bekerjasama rapat dengan Sarawak Energy di bawah bimbingan dan sokongan Kerajaan Sarawak.

“Ini kerana kami bukan sahaja menantikan pembangunan kapasiti gigawatt di Malaysia secara keseluruhan tetapi juga di negara Asia yang lain.

“(Sebelum ini) syarikat telah melabur di Indonesia dan kini di Sarawak untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dan rakan kongsi tempatan untuk membangunkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui berskala besar,” katanya.

Pada Disember 2023, Abang Johari Tun Openg ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menghadiri COP 28 dan beliau turut menyaksikan majlis pemeteraian MoU membabitkan Masdar dengan Sarawak Energy Bhd (SEB) yang memperlihatkan komitmen bersama terhadap amalan tenaga lestari dan potensi perkongsian strategik. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan