Search
Close this search box.
Hari Wartawan Nasional 2024 akan berlangsung di Kuching pada 25 hingga 27 Mei ini.

HAWANA 2024: Harungi tujuh dekad industri media, Kumpulan See Hua kekal utuh, relevan

ByBernama

KUCHING, 23 Mei: Tujuh dekad mengharungi jatuh bangun industri media, Kumpulan See Hua, syarikat media milik persendirian di Malaysia Timur, kekal relevan, mengharmonikan evolusi dunia kewartawanan – daripada media tradisional ke media era digital.

Ditambah dengan kewujudan kecerdasan buatan (AI) yang tidak dapat dielak, syarikat itu telah meramalkan cabaran tersebut khususnya melibatkan barisan wartawannya di See Hua Daily, The Borneo Post, Utusan Borneo dan Oriental Daily, justeru mengambil langkah bagi memastikan mereka bersedia untuk menerima kaedah ‘baharu’ pelaporan berita.

“Bagi pihak kami, kami menganjurkan kursus-kursus untuk pemberita dan editor kami yang akan memberikan pengetahuan mendalam mengenai perkembangan terkini dalam industri media, supaya wartawan lebih peka.

“Namun, (perlu diingat) minda manusia lebih hebat daripada AI. Kami masih perlu mengekalkan kepintaran kami…lagipun, ia (AI) dioperasikan oleh kita,” kata Pengurus Besar The Borneo Post dan Utusan Borneo Phyllis Wong Yang Yong dalam wawancara bersama Bernama.

Menginjak ulang tahun ke-46 sebagai wartawan tahun ini, Phyllis berkata pengamal media digesa untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa dengan menyertai kursus berkaitan teknologi terkini seperti kewartawanan peranti dan AI.

“Ya, kita memerlukan AI untuk membantu menambah baik atau melakukan transkripsi dan beberapa perkara lain, tetapi jangan salah guna kerana kita masih perlu mengamalkan etika serta jujur kepada pembaca dan diri sendiri, tidak kira sejauh mana teknologi berkembang.

“Dalam kewartawanan, keaslian sangat penting, kita masih memerlukan keaslian itu kerana wartawan mempunyai gaya penulisan mereka tersendiri, tetapi jika anda bergantung sepenuhnya kepada AI, apa gunanya menjadi wartawan? Anda (wartawan) adalah yang asli, jangan mati sebagai ‘salinan’,” katanya.

Phyllis berkata akhbar di bawah Kumpulan See Hua, yang juga telah menyediakan berita dalam talian sejak 2007, kini menggunakan platform media sosial seperti TikTok dan Instagram untuk mendekati pembaca baharu terutama generasi muda.

Kumpulan itu bermula dengan penubuhan See Hua Daily pada 1952, diikuti The Borneo Post pada 1978, Utusan Borneo (1986) dan Mandarin Oriental (2003), menjadikan syarikat itu satu-satunya syarikat akhbar di Malaysia yang menerbitkan surat khabar dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Bahasa Melayu dan Mandarin.

Diasaskan oleh mendiang Datuk Lau Hui Siong, The Borneo Post bermula di Sibu, sebelum berkembang ke Kuching pada 1979 serta Miri dan Sabah pada 1986, manakala Utusan Borneo bermula sebagai sisipan dalam The Borneo Post sebelum menjadi akhbar lengkap pada 1999, menawarkan berita harian dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Iban.

Ditanya sama ada syarikat itu bersedia untuk menghentikan percetakan akhbar dan beralih sepenuhnya kepada berita dalam talian, penerima Anugerah Kewartawanan Kenyalang Shell 2013 itu berkata kumpulan berkenaan telah mengambil langkah tersebut ketika akhbar mereka yang berpusat di Kuala Lumpur, Oriental Daily News, yang mula diterbitkan pada 2003, secara rasmi menjadi akhbar dalam talian pada 2021.

“Kita perlu menghadapinya suatu hari nanti bahawa semuanya akan berada dalam talian, sebab itulah Oriental Daily News kini sepenuhnya dalam talian…diharapkan itu akan menjadi model untuk akhbar-akhbar lain,” katanya sambil menambah bahawa pada masa ini, sebanyak 217 wartawan dari Sarawak, Sabah, dan Semenanjung Malaysia bekerja untuk akhbar di bawah kumpulan itu.

Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024, bertemakan ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’, akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei ini di Kuching.

HAWANA 2024, perhimpunan terbesar wartawan Malaysia, dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan Sarawak dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku agensi pelaksana. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan