Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah menerima cenderamata dari Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri, Vivian Engkiong. Foto TVS

Kerajaan sasar miskin tegar kurang 50 peratus menjelang Jun 2026

MIRI, 21 Mei: Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk mengurangkan jumlah miskin tegar sehingga 50 peratus menjelang Jun 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bagi mencapai sasaran itu, KPWKK akan melatih ahli keluarga dari golongan tersebut dengan bidang kemahiran selain memberi bantuan bulanan.

“Menjelang Jun 2026, kita berharap dapat mengurangkan miskin tegar sehingga 50 peratus. Lagi bagus kalau kita dapat hapuskan miskin tegar. Tapi kita perlu sahkan dulu kalau mereka sudah terima bantuan mengikut data yang ada pada kita.

“Kita akan buat langkah holistik. Bukan saja beri bantuan bulanan, kita akan lihat ahli dalam keluarga tersebut. Kalau ada anak-anak yang umur 16-17 tahun yang boleh dilatih dalam bidang kemahiran yang boleh menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sejambak Kasih Gawai 2024 di sebuah hotel pada Selasa.

KPWKK juga akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain bagi memberi latihan kemahiran serta pendidikan kepada golongan ini untuk menjana pendapatan sendiri dan keluarga seterusnya keluar dari kelompok miskin tegar.

Berdasarkan data dari E-Kasih setakat bulan Mei ini, seramai 17,482 orang merupakan golongan miskin tegar daripada 90,214 orang penerima bantuan.

Satu jawatankuasa kerja di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) akan ditubuhkan pada bulan Jun selepas Gawai untuk melihat data yang dikumpul dan melawat miskin tegar sekiranya ada dalam kalangan mereka telah disahkan menerima bantuan atau tidak.

Setakat ini dari Januari hingga April 2024, JKMS telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM85,967,700 kepada 54,508 orang penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak. – TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan