Search
Close this search box.
Nancy Shukri bercakap dalam sidang media selepas melawat Flextronics Sdn Bhd di sini hari ini yang menggajikan 136 pekerja OKU. Foto, TVS.

Infrastruktur tidak mesra OKU antara punca tidak diambil bekerja – Nancy

ByTVS

PERAI, 27 Mei: Infrastruktur bangunan yang tidak mesra orang kurang upaya (OKU) dikenal pasti sebagai antara penyebab golongan itu kurang ditawarkan pekerjaan oleh majikan.

Justeru, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) untuk menambah baik perkara tersebut.

Katanya, ia penting dalam usaha mencapai sasaran Dasar Penggajian OKU yang ditetapkan kerajaan sejak 2010 iaitu 1 peratus pekerja OKU yang ketika ini belum dapat dicapai.

“Mungkin menjadi salah satu punca iaitu infrastruktur untuk memudahkan OKU tidak ada (misalnya) di kebanyakan bangunan lama.

“Kita akan minta MKBOKU untuk mempercepat komunikasi dalam hal ini supaya diambil tindakan oleh pihak tertentu kerana ia bukan berlaku di satu negeri sahaja tetapi seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Flextronics Sdn Bhd di sini hari ini.

Ujar Nancy, beliau memuji inisiatif kilang pembuatan komponen elektrik itu apabila menyahut seruan kerajaan dengan menggajikan seramai 136 pekerja OKU pendengaran, pembelajaran dan lain-lain pada tahun ini yang bersamaan 1.4 peratus iaitu melebihi angka Dasar Penggajian OKU.

Katanya, kerajaan turut memberi inisiatif kepada majikan dalam menggalakkan pengambilan pekerja OKU seperti potongan cukai berganda untuk menggaji dan melatih OKU dan potongan tunggal untuk pengubahsuaian bangunan dan alat sokongan OKU.

Berdasarkan rekod setakat 30 April tahun ini, terdapat seramai 703,287 OKU aktif di seluruh negara yang termasuk OKU layak bekerja seramai 372,164 orang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan