Search
Close this search box.
Datuk Wan Razly Abdullah (kiri) hadir pada majlis penajaan dan lawatan Interceptor 002 di sini, hari ini. Foto ,TVS.

AFFIN Bank taja projek pembersihan, pemulihan Sungai Klang

ByTVS

KLANG, 28 Mei: Affin Bank Bhd (AFFIN) komited dalam membantu inisiatif berkaitan kelestarian seiring dengan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan menaja projek pembersihan serta pemulihan Sungai Klang melalui operasi Interceptor 002.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pihaknya berbesar hati terbabit dalam inisiatif bersama Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan The Ocean Cleanup.

Jelas beliau, ini membolehkan pihak terlibat dapat bertukar pengetahuan, data serta pandangan untuk memacu kemajuan.

Affin Bank Bhd (AFFIN) menaja projek pembersihan serta pemulihan Sungai Klang melalui operasi Interceptor 002 bersama Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan The Ocean Cleanup. Foto TVS

“Ini selaras dengan Pelan AFFIN Axelerate 2028 (AX28), tonggak Perbankan Bertanggungjawab dengan Impak ESG. Ia mencerminkan semangat kami untuk memberikan perkara yang lebih baik,” katanya selepas majlis penajaan dan lawatan ke Interceptor 002 di sini, hari ini.

Wan Razly berkata, AFFIN Bank merupakan bank pertama yang menyokong operasi pembersihan dan pemulihan Interceptor 002 di sepanjang 56 kilometer (km) Sungai Klang.

Tambah beliau, kerjasama itu diharap dapat memajukan usaha meningkatkan kesedaran dan pembelajaran mengenai pemuliharaan sungai, pencegahan banjir serta pemuliharaan ekosistem sekitar yang seterusnya akan memberikan impak positif bukan saja kepada alam sekitar tetapi masyarakat setempat di sepanjang Sungai Klang.

Katanya, Interceptor 002 yang dibangunkan oleh The Ocean Cleanup mempunyai sistem automasi menggabungkan pemprosesan pintar dan mekanik berkuasa solar yang dapat mengumpul sisa plastik dan serpihan lain dari sungai menggunakan tali pinggang penghantar.

“Interceptor 002 membantu meningkatkan kecekapan pembersihan sedia ada, menjadikan kerja pembersihan yang lebih cepat dan lebih berskala.

“Sehingga kini, lebih daripada dua juta kilogram sampah telah dialihkan oleh Interceptor 002. Dengan sokongan AFFIN, kami menjangkakan bahawa ia akan terus memainkan peranan penting dalam usaha pembersihan sungai,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Landasan Lumayan, Syaiful Azmen Nordin, berkata kerjasama pihak awam dan swasta adalah penting untuk memastikan setiap perkara dapat mencapai hasil yang mampan kepada komuniti, ekosistem dan ekonomi dalam jangka masa panjang.

“Kami berterima kasih kepada syarikat swasta seperti AFFIN kerana komitmen mereka untuk memberi impak positif dalam komuniti dan berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada perubahan ini melalui projek Gerbang Maritim Selangor (SMG),” katanya.

Interceptor 002 terletak di hulu sungai di belakang Masjid Bandar Diraja Klang dan merupakan salah satu daripada inisiatif di bawah projek SMG untuk melaksanakan pemulihan dan usaha pembangunan di sepanjang 56 kilometer terakhir Sungai Klang.

Melalui pelbagai anugerah pengiktirafan, projek SMG telah mencapai peningkatan yang ketara kepada sungai dan ekosistem seperti 89,629 tan sisa pepejal dikeluarkan dari 2016 hingga Februari 2024 yang bersamaan dengan berat 480 pesawat Boeing 747 Jumbo. – TVS.

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan