Search
Close this search box.
AMMB Holdings Bhd (AmBank) menyasarkan pertumbuhan pinjaman lima hingga enam peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025. Foto, Facebook AmBank.

AmBank sasar pertumbuhan pinjaman 5 hingga 6 peratus untuk tahun kewangan 2025

ByBernama

KUALA LUMPUR, 27 Mei:: AMMB Holdings Bhd (AmBank) menyasarkan pertumbuhan pinjaman lima hingga enam peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Jamie Ling berkata bank itu mengunjurkan pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi berbanding tiga peratus yang dicapai pada tahun kewangan 2024, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pasaran buruh yang bertambah baik.

“Kami sentiasa berkata kami mahu berkembang melebihi pertumbuhan KDNK dan apabila kami melihat keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk 2024 berada pada 4.5 peratus, saya menjangkakan kami perlu memperluas lagi sekitar 1.25 kali ganda KDNK bagi tahun kewangan 2025 daripada segi sasaran pertumbuhan pinjaman,” katanya kepada pemberita semasa taklimat keputusan tahun kewangan 2024 di sini hari ini.

Beliau juga memberitahu pertumbuhan pinjaman tahun kewangan 2025 akan dipacu oleh syarikat pasaran pertengahan serta perusahaan kecil dan sederhana.

“Menyentuh mengenai pemangkin perindustrian ekonomi Malaysia, Ambank akan berkembang selaras dengan hala tuju dasar itu kerana di situlah enjin peneraju pinjaman akan menjadi.

“Bagi runcit, ia akan lebih selektif terutamanya daripada segi gadai janji, manakala untuk projek infrastruktur serta pembinaan besar yang telah dilancarkan kerajaan, itu terangkum di bawah segmen perbankan borong dan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, bagi tahun kewangan 2024, beliau menegaskan AmBank mencatatkan pertumbuhan pinjaman yang lebih rendah sebanyak tiga peratus berbanding dengan apa yang disasarkan sebelum ini iaitu kira-kira enam peratus.

Pertumbuhan pinjaman sebahagian besarnya diseret oleh pembayaran balik pinjaman yang besar dalam perbankan korporat pada tahun kewangan 2024 iaitu sebanyak kira-kira RM1.4 bilion, ditambah beberapa polisi pengetatan risiko dalam segmen gadai janji yang mengakibatkan kelulusan pinjaman yang lebih perlahan.

“Mengenai pinjaman korporat, kami turut terlibat dalam pembiayaan semula tetapi dalam format bon. Untuk segmen gadai janji, kami perlu berhati-hati dan meninjau harga gadai janji bagi mencari keuntungan selain melihat kepada kualiti gadai janji daripada segi faktor risiko kami,” katanya.

Melihat pada pemampatan margin faedah bersih (NIM) untuk tahun kewangan 2024, beliau berkata ia bukan unik kepada AmBank kerana ia pernah dialami oleh semua bank di Malaysia.

Beliau ketika bercakap mengenai NIM AmBank menjelaskan ianya telah dimampatkan kepada 1.79 peratus pada tahun kewangan 2024, iaitu kira-kira purata industri perbankan tahun lepas berbanding 2.07 peratus tahun sebelumnya, menyebabkan pendapatan faedah bersih (NII) merosot sebanyak 6.7 peratus dari tahun ke tahun.

Bagaimanapun, Ling menjangka NIM bank itu akan berkembang menjelang suku pertama tahun kewangan 2025 berikutan peningkatan yang dilcatatkan oleh bank itu pada April, bulan pertama tahun kewangannya.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Shafiq Abdul Jabbar berkata bank itu juga secara dalaman telah melihat semula komposisi deposit dan mempertimbangkan sumber pembiayaan yang berbeza untuk kekal lancar.

“Secara keseluruhannya, inisiatif yang telah kami ambil pada tahun kewangan baharu telah menyaksikan sedikit pengurangan dalam kos dana.

“Jadi sekurang-kurangnya untuk suku pertama, kami mungkin akan melihat pengembangan dalam NIM,” tambahnya lagi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan