Search
Close this search box.
Komitmen kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel disifatkan menepati keperluan rakyat dan ia langkah lebih adil dalam mengagihkan bantuan kepada golongan yang layak. Foto hiasan Envato

Subsidi bersasar langkah lebih adil, tepati keperluan rakyat

ByBernama

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Komitmen kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel disifatkan menepati keperluan rakyat dan ia langkah lebih adil dalam mengagihkan bantuan kepada golongan yang layak.

Biarpun langkah kerajaan itu dilihat tidak popular namun secara umumnya, masyarakat memuji usaha itu kerana pemberian subsidi secara bersasar dan telus dapat mengurangkan masalah ketirisan dan pengeksploitasian bantuan yang merugikan negara.

Rakyat turut menyokong keberanian kerajaan dalam membuat perubahan itu, selain mahukan pelaksanaan subsidi bersasar berkenaan dilakukan dengan sistematik, supaya golongan yang layak dapat menikmati kemudahan itu secara menyeluruh.

Di Negeri Sembilan, penjawat awam Fadzylah Ismail, 39, berkata penyasaran subsidi diesel menunjukan kerajaan mula mengamalkan cara pengurusan yang lebih bersistematik dan adil seterusnya memastikan manfaat dapat dinikmati rakyat.

Penyasaran subsidi diesel perkukuh fiskal kerajaan, tingkat peruntukan sumber

Katanya, penyasaran subsidi itu memberikan penjimatan kepada kerajaan dan hasilnya boleh digunakan untuk menyediakan lebih banyak kemudahan, pembangunan infrastruktur serta manfaat lain untuk rakyat terutama dalam situasi ekonomi global tidak menentu.

“Langkah ini amat bermanfaat kepada golongan kurang mampu… jika subsidi bersasar ini berjaya dilaksanakan, saya yakin penjimatan tersebut sudah tentu dapat membantu rakyat dalam isu lain seperti menambah nilai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan menampung kembali subsidi ayam,” katanya kepada Bernama hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan dua hari lepas, memaklumkan kerajaan akan melaksanakan subsidi diesel bersasar di Semenanjung yang melibatkan pengguna komersial B40 dan M40.

Anwar menegaskan subsidi bersasar itu tidak akan dinikmati golongan T20 serta 3.8 juta warga asing, sekali gus memberi penjimatan secara kasar kira-kira RM4 bilion setahun kepada kerajaan seterusnya boleh digunakan bagi menambah peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Di Pahang, pekerja swasta Fadil Nor Mazlan, 35, berkata langkah kerajaan itu amat tepat dalam memastikan matlamat sebenar pemberian subsidi tercapai, malah usaha itu perlu dilaksanakan segera.

“Selama ini Malaysia rugi berjuta-juta ringgit disebabkan penyeludupan diesel selain warga asing, golongan T20 turut sama merasainya nikmat yang sepatutnya menjadi hak gologan sasar. Jadi, betullah tindakan kerajaan (subsidi bersasar) ini.

“Apabila buat subsidi bersasar dan dapat penjimatan, kerajaan boleh tingkatkan bantuan dan pelbagai kemudahan…selepas ini tiada lagi rakyat terpinggir.

Selain itu, masyarakat melihat langkah penyasaran subsidi ini memberi kesan jangka panjang yang positif menerusi penjimatan kewangan negara dan hasilnya boleh digunakan untuk kemudahan infrastruktur serta suntikan ekonomi, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Di Terengganu, pekerja pembersihan Mohd Rusydi Razlan Mohd Amin, 39, optimis kesan jangka panjang langkah penyasaran subsidi diesel akan memberikan manfaat kepada golongan kurang mampu dalam mendepani beban kos sara hidup.

Beliau yang juga penerima STR berkata usaha kerajaan itu bakal memberi ruang kelegaan kepada golongan sasar seperti dirinya yang hanya mampu meraih pendapatan kurang RM2,000 sebulan.

“Keadaan kami sekarang ibarat kais pagi, makan pagi…kais petang makan petang…tapi saya percaya langkah kerajaan ini beri manfaat pada masa hadapan. Mungkin pelbagai bantuan akan dilaksanakan kelak dapat mengubah kehidupan golongan seperti kami,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan