Search
Close this search box.
Datuk Khaw Kok Chin menunjukkan sebahagian rampasan dadah bernilai RM4.6 juta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, George Town, hari ini. Foto TVS

Makmal haram tumpas, polis rampas dadah bernilai RM4.6 juta, enam pucuk pistol

ByTVS

GEORGE TOWN, 27 Mei: Polis menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedar dadah didalangi lelaki bergerak secara berseorangan selepas melakukan serbuan di bandar raya ini pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, polis turut merampas dadah bernilai RM4.6 juta selepas menahan suspek berusia 38 tahun.

Katanya, suspek ditahan pada operasi pukul 5.30 petang di dalam sebuah kereta di tepi Jalan Cangkat Sungai Ara, Bayan Lepas sebelum membawa kepada serbuan ke atas sebuah rumah tiga tingkat di Taman Hijauan Setia kira-kira pukul 7.20 malam.

“Rumah itu dijadikan makmal memproses dadah dan kita menemui 13.8 kilogram (kg) heroin, 376 gram (g) heroin base dan 93.8 kg kafein bersama alatan memproses dadah.

“Serbuan berikutnya pukul 3.10 petang pada keesokan hari di sebuah apartmen di Persiaran Batu Uban menemukan 46.2 kg syabu, 33.7 kg heroin base, 24.1 kg serbuk putih kafein dan lapan botol kaca cecair bahan kimia.

“Polis turut merampas enam pucuk pistol bersama 100 biji peluru yang diletakkan di dalam beg galas hitam di apartmen itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati, suspek menjadikan rumah yang disewa sebagai tempat memproses dan menyimpan dadah dipercayai bagi pasaran Pulau Pinang dan Lembah Klang.

“Suspek yang bergiat aktif sejak Januari tahun ini yang bertindak sebagai ‘ahli kimia’ dan penjaga stor disyaki ketua sindiket.

“Ini berdasarkan harta yang dirampas termasuk kondominium yang didiaminya didaftarkan atas nama isteri suspek yang tiada rekod lampau itu,” katanya.

Ujar beliau, polis turut menyita enam kenderaan termasuk dua motosikal bernilai kira-kira RM424,000 bagi siasatan lanjut.

Suspek direman selama seminggu sehingga 1 Mei depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan