Search
Close this search box.
Clarkson Evans Tom Frankie (kiri) dan Patricia Jacquilina (kanan) giat menjalani latihan di pusat latihan tinju Sarawak di Stadium Petra Jaya di sini, baru-baru ini . Foto Aziz Soleh (TVS)

SUKMA 2024: Kem tinju Sarawak intai peluang kejutkan Pulau Pinang, Sabah

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 21 Mei: Skuad tinju Sarawak melaungkan amaran awal kepada negeri-negeri lain yang menjadi pencabar kepada mereka dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal berlangsung di negeri ini pada Ogos depan.

Biarpun mempertaruhkan 100 peratus muka baharu, Sarawak optimis mampu mencalarkan ego negeri kuasa besar acara itu iaitu Pulau Pinang dan Sabah sekali gus menamatkan dominasi negeri berkenaan di Sri Aman nanti.

Ketua Jurulatih Kem Tinju Sarawak, Helman Morni berkata, walaupun dijangka berdepan cabaran sukar, namun skuadnya bakal turun dengan semangat membara apabila kesemua pemain berada dalam keadaan cukup bersedia selepas menjalani latihan sejak bulan lepas.

Foto sekitar latihan petinju-petinju Sarawak bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di pusat latihan tinju Stadium Petra Jaya, di sini, baru-baru ini. Foto Hafeezzur Muzamir (TVS)

“Pihak kejurulatihan memantau petinju-petinju kita (Sarawak) dari semasa ke semasa berdasarkan program latihan yang telah dirangka, alhamdullilah ‘mood’ mereka dalam tiga bulan ini berada pada keadaan yang amat baik.

“Kita akan ke Indonesia atau Filipina berkampung di sana selama dua hingga tiga minggu sebelum ke Sri Aman pada Ogos,” katanya ketika ditemui TVS di pusat latihan tinju Sarawak di Stadium Petra Jaya di sini, baru-baru ini.

Menurut Helman, kem tinju Sarawak akan mengambil bahagian dalam kesemua 12 kategori lelaki dan tiga kategori wanita yang dipertandingkan.

Mengulas lanjut, Helman berkata, berdasarkan prestasi semasa yang ditampilkan anak buahnya pada Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak baru-baru ini, pihaknya berkeyakinan bahawa sekurang-kurangnya empat emas sudahpun berada dalam genggaman.

Foto sekitar latihan petinju-petinju Sarawak bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di pusat latihan tinju Stadium Petra Jaya, di sini, baru-baru ini. Foto Hafeezzur Muzamir (TVS)

Sementara itu, dua ‘ayam tambatan’ Sarawak dalam acara tinju iaitu Clarkson Evans Tom Frankie dan Patricia Jacquilina ketika ditemui menyifatkan pencapaian meraih anugerah petinju terbaik dan berpotensi dalam Kejohanan Tinju Sarawak 2024 baru-baru ini menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk membutirkan kilauan emas kepada negeri ini.

Patricia, 17 yang beraksi dalam kategori 46-48 kilogram (kg) menjanjikan persembahan terbaik dalam temasya berprestij itu nanti meskipun mengakui berasa gementar kerana pertama kali menyertainya.

“Saya masih tidak berpuas hati dengan prestasi saya meskipun meraih pencapaian cemerlang baru-baru ini, banyak perlu diperbaiki berbaki kurang tiga bulan dari sekarang.

“Walaupun ini kali pertama beraksi di pentas SUKMA, saya janji akan cuba sebaik mungkin untuk menghadiahkan emas buat Sarawak,” katanya.

Manakala bagi Clarkson, 19, yang beraksi dalam kategori 48 (kg) lelaki, dia bertekad menjadi petinju pertama menyumbang emas kepada Sarawak dalam acara itu.

Petinju-petinju Sarawak bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di pusat latihan tinju Stadium Petra Jaya, di sini, baru-baru ini. Foto Hafeezzur Muzamir (TVS)

“Selepas saya menerima anugerah petinju berpotensi tempoh hari, ia memang membakar semangat saya untuk berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh, sasaran saya pada SUKMA nanti hanya satu iaitu berdiri di atas podium dengan dikalungkan pingat emas, itu sahaja, “ katanya.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Rahman Lariwoo berkata, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menetapkan sasaran enam pingat emas buat acara tinju pada temasya itu yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Untuk rekod, pada edisi SUKMA Kuala Lumpur 2022, Sarawak meraih dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa dalam acara tinju. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan