Search
Close this search box.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Foto Elani Rosllan (TVS)

DUN Sarawak: Ucapan penggulungan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

Ucapan penggulungan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak (6 Mei-15 Mei 2024)

 

Terima kasih Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Pendahuluan

1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar di atas pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang kelapan pada 26 Januari 2024.

2. Di kesempatan ini juga, saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Almarhum Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang telah kembali ke rahmatullah pada 21 Februari 2024 bersamaan 11 Syaaban 1445 Hijrah yang lalu. Mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak telah menerajui Sarawak selama 33 tahun sebagai Ketua Menteri. Almarhum juga telah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri dan Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan dengan mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat Sarawak dan Malaysia pada keseluruhannya melebihi enam (6) dekad. Ia merupakan satu kehilangan yang besar kepada Sarawak khususnya dan negara amnya kerana Almarhum adalah seorang tokoh pemimpin yang banyak berjasa dan menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan Sarawak khasnya dan Malaysia amnya. Almarhum dikenali sebagai ”Bapa Pemodenan Sarawak” dan kepimpinannya dalam memperkenalkan konsep ”Politik Pembangunan” yang menitikberatkan pembangunan sosioekonomi seimbang, mendorong perkembangan industri serta memupuk perpaduan dalam kalangan komuniti yang berbilang kaum. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

3. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Yang Berhormat Senator Datuk Mutang Tagal, Yang di-Pertua Dewan Negara Malaysia yang telah meninggal dunia pada 10 Mei 2024. Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan yang besar kepada Sarawak, khasnya dan Malaysia, amnya.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

4. Tuan Yang Terutama di dalam Ucapan Perasmian telah menzahirkan perasaan bangga dan memuji Kerajaan Sarawak kerana menitikberatkan kelestarian dalam setiap pembangunan yang dirancang selari dengan matlamat konsep dan falsafah Sustainable Development Goals (SDGs); dan Environmental, Social and Governance (ESG) ke arah mencapai sasaran menjadi wilayah mampan dan berdaya tahan.

5. Kejayaan Kerajaan Sarawak menjadi perintis bagi inisiatif peralihan kepada Tenaga Boleh Diperbaharui untuk mengurangkan pelepasan karbon termasuk pelaksanaan inisiatif Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (Carbon Capture Utilization and Storage – CCUS) telah mendapat respon positif daripada pemain industri di peringkat global dan membuka banyak peluang pelaburan, perniagaan dan pekerjaan baharu di Sarawak.

6. Tuan Yang Terutama turut menyatakan rasa gembira kerana Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memelihara dan memulihara alam sekitar contohnya melalui inisiatif pengurusan hutan mampan dan pewartaan Totally Protected Areas (TPAs).

7. Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang turut serta dalam perbahasan dan memberi pandangan yang bernas berhubung dengan perkara-perkara di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar.

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu

8. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah NCR mereka yang sahih dan diwujudkan selaras dengan peruntukan undang-undang tanah sedia ada. Pengukuran dan pengeluaran surat hak milik tanah NCR telah dilaksanakan sejak 1960-an khususnya melalui Operasi Penyelesaian (Settlement Operation) selaras dengan Bahagian V Kanun Tanah Sarawak Bab 81.

9. Bagi memastikan pengukuran tanah NCR dilaksanakan secara lebih efisien dan efektif, Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu telah dilaksanakan bermula pada tahun 2010.

10. Melalui inisiatif ini, sehingga 30 April 2024, seluas lebih kurang 1,145,465 hektar atau 2,830,444 ekar telah berjaya diukur secara perimeter dan seluas lebih kurang 908,460 hektar atau 2,244,805 ekar daripadanya telah pun diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak. Pewartaan untuk baki kawasan yang telah diukur secara perimeter akan dilaksanakan secara berterusan. Kerja-kerja pengukuran ini adalah berdasarkan permohonan daripada pihak yang terlibat. Mana-mana kawasan yang terlibat dengan kes mahkamah, ia hanya akan diukur setelah kes tersebut selesai atau pihak yang terlibat menarik balik tuntutan mereka di mahkamah dan membuat permohonan baharu untuk menyertai program ini.

11. Sejak tahun 2017, fokus pengukuran juga ditumpukan kepada pengukuran lot-lot individu di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan yang telah diwartakan di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut-penuntut tanah tersebut.

12. Sehingga 30 April 2024, sebanyak 83,968 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 102,636 hektar atau 253,613 ekar yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

13. Bagi mempercepatkan pengukuran lot individu tanah NCR ini, penuntut tanah hendaklah hadir semasa pengukuran di lapangan, menanda sempadan tanah mereka dengan jelas dan mengelak pertikaian dalam membuat tuntutan agar pengukuran berjalan dengan lebih lancar.

14. Kerajaan Sarawak komited dalam memastikan kelangsungan program ini dan akan terus menyediakan dana yang diperlukan di samping dana yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

15. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Ba’kelalan, setakat 30 April 2024, terdapat satu (1) kawasan di Batang Suai, Niah, Miri berkeluasan lebih kurang 304 hektar atau 751 ekar telah dikeluarkan dengan Provisional Native Communal Title di bawah Rule 7, The Land (Native Communal Title) Rules, 2019. Pengukuran bagi kawasan ini akan mula dilaksanakan pada Jun tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh sebulan.

16. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Ba’kelalan juga, di bawah peruntukan seksyen 6A (2) Kanun Tanah Sarawak, keluasan kawasan Native Territorial Domain yang boleh dituntut oleh satu (1) komuniti ditetapkan sehingga 1,000 hektar.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

17. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Bukit Semuja, setakat 30 April 2024, sebanyak 17 kawasan berkeluasan 27,087 hektar atau 66,931 ekar telah diluluskan untuk diukur perimeter di bawah Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu di dalam kawasan DUN Bukit Semuja. Daripada jumlah itu, sebanyak 15 kawasan berkeluasan 25,065 hektar atau 61,936 ekar telah siap diukur, satu (1) kawasan berkeluasan 84 hektar atau 208 ekar akan dimulakan pengukuran dalam masa terdekat dan satu (1) lagi kawasan berkeluasan 993 hektar atau 2,454 ekar tidak dapat diukur kerana terlibat dengan kes mahkamah. Sebanyak 15 kawasan berkeluasan 20,341 hektar atau 50,264 ekar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

18. Daripada jumlah kawasan yang telah diwartakan tersebut, sebanyak tujuh (7) kawasan berkeluasan 8,818 hektar atau 21,789 ekar telah diluluskan untuk pengukuran lot individu. Daripada jumlah itu, sebanyak dua (2) kawasan berkeluasan 1,054 hektar atau 2,604 ekar telah siap diukur melibatkan sebanyak 636 lot. Dua (2) kawasan lagi berkeluasan 1,707 hektar atau 4,218 ekar sedang dalam proses pengukuran di mana seluas 905 hektar atau 2,236 ekar daripadanya telah siap diukur melibatkan sebanyak 1,117 lot. Tiga (3) kawasan berkeluasan 6,475 hektar atau 16,000 ekar akan dimulakan pengukurannya tertakluk kepada kesediaan penuntut tanah di lapangan.

19. Di bawah Program Pengukuran Kampung Tradisional pula, sebanyak sembilan (9) kawasan berkeluasan 153 hektar atau 378 ekar telah diluluskan di dalam kawasan DUN Bukit Semuja di mana kesemuanya telah siap diukur melibatkan sebanyak 1,602 lot.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK)

20. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pelaksanaan program Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) sejak Rancangan Malaysia Ke-4 (RMKe-4) merupakan komitmen dan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap rakyat berpendapatan rendah yang memerlukan tanah untuk mendirikan rumah.

21. Di bawah peruntukan RMKe-12 dan peruntukan Projek Rakyat sehingga 30 April 2024, sebanyak 75 projek SPS dan SPK telah diluluskan yang akan menyediakan sebanyak 7,570 lot kediaman dengan kos pelaksanaan dianggarkan berjumlah RM1.219 bilion. Daripada 75 projek tersebut, 19 projek telah siap sepenuhnya mengikut skop pembangunan dan baki 56 projek akan diteruskan sehingga penghujung RMKe-12.

22. Sejak 6 Mei 2018, projek-projek SPS dan SPK yang dilaksanakan adalah menggunakan spesifikasi infrastruktur yang telah ditambah baik seperti jalan raya yang berturap, parit konkrit, lot-lot yang ditembok dan sistem retikulasi bekalan air serta bekalan elektrik. Kerajaan Sarawak juga telah menetapkan bayaran premium tanah tidak melebihi RM2,500 bagi setiap lot kediaman di dalam SPS dan SPK walaupun kos penyediaan setiap lot tersebut dalam lingkungan RM120,000 hingga RM150,000. Ini membuktikan keprihatinan Kerajaan GPS yang sentiasa memberi perhatian kepada rakyat yang memerlukan bantuan.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

23. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Kalaka, terdapat lima (5) Skim Pembesaran Kampung (SPK) telah diluluskan di DUN Kalaka, iaitu empat (4) SPK diluluskan di bawah peruntukan Projek Rakyat dan satu (1) SPK diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

24. Empat (4) SPK yang diluluskan di bawah Projek Rakyat di DUN Kalaka ialah SPK Pagan, SPK Roban Fasa 2, SPK Baharu Kupang dan SPK Hulu Saratok Fasa 2. Di antaranya, SPK Pagan sedang dalam proses tender; SPK Roban sedang dalam proses pengambilan balik tanah; SPK Baharu Kupang dan SPK Hulu Saratok telah pun dimuktamadkan pertapakannya untuk proses pengambilan balik tanah. Keempat-empat SPK ini dianggar dapat menyediakan sejumlah 706 lot kediaman setelah kerja pembinaan siap sepenuhnya.

25. Bagi skim yang diluluskan di bawah RMKe-12 iaitu SPK Paloh pula menyediakan 134 lot kediaman di bawah Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKe-12 dengan nilai siling sejumlah RM500,000 untuk tujuan reka bentuk. Kerja reka bentuknya akan dimuktamadkan pada tahun 2024. Sekiranya pelaksanaan SPK Paloh diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), kerja-kerja pembinaannya dijangka akan bermula pada suku kedua tahun 2026 dan dijangka siap pada suku kedua tahun 2028.

26. Selain daripada lima (5) SPK yang telah diluluskan ini, Jabatan Tanah dan Survei akan mengemukakan semula cadangan pelaksanaan SPK Baru Saratok dalam RMKe-13. SPK ini dianggar mampu menyediakan 130 lot kediaman sekiranya cadangan ini diluluskan kelak.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

27. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Lingga, Kerajaan telah melaksanakan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Hulu Lingga dan SPK Lingga Fasa 1 dalam Rancangan Malaysia Ke-8 (RMKe-8) dan SPK Lingga Fasa 2 Peringkat 1 dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10). Skim-skim ini telah menyediakan sejumlah 305 lot kediaman di mana 277 lot telah diperuntukkan dan baki 28 lot lagi sedia untuk diagihkan. Manakala, bagi menampung keperluan lot kediaman kepada penduduk yang terlibat dengan hakisan sungai, Jabatan Tanah dan Survei akan mengemukakan cadangan untuk pelaksanaan SPK Lingga Fasa 2 Peringkat 2 dalam Rancangan Malaysia Ke-13. Dengan pelaksanaan skim ini nanti, ia akan dapat menampung keperluan penduduk yang terjejas dengan hakisan sungai.

28. Berkenaan dengan cadangan untuk menaiktaraf infrastruktur yang sedia ada kepada infrastruktur berspesifikasi baharu iaitu jalan berturap, sistem perparitan konkrit dan lot-lot kediaman yang ditembok, Jabatan Tanah dan Survei akan menjalankan kajian feasibility ke atas cadangan penaiktarafan ini memandangkan sebahagian daripada lot-lot kediaman yang diperuntukkan telah didirikan rumah kediaman.

29. Berhubung dengan keperluan lot kediaman untuk keluarga tambahan di Kampung Ladong (Kampung Hilir) dan Kampung Lemanak (Kampung Hulu) pula, Jabatan Tanah dan Survei akan mengemukakan semula cadangan pelaksanaan Skim Penempatan Semula (SPS) Kampung Baru, Sri Aman dalam RMKe-13 bagi menampung keperluan lot kediaman bagi keluarga tambahan dari kampung-kampung di sekitar Bandar Simanggang termasuk Kampung Ladong dan Kampung Lemanak.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

30. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Kabong, pembangunan infrastruktur bagi Skim Pembesaran Kampung (SPK) Hulu Kabong Fasa 1 yang menyediakan 200 lot kediaman telah siap dilaksanakan pada 19 November 2021. Kerajaan telah meluluskan Fasa 1 SPK ini untuk dibangunkan dengan Rumah SPEKTRA Permata dan program Rumah Mampu Milik.

31. Daripada 200 lot kediaman tersebut, 50 lot kediaman telah diperuntukkan kepada pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) untuk pembangunan Rumah SPEKTRA Permata. Kerja pembinaan untuk projek Rumah SPEKTRA Permata yang telah bermula pada 24 November 2023 untuk tempoh 18 bulan dengan kos sebanyak RM28 juta dilaksanakan mengikut jadual. Progres terkini pelaksanaan adalah 10.5 peratus.

32. Manakala, Kerajaan juga telah bersetuju melantik Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan Borneo Development Corporation (BDC) untuk membangunkan Rumah Mampu Milik bagi baki lot kediaman di dalam Fasa 1 SPK tersebut dengan masing-masingnya diperuntukkan 75 lot. Rumah Mampu Milik yang dibangunkan ini adalah mengikut model reka bentuk rumah di Kemuyang, Sibu.

33. Pembangunan Rumah Mampu Milik oleh LCDA dan BDC juga akan melibatkan lot-lot kediaman yang telah diperuntukkan kepada para allottee yang berjaya. Pihak LCDA dan BDC bersama JTS sedang mengadakan perbincangan dengan para allottee bagi membangunkan lot Rumah Mampu Milik tersebut.

34. Cadangan Ahli Yang Berhormat bagi Kabong untuk SPK Hulu Kabong Fasa 2 untuk dibangunkan dengan Rumah SPEKTRA Permata dan Rumah Mampu Milik akan dikaji untuk pertimbangan.

35. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Kabong juga, kerja-kerja penyediaan tapak bagi projek Kabong New Township Extension Fasa 1 telah pun siap. Manakala bagi kerja-kerja penyediaan infrastruktur akan ditender pada suku kedua tahun 2024.

36. Manakala cadangan SPK Sessang, SPK Empelam, SPK Gerigat dan SPK Nyabor akan dikemukakan semula dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

37. Sementara itu, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Alit, Kabong, adalah disarankan untuk mengemukakan permohonan bagi pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung Alit kepada Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

38. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Beting Maro, Skim Pembesaran Kampung (SPK) di bawah pelaksanaan Jabatan Tanah dan Survei adalah SPK Beladin. SPK Beladin berkeluasan 82 ekar telah diluluskan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan nilai siling berjumlah RM2,034,000.00 untuk kos reka bentuk dan pengambilan balik tanah keseluruhan kawasan berkenaan. Jabatan Tanah dan Survei akan memohon peruntukan bagi pembinaan infrastruktur berspesifikasi baharu untuk pelaksanaan secara berfasa dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

39. Manakala, cadangan pelaksanaan bagi SPK Pusa, SPK Beting Maro, SPK Sepinang, SPK Tambak dan SPK Kalok adalah di bawah kendalian pihak LCDA. Bagi SPK Pusa, ia di dalam proses penyediaan pelan susun atur yang merangkumi kawasan seluas 30 ekar untuk menyediakan kemudahan-kemudahan kediaman, beribadah, beriadah, cottage industry serta rizab-rizab kerajaan. Bagi SPK Beting Maro, SPK Sepinang, SPK Tambak dan SPK Kalok pula, LCDA akan mengemukakan semula permohonan peruntukan di bawah RMKe-13 untuk pertimbangan dan kelulusan.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Pengambilan Balik Tanah

40. Setakat 30 April 2024, terdapat 1,248 projek memerlukan pengambilan balik tanah bagi projek yang mana pertapakan telah diluluskan semenjak 2018. Sebanyak 519 projek telah diperuntukkan dengan dana berjumlah RM1.008 bilion. Daripada jumlah tersebut, 130 projek Persekutuan dan 389 projek Sarawak telah diperuntukkan masing-masingnya dengan dana sebanyak RM227.67 juta dan RM781.07 juta.

41. Jabatan Tanah dan Survei Sarawak masih memerlukan dana sebanyak RM1.535 bilion untuk melaksanakan pengambilan balik tanah bagi 729 projek. Dana yang diperlukan adalah sebanyak RM448.67 juta bagi 151 projek Persekutuan dan RM1.086 bilion bagi 578 projek Sarawak.

42. Komitmen Kerajaan dalam menyelesaikan pengambilan balik tanah dalam tempoh enam (6) bulan adalah bergantung kepada penyaluran dan ketersediaan peruntukan dana daripada agensi pelaksana. Kelewatan penyaluran peruntukan tersebut kepada Jabatan Tanah dan Survei akan menjejaskan pelaksanaan projek dan tentunya akan menjejaskan tempoh enam (6) bulan seperti yang telah ditetapkan.

43. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua agensi pelaksana Kerajaan Sarawak dan Persekutuan supaya memastikan dana yang secukupnya, disedia dan disalurkan segera kepada Jabatan Tanah dan Survei bagi tujuan memuktamadkan proses pengambilan balik tanah.

44. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, antara projek mega yang telah dan sedang dilaksanakan yang melibatkan pengambilan balik tanah ialah Lebuhraya Pan Borneo, Second Trunk Road/Coastal Highway, Sarawak Sabah Link Road (SSLR), Trans Borneo dan Northern Coastal Highway (NCH). Projek-projek ini adalah bertujuan untuk menyediakan prasarana rangkaian lebuhraya secara lebih terancang, sistematik dan efisien demi meningkatkan kesalinghubungan di antara kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak.

45. Bagi projek Lebuhraya Pan Borneo, ketersediaan dana pengambilan balik tanah yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Jabatan Tanah dan Survei, telah berjaya memastikan pengambilan balik tanah disiapkan dalam tempoh yang dirancang dari tahun 2015 sehingga 2017 sekaligus memberi impak besar kepada pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo. Sehingga kini, lebuhraya sepanjang 826 kilometer dari Teluk Melano, Sematan sehingga ke Miri telah pun 99 peratus siap.

46. Bagi projek Second Trunk Road/Coastal Highway, ketersediaan dana pengambilan balik tanah berjumlah RM220 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak kepada Jabatan Tanah dan Survei telah menyelesaikan pengambilan balik tanah bagi jajaran jalan sepanjang 215 kilometer. Pengambilan balik tanah bagi baki jajaran jalan sepanjang 40.6 kilometer pula akan diselesaikan pada penghujung tahun ini.

47. Sementara itu bagi projek Trans Borneo Highway, Jabatan Tanah dan Survei memerlukan peruntukan dana sebanyak RM194.45 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi pengambilan balik tanah. Pembinaan jalan yang melibatkan jajaran jalan sepanjang 73.8 kilometer yang dijadualkan bermula pada November 2024 akan terjejas sekiranya jumlah dana yang diperlukan tidak disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Survei.

48. Bagi projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) pula, ketersediaan dana pengambilan balik tanah berjumlah RM200 juta bagi Fasa 1 yang melibatkan jajaran jalan sepanjang 77 kilometer dan sebahagian daripada Fasa 2 yang melibatkan jajaran jalan sepanjang 45 kilometer, akan diselesaikan pengambilan balik tanah pada penghujung tahun ini. Pengambilan balik tanah bagi baki Fasa 2 sepanjang 275.5 kilometer yang memerlukan dana sejumlah RM127 juta akan diselesaikan pada tahun 2025 tertakluk kepada penyaluran dana yang diperlukan.

49. Projek Northern Coastal Highway pula, ketersediaan sebahagian dana pengambilan balik tanah berjumlah RM20 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak kepada Jabatan Tanah dan Survei telah menyelesaikan pengambilan balik tanah bagi jajaran jalan sepanjang enam (6) kilometer pada penghujung tahun 2023. Pengambilan balik tanah bagi baki jajaran jalan sepanjang 82.7 kilometer yang memerlukan dana sejumlah RM140 juta akan diselesaikan apabila keseluruhan dana yang diperlu disalurkan sepenuhnya.

50. Kementerian saya akan sentiasa meningkatkan komunikasi dan koordinasi dengan agensi lain yang melibatkan penyaluran dana demi memastikan kejayaan pelaksanaan projek yang lebih efisien.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

51. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Meradong, beberapa permohonan pertapakan bagi Meradong Swimming Pool telah dikemukakan oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Sarawak. Namun Majlis Perancangan Negeri (SPA) memutuskan agar tapak baharu perlu dikenalpasti kerana tapak yang dicadangkan adalah tidak sesuai berdasarkan perancangan kerana melibatkan kawasan lapang (open space) di dalam taman perumahan dan tapak stesen bas.

52. SPA semasa mesyuarat pada 17 Jun 2020 telah meluluskan Lot 1661 dan 1662 Binatang Town District yang terletak berdekatan dengan Kompleks Sukan Bintangor untuk tujuan tersebut. Namun, MYSED pada 23 Februari 2024 sekali lagi telah mengemukakan permohonan ke atas tapak lain iaitu Lot 232 Block 39 Sarikei Land District yang terletak berdekatan dengan Jalan Pasi-Tanjung Manis. Permohonan tersebut akan dikemukakan ke SPA untuk pertimbangan.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

53. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Bawang Assan, Padungan dan Bukit Assek, kadar cukai tanah baharu telah digunapakai dan berkuatkuasa pada 1 Januari 2023. Pemberitahuan rasmi kepada pemilik tanah telah dibuat melalui pewartaan bertarikh 30 Jun 2022.

54. Semakan cukai tanah ini adalah selaras dengan peruntukan seksyen 30 (5) Kanun Tanah Sarawak yang membenarkan semakan cukai tanah dibuat setiap 10 tahun. Kadar cukai tanah lama telah digunapakai sejak 1994 iaitu 30 tahun yang lepas.

55. Penentuan kadar cukai baharu tersebut dibuat setelah kajian terperinci termasuklah perbandingan amalan kadar cukai tanah yang dilaksanakan di negeri-negeri lain di Malaysia.

56. Semakan cukai tanah ini juga dilaksanakan bagi memastikan ia selari dengan kadar kenaikan nilai pasaran hartanah. Rekod transaksi hartanah menunjukkan peningkatan nilai secara keseluruhannya dari 75 peratus sehingga ke 200 peratus bagi tempoh dari tahun 1994 sehingga 2022 di seluruh Sarawak.

57. Perancangan dan pembangunan pesat infrastruktur inisiatif Kerajaan GPS di sesebuah kawasan telah merancakkan pembangunan sosioekonomi di kawasan tersebut dan secara langsung meningkatkan nilai pasaran hartanah. Dengan perancangan dan pembangunan ini, terdapat beberapa kawasan telah dibangunkan dengan pembangunan perumahan, komersil dan industri yang dahulunya hanya digunakan untuk pertanian. Contohnya kawasan di Sibujaya telah membangun dengan pesat sebagai bandar satelit yang serba lengkap.

58. Sebagai indikator, nilai pasaran hartanah rumah kedai 3 tingkat di kawasan Matang Jaya adalah RM340,000.00 seunit pada tahun 2000 dan RM1.4 juta seunit pada tahun 2023. Ini menunjukkan kenaikan nilai pasaran rumah kedai tiga (3) tingkat sebanyak 300 peratus di antara tempoh berkenaan di kawasan tersebut.

59. Manakala, nilai pasaran hartanah industri di kawasan Rantau Panjang, Sibu dari transaksi yang direkodkan oleh Jabatan Tanah dan Survei, tanah kegunaan industri adalah RM60.00 semeter persegi pada tahun 2005 dan RM180.00 semeter persegi pada tahun 2020. Ini menunjukkan kenaikan nilai pasaran hartanah industri sebanyak 200 peratus di antara tempoh berkenaan di kawasan tersebut.

60. Limpahan pembangunan sehingga melibatkan tanah desa (atau Country Land) ini juga telah mewajarkan tanah-tanah yang terlibat untuk dikategorikan semula sama ada sebagai Tanah Pinggir Bandar (atau Sub Urban Land) atau Tanah Bandar (atau Town Land).

61. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Sarawak satu-satunya wilayah di Malaysia yang tidak mengenakan cukai tanah bagi semua jenis kegunaan kediaman seperti banglo, semi-D, teres, apartment, flat dan kegunaan pertanian berkeluasan kurang daripada 100 ekar. Surat hak milik bagi dua (2) kegunaan ini adalah surat hak milik yang paling banyak didaftarkan dan dimiliki oleh rakyat Sarawak.

62. Kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Survei telah dan akan terus memberi penerangan kepada pemilik tanah yang terlibat berkenaan dengan kadar semakan cukai tanah dan kadar premium bagi pelanjutan tempoh hak milik tanah. Maklumat ini juga boleh diperolehi di laman sesawang Jabatan Tanah dan Survei dan aplikasi Mobile LASIS.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

63. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Padungan, terdapat kesilapan maklumat berhubung dengan kegunaan tanah bagi Lot 165 Block 14 Sadong Land District semasa proses semakan semula kadar cukai tanah pada tahun 2023. Lot tersebut merupakan tanah kegunaan pertanian berkeluasan 5.271 hektar atau 13.02 ekar. Oleh yang demikian, tiada cukai tanah tahunan seharusnya dikenakan ke atas lot tersebut ekoran daripada pemansuhan cukai tanah yang dilaksanakan pada tahun 2016. Tindakan pembetulan telah pun dilaksanakan oleh Jabatan Tanah dan Survei dengan sewajarnya.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

64. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Tellian, proses pengambilan balik tanah bagi projek Jalan SK Nanga Baoh/ Baoh Ulu, Mukah telah selesai pada tahun 2021 yang melibatkan tiga (3) lot tanah berhakmilik, 26 lot tanah Hak Adat Bumiputera dan satu (1) lot tanah kerajaan berdaftar dengan keseluruhan keluasan adalah 31.36 hektar. Jajaran jalan ini adalah sepanjang 10.06 kilometer dengan kos pengambilan balik tanah adalah sebanyak RM1.87 juta (RM1,872,690.35).

65. Bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Jalan Lubok Bemban/Bukit Engkerbai/Ulu Sikat, Mukah, pengambilan balik tanah telah selesai pada tahun 2023 yang melibatkan satu (1) lot tanah berhakmilik dengan kos pengambilan balik tanah berjumlah RM79,279.00.

66. Proses pengambilan balik tanah di Sarawak adalah berdasarkan peruntukan Kanun Tanah Sarawak. Bagi memastikan kesediaan tanah untuk pembangunan yang melibatkan pengambilan balik tanah diurus dengan berkesan, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan manual kerja sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa.

67. Jabatan Tanah dan Survei sentiasa mempertingkatkan kerjasama dengan agensi pelaksana serta ketua masyarakat setempat bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat agar sama-sama membantu dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek kerajaan di kawasan masing-masing.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Pembaharuan Bandar (Urban Renewal)

68. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, salah satu inisiatif berterusan Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kesejahteraan dan sosioekonomi rakyat selaras dengan hala tuju Sarawak maju menjelang 2030 adalah melalui Program Pembaharuan Bandar (Urban Renewal). Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat dengan menyediakan rumah mampu milik yang selesa dan teratur, penempatan terancang yang dilengkapi dengan infrastruktur asas, utiliti, kemudahan rekreasi, tempat ibadah dan premis perniagaan untuk pembangunan sosioekonomi penduduk setempat.

69. Setakat ini, empat (4) Projek Pembaharuan Bandar yang dilaksanakan secara berfasa telah siap sepenuhnya untuk didiami oleh penduduk kampung yang terlibat. Antaranya Projek Pembangunan Darul Hana Fasa Pertama yang melibatkan 318 Ketua Isi Rumah dari Kampung Semarang, Kampung Panglima Seman Lama dan kawasan sekitarnya. Setakat 30 April 2024, seramai 258 Ketua Isi Rumah telah berpindah ke Darul Hana dan baki 60 Ketua Isi Rumah dijangka berpindah pada masa terdekat ini.

70. Manakala, Fasa Kedua melibatkan sejumlah 252 Ketua Isi Rumah dari Kampung Pulo Ulu yang juga dijangka akan berpindah ke Darul Hana sebelum penghujung tahun ini.

71. Kerajaan Sarawak juga turut mengambilkira keperluan Ketua Keluarga Tambahan dengan menyediakan rumah kediaman di Sungai Bedaun yang mana seramai 106 Ketua Keluarga Tambahan dari Kampung Semarang, Kampung Panglima Seman Lama dan kawasan sekitarnya. Pengagihan rumah kepada Ketua Keluarga Tambahan yang layak akan dilaksanakan sebelum penghujung tahun ini.

72. Selain itu juga, di bawah Projek Pembangunan Semula Kampung Datu, Sibu dan Projek Pembangunan Kemuyang, Sibu, seramai 49 Ketua Isi Rumah dan 67 Ketua Keluarga Tambahan dari Kampung Datu, sebahagian Kampung Baharu dan sebahagian Kampung Hilir, Sibu akan mula berpindah ke Kampung Datu Baru, Sibu sebelum penghujung tahun ini.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Pembangunan Bandar Baharu (New Township), Pekan Baharu dan Pusat Perkhidmatan (Service Centre)

73. Untuk memastikan keseimbangan ekonomi bagi kawasan bandar dan luar bandar, Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) telah merancang dan sedang giat menjalankan pelbagai pembangunan di kawasan-kawasan tersebut. Antara inisiatif Kerajaan adalah mewujudkan pembangunan bandar baharu (new township), pekan baharu dan pusat perkhidmatan (service centre).

74. Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, Kerajaan telah meluluskan siling peruntukan berjumlah RM227,148,471.00 bagi melaksanakan projek-projek pembangunan bandar baharu, pekan baharu dan pusat perkhidmatan (service centre).

75. Bagi pembangunan bandar baharu dan pekan baharu sebagai hab pemangkin ekonomi di luar bandar, LCDA giat melaksanakan projek-projek seperti berikut:-

i. Bandar Baru Sebuyau, Samarahan;

ii. Bandar Baru Simunjan, Samarahan;

iii. Bandar Baru Daro Fasa II, Mukah; dan

iv. Pekan Baru Kabong, Betong.

76. Selain itu, projek-projek pembangunan pusat perkhidmatan (service centre) juga diberi keutamaan dan kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, antaranya adalah:-

i. Lingga Service Centre, Sri Aman;

ii. Matu Service Centre, Mukah;

iii. Igan Service Centre, Mukah;

iv. Matadeng Service Centre, Mukah; dan

v. Ulu Merapok Service Centre, Lawas.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

77. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Daro, kerja-kerja penyediaan infrastruktur untuk Bandar Baru Daro Fasa II, Mukah telah dimulakan pada Mac 2024 dan dijangka siap pada suku pertama tahun 2025. Manakala bagi pembinaan rumah kedai termasuk cottage industry dijangka bermula suku ketiga 2024 dan tempoh pelaksanaannya adalah selama 18 bulan.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

78. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Daro juga, Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Tanah dan Survei sedang menyediakan Pelan Pembangunan Pekan Daro di mana Pelan Akhir dijangka siap dalam suku ketiga 2024 dan akan dikemukakan kepada Majlis Perancangan Negeri untuk pertimbangan. Antara komponen yang dicadangkan dalam Pelan Pembangunan Pekan Daro adalah untuk kegunaan kediaman, industri, komersil, rizab kerajaan, padang atau rekreasi, pusat kejiranan (neighbourhood sub-centre), kawasan perkuburan dan juga jaringan jalan raya.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

79. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Meluan, Kerajaan telah pun meluluskan pelan struktur bagi pembangunan di kawasan Julau yang dijadikan rujukan untuk pembangunan di kawasan sekitar 3 hingga 4 kilometer radius dari Pekan Julau.

80. Pelan sedia ada ini lebih strategik memandangkan ia terletak di jalan utama yang menghubungkan Pekan Julau dengan Bandar Sibu serta mengambilkira keperluan untuk zon komersil seluas 17.52 hektar atau 43.28 ekar serta komponen-komponen lain seperti kediaman, industri, institusi pendidikan, institusi keagamaan, rekreasi dan rizab kerajaan. Setakat ini, stadium, Pejabat Daerah Julau, SMK Julau No.2, Klinik Kesihatan Julau dan Julau State Government Quarters telah dibangunkan berpandukan pelan struktur ini.

81. Pelan sedia ada ini memadai untuk menampung keperluan seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat. Ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa selaras dengan trend pembangunan dan keperluan setempat.

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

82. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Murum, Kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Survei sedang menyediakan Local Plan bagi Sungai Asap di Kapit yang kini sedang dalam proses kajian dan pengumpulan data. Local Plan ini nanti antara lainnya akan menyediakan zon-zon pembangunan untuk kegunaan kediaman, komersil, industri, rizab kerajaan, institusi pendidikan, institusi keagamaan, rekreasi dan jaringan jalan raya. Cadangan Local Plan Sungai Asap ini akan dibentangkan ke Majlis Perancangan Negeri untuk pertimbangan dalam suku ke-4 tahun 2024.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

83. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Beting Maro, status penyediaan Pelan Pembangunan Pusat Pentadbiran Daerah Pusa 2030 adalah di peringkat deraf akhir dan sedia untuk dibentangkan ke Mesyuarat Majlis Perancangan Negeri untuk pertimbangan dan kelulusan. Antara komponen-komponen yang dicadangkan di dalam pelan pembangunan ini merangkumi zon-zon pembangunan seperti perumahan, komersil, perindustrian, institusi kerajaan, kemudahan masyarakat, kawasan lapang dan rekreasi, sistem jaringan jalan serta rizab untuk aktiviti-aktiviti pertanian.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

84. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Beting Maro, sebanyak 68 unit rumah daripada 271 unit rumah bagi Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Beladin telah siap dibina oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA). Pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah mengenalpasti dan meluluskan seramai 64 peserta untuk ditawarkan rumah-rumah tersebut melalui pembiayaan pinjaman daripada Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd. Proses temuduga oleh LKIM bagi baki empat (4) rumah akan diadakan pada bulan Jun 2024. Manakala, pembinaan baki 203 unit rumah PSN Beladin ini akan dilaksanakan setelah peruntukan diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

85. Bagi projek Beladin Slipway, ianya telah pun siap dilaksanakan oleh pihak LCDA. Bagi memastikan projek ini diurus dengan baik dan memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya para nelayan, pihak LCDA akan meneruskan perbincangan bersama dengan Sarawak Association of Maritime Industry (SAMIN), LKIM dan Persatuan Nelayan di kawasan berkenaan.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Memartabatkan Pengurusan Hutan di Sarawak

86. Hutan merupakan satu khazanah yang dianugerahkan kepada Sarawak yang perlu dipelihara dan diurus dengan sebaik-baiknya. Kita harus berbangga dengan kemampuan kita dalam menguruskan sumber ini dan mengekalkan keluasan litupan hutan untuk kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan manusia.

87. Sarawak masih mampu mengekalkan 7.65 juta hektar atau 62 peratus kawasan litupan hutan menerusi penambahbaikan dan pemerkasaan polisi sedia ada serta pelaksanaan pelbagai program pengurusan hutan secara lestari.

88. Ini juga mengekalkan Sarawak sebagai penyumbang terbesar kawasan litupan hutan di Malaysia iaitu sebanyak 42.4 peratus daripada 18.05 juta hektar keseluruhan kawasan berhutan di Malaysia.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Amalan Pengurusan Hutan Mampan

89. Kerajaan Sarawak melalui polisi Pensijilan Pengurusan Hutan (Post-2022 Forest Management Certification Policy) menyasarkan tiga (3) juta hektar kawasan Lesen Jangka Panjang untuk dipersijilkan selewat-lewatnya pada tahun 2025. Setakat ini, sejumlah 26 Unit Pengurusan Hutan (FMU) dengan keluasan 2.38 juta hektar dan tujuh (7) unit Pengurusan Ladang Hutan (FPMU) dengan keluasan 97,966 hektar telah mendapat pensijilan masing-masing.

90. Pencapaian status pensijilan hutan adalah penting untuk membuktikan pengurusan hutan yang dilaksanakan di Sarawak adalah memenuhi piawaian antarabangsa dan ini membolehkan produk kayu yang dihasilkan dapat dipasarkan secara kompetitif di pasaran global.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Kolaborasi Antarabangsa

91. Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak telah mengadakan kolaborasi dengan pelbagai pihak di luar negara bagi mengukuhkan pengurusan hutan, teknologi perhutanan dan penyelidikan hutan di Sarawak.

92. Antara kerjasama yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:-

i. Kerjasama antara Jabatan Hutan Sarawak dengan Kesatuan Eropah (EU). Kerjasama ini telah memberi faedah kepada Jabatan Hutan Sarawak dari segi pemindahan teknologi, pengurusan sistem dan maklumat serta kejuruteraan hutan. Skogforsk Research Institute, Sweden akan bekerjasama dengan Jabatan Hutan Sarawak dalam memberi input kepakaran teknikal dalam industri perladangan hutan bagi memastikan pematuhan kepada polisi terkini European Union Deforestation Regulation (EUDR).

ii. Kerjasama dengan pihak National Institute of Environment Studies (NIES) Japan dengan penghantaran pegawai-pegawai Jabatan Hutan Sarawak ke NIES Tsukuba, Japan bagi menjalani latihan teknologi perhutanan iaitu kaedah penganalisaan data Light Detection and Ranging (LiDAR).

iii. Kerjasama dengan Van Hall Larenstein University of Applied Sciences di Velp, Netherlands. Pada 20 hingga 29 April 2024, beberapa pegawai Jabatan Hutan Sarawak telah menjalani latihan teknikal dalam pengurusan dan pembangunan perdagangan karbon hutan di universiti berkenaan.

iv. Kerjasama dengan International Tropical Timber Organization (ITTO) dengan menandatangani dua (2) Perjanjian Projek pada 21 Mac 2023 iaitu projek Management of Upper Baram Forest Area for Conservation and Sustainable Development with Involvement of Local Communities Upper Baram, Sarawak, Malaysia bernilai USD556,083.00 dan projek Community Empowerment in Forest Management and Forest Landscape Restoration in Upper Baram, Sarawak, Malaysia bernilai USD258,000.00. Di samping itu, pada November 2023, pihak ITTO telah meluluskan dua (2) projek baharu lagi, iaitu Management of Sungai Menyang Conservation Area for Orang Utan Protection and Uplifting Community Livelihood, Sarawak, Malaysia bernilai USD261,904.00 dan Critical Upliftment of Local Livelihoods: Urgent Actions for Community-Based Conservation and Development in Upper Baram, Sarawak, Malaysia bernilai USD139,000.00 telah diluluskan. Objektif kesemua projek ini adalah untuk meningkatkan pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan sosioekonomi penduduk tempatan.

v. Satu persidangan antarabangsa anjuran kerjasama antara Jabatan Hutan Sarawak, Sarawak Timber Association (STA), ITTO dan World Wildlife Fund for Nature (WWF) Malaysia telah diadakan pada 6 hingga 7 Mac 2024 di Kuching. International Conference on Sustainable Management of Tropical Forest tersebut telah mengumpulkan seramai 200 pakar, pembuat dasar dan pihak berkepentingan untuk membincangkan mengenai amalan terbaik pengurusan hutan global dan memupuk jaringan hubungan (networking) dengan semua pihak berkepentingan tersebut. Persidangan ini telah meletakkan Sarawak di persada dunia dalam jaringan sistem pengurusan hutan mampan.

93. Manakala, SFC pula telah mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi antarabangsa dalam bidang pemuliharaan dan penguatkuasaan hidupan liar termasuk kerjasama dengan:-

i. US Embassy melalui US Fish & Wildlife Service (USFWS) untuk beberapa siri latihan seperti berikut:-

a. Wildlife Trafficking Investigators Programme bertempat di The International Law Enforcement Academy (ILEA) Bangkok pada 31 Julai sehingga 11 Ogos 2023; dan

b. International Conservation Chiefs Academy (ICCA) bertempat di Shepherdstown, West Virginia, USFWS National Conservation Training Center, USA pada 11 hingga 25 September 2023;

iii. NParks Singapore berkaitan analisa penyakit bawaan hidupan liar dan penyelidikan lapangan dalam bidang botani;

iv. Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development (SATREPS) Japan bagi kajian lapangan dan Latihan pegawai di Kawasan TPA seperti Bako, Santubong, Lambir Hills dan Pulong Tau;

v. Asian Forest Cooperation Organisation (AFoCO) Korea, bagi penanaman pokok dan penyelidikan Fasa 1 di Taman Negara Rejang Mangrove; dan

vi. Indianapolis Zoo USA bagi latihan pegawai veterinar dan hidupan liar.

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Konservasi dan Pewartaan

94. Sejajar dengan Polisi Guna Tanah Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak telah mewartakan kawasan seluas 3.9 juta hektar sebagai Hutan Simpan Kekal daripada jumlah enam (6) juta hektar yang disasarkan. Pada tahun ini, Kerajaan Sarawak telah mewartakan sebuah kawasan Hutan Simpan Kekal yang baharu iaitu Bajoh-Ujong Murod Protected Forest yang berkeluasan 13,125 hektar. Ia menjadikan luas keseluruhan Hutan Simpan Kekal di Sarawak setakat ini adalah 3,960,471 hektar.

95. Dalam usaha eksplorasi khazanah hutan serta kekayaan kepelbagaian biologinya, program ekspedisi saintifik telah dan sedang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk para penyelidik. Satu (1) ekspedisi saintifik telah diadakan pada 19 Februari hingga 2 Mac 2024 di Taman Rimba Sebangkoi, Sarikei oleh Jabatan Hutan Sarawak bersama Pejabat Residen Sarikei dan Majlis Daerah Sarikei. Pelbagai aspek kajian telah dilaksanakan meliputi bidang tanah, entomologi, hidrologi, botani, anatomi kayu, kulat, cendawan, kelawar dan burung. Pada masa yang sama, inventori sumber hutan turut dilaksanakan. Hasil ekspedisi ini akan digunakan untuk penyediaan kertas cadangan pewartaan Taman Rimba Sebangkoi sebagai Amenity Forest, iaitu untuk tujuan penyelidikan, pendidikan dan rekreasi.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Penghijauan Malaysia dan Greening Sarawak Campaign

96. Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021 hingga 2025) telah dilancarkan secara serentak di seluruh negara pada 5 Januari 2021 bagi memastikan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan hutan dapat dicapai.

97. Selari dengan kempen tersebut, Kerajaan Sarawak komited untuk menanam sebanyak 35 juta pokok melalui inisiatif Greening Sarawak Campaign, dengan menggalakkan penanaman pokok termasuk spesis pokok untuk perhutanan bandar, pokok ladang hutan, pokok hutan asli dan sebagainya. Sarawak merupakan penyumbang tertinggi bagi penanaman pokok di Malaysia setakat April 2024 dengan merekodkan penanaman sebanyak lebih 34 juta pokok. Kita menjangkakan akan dapat mencapai sasaran penanaman 35 juta pokok dalam masa terdekat, iaitu lebih awal daripada tahun sasaran 2025.

98. Manakala, Sarawak Forestry Corporation (SFC) melalui Project Rewilding telah menanam 98,000 pokok di kebanyakan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) di seluruh Sarawak. Pada tahun ini, sebanyak 20,000 pokok lagi disasarkan akan ditanam di kawasan TPA seperti Rajang Mangrove, Bukit Lima Sibu, Samunsam, Similajau dan Piasau.

99. Menerusi kempen penanaman pokok, semangat cintakan alam semulajadi dapat dipupuk di kalangan masyarakat melalui penanaman pelbagai pokok sekaligus menyokong komitmen Sarawak dalam program penghijauan Malaysia.

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Melestarikan Kepelbagaian Biologi

100. Satu (1) penemuan habitat terbaharu monyet Presbytis Chrysomelas cruciger (Tricolour Langur) atau monyet merah telah direkodkan di Sungai Selai Inah, Jemoreng semasa ekspedisi saintifik dilaksanakan di kawasan berkenaan. Penemuan ini telah diterbitkan pada 27 Mac 2024, dalam artikel antarabangsa, iaitu Check List the Journal of Biodiversity Data. Spesis tersebut hanya pernah dijumpai di Taman Negara Maludam. Untuk makluman, monyet yang unik tersebut dikategorikan sebagai spesis terancam secara kritikal dalam International Union for Conservation of Nature (IUCN) Red List serta spesis yang terlindung dalam Wild Life Protection Ordinance, 1998. Pihak Jabatan Hutan Sarawak dalam proses pewartaan kawasan habitat monyet tersebut, iaitu seluas lebih kurang 845 hektar sebagai Sungai Selai Inah Protected Forest.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Pengiktirafan Dunia Kepada Khazanah Hutan Sarawak

Sarawak Delta Geopark (SDGp) dan Pencalonan Niah sebagai Tapak Warisan Dunia

101. Sarawak menyasarkan untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO bagi Sarawak Delta Geopark pada 2026. Sebagai persediaan ke arah pengiktirafan tersebut, pelbagai usaha sedang giat dilaksanakan bagi memastikan pencalonan SDGp memenuhi dan mematuhi kriteria UNESCO Global Geopark (UGGp). Antara inisiatif yang telah dan sedang dijalankan adalah menubuhkan Unit Pengurusan Geopark, penyediaan dossier, pelaksanaan pelbagai aktiviti kesedaran awam dan pembinaan infrastruktur bagi kedampakan (visibility) SDGp. Pengiktirafan Sarawak Delta Geopark sebagai UNESCO Global Geopark akan melonjakkan industri geopelancongan di Sarawak sekaligus meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk selaras dengan aspirasi PCDS 2030.

102. Pada September 2023, International Council on Monuments and Sites (ICOMOS) yang berpusat di Paris telah membuat penilaian teknikal terhadap cadangan pencalonan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Sehubungan itu juga, satu (1) dokumen Integrated Conservation Management Plan telah disedia dan diserahkan ke Pejabat UNESCO, Paris pada bulan Februari 2024 untuk menyokong pencalonan tersebut. Cadangan pencalonan ini dijangka diputuskan semasa persidangan World Heritage Committee yang ke-46, yang dijadualkan pada bulan Julai 2024 di India.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Inisiatif Karbon Hutan

1. Sarawak adalah peneraju utama di Malaysia dalam inisiatif karbon hutan. Inisiatif karbon hutan ini akan menggalakkan amalan pengurusan hutan secara berkekalan dan mengurangkan kesan perubahan iklim. Inisiatif ini juga akan mempertingkatkan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial serta kelestarian alam sekitar selari dengan strategi Kerajaan Sarawak melalui PCDS 2030.

2. Semenjak penggubalan Forests (Forest Carbon Activity) Rules pada tahun 2022, sebanyak 13 permohonan permit penyelidikan karbon hutan telah diterima. Daripada 13 permohonan ini, satu (1) lesen karbon hutan dalam proses akhir pengeluaran manakala dua (2) permit penyelidikan karbon hutan telah dikeluarkan. Sebanyak tujuh (7) permohonan masih dalam proses penilaian dan tiga (3) permohonan telah ditolak.

3. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Pending, seluruh dunia memberi perhatian terhadap perubahan iklim (climate change). Perdagangan karbon adalah salah satu inisiatif bagi menangani isu tersebut di samping menjadi sumber ekonomi baharu. Inisiatif ini memperkukuhkan lagi usaha konservasi hutan kerana perdagangan karbon ini tidak melibatkan penebangan pokok dan penerokaan kawasan hutan.

4. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, fi lima (5) peratus yang dikenali sebagai Forest Ecosystem Fee (FEF) akan dikenakan ke atas hasil nilai karbon yang diperdagangkan. Kadar FEF ini adalah kompetitif dan berpatutan bagi menggalakkan penyertaan pemaju projek karbon hutan di Sarawak. Selain itu, kerajaan juga mengenakan cukai tahunan penggunaan tanah untuk perdagangan karbon berdasarkan keluasan kawasan lesen. Sekiranya kadar fi dan cukai ini tidak setara dengan kadar yang digunapakai di peringkat antarabangsa, perundangan sedia ada membenarkan semakan dibuat ke atas kadar berkenaan.

5. Untuk makluman, setakat ini, formula penetapan harga karbon di peringkat antarabangsa juga belum dimuktamadkan. Oleh yang demikian, harga karbon yang diperdagangkan di peringkat global pada masa ini adalah berdasarkan kesepakatan dan persetujuan antara pembeli dan penjual (willing buyer and willing seller).

6. Komitmen Sarawak untuk sama-sama menangani cabaran perubahan iklim berdasarkan agenda global net zero emission menjelang 2050, merupakan intangible benefits yang lebih utama dan yang tidak boleh dinilai berdasarkan “dollar and cents” sahaja.

7. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Pending juga, maklumat berkenaan inisiatif karbon ini boleh didapati di laman sesawang Jabatan Hutan Sarawak. Selaras dengan keperluan Piawaian Karbon Antarabangsa, Pelesen karbon hutan adalah diwajibkan untuk memaparkan keterangan mengenai projek karbon hutan di laman sesawang masing-masing. Selain itu, maklumat mengenai projek karbon hutan juga boleh diakses melalui laman sesawang An International Carbon Standard Registry. Registry ini merupakan sistem berpusat antarabangsa bagi mengetahui rekod dan status Verified Carbon Unit sesebuah syarikat.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Inventori Sumber Hutan

103. Projek Inventori Sumber Hutan (ISH) di Sarawak telah dilaksanakan untuk menyokong pelaksanaan Inventori Sumber Hutan Nasional Ke-6 sebagai usaha berterusan dalam memastikan khazanah hutan negara dapat diurus secara mampan.

104. Inisiatif ini dijalankan bagi mendapatkan maklumat berkenaan sumber hutan di Sarawak bagi tujuan pelaporan dan pengurusan sumber hutan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, di samping mengenalpasti dirian hutan dan membuat verifikasi penstrataan hutan di kawasan hutan simpan kekal di Sarawak.

105. Projek Inventori Sumber Hutan Fasa Ketiga yang melibatkan 319 plot kluster dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 meliputi kawasan Hutan Simpan Kekal (PFE) seluas 3.9 juta hektar. Laporan penuh inventori sumber hutan di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal di Sarawak dijangka akan diterbitkan menjelang akhir tahun 2025.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Perhutanan Sosial dan Pembangunan Komuniti

(Social Forestry and Community Development)

106. Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak juga menjalankan pelbagai inisiatif perhutanan sosial bagi meningkatkan taraf dan kualiti hidup komuniti yang tinggal di dalam dan di sekitar kawasan Hutan Simpan Kekal melalui projek pembinaan infrastruktur asas, program pemerkasaan keupayaan serta latihan kemahiran. Setakat ini, antara program dan projek yang telah dilaksanakan adalah penganjuran Ekspo Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP), pembinaan dua (2) jambatan gantung di Long Kerong, Ulu Baram, dan penganjuran program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA).

107. Projek dan program pembangunan komuniti yang dijalankan mampu meningkatkan pendapatan, menyediakan kemudahan asas, menjana ekonomi alternatif, sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap sumber hutan selari dengan salah satu objektif utama PCDS 2030 iaitu meningkatkan taraf hidup komuniti.

108. Melindungi khazanah alam merupakan tanggungjawab kita semua. Mengiktiraf kepentingan dan sumbangan komuniti dalam memastikan khazanah ini terjaga, Kerajaan Sarawak melalui SFC telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan dan sekaligus membantu meningkatkan sosioekonomi komuniti yang tinggal di kawasan berhampiran dengan TPA. Antara program penting yang sedang dijalankan termasuklah melantik Renjer Penjaga Hidupan Liar (Wildlife Guardian Ranger dan Renjer Hidupan Liar Kehormat (Honorary Wild Life Ranger).

109. Sehingga kini, seramai 247 orang komuniti setempat telah menerima tawaran sebagai Wildlife Guardian Ranger manakala seramai 1,088 orang telah dilantik sebagai Honorary Wild Life Ranger.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Penguatkuasaan Hutan, Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) dan Hidupan Liar

110. Dalam memastikan sumber hasil hutan dan hidupan liar di Sarawak terjaga, Jabatan Hutan Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan.

111. Sejak tahun 2022 hingga April 2024, Jabatan Hutan Sarawak telah merekodkan sejumlah 217 kes kesalahan hutan. Dalam tempoh yang sama, 15 kes didaftar untuk pendakwaan di mahkamah, di mana empat (4) kes telah selesai diputuskan oleh mahkamah, manakala 11 kes masih dalam proses pendakwaan dan perbicaraan. Sebanyak RM1.1 juta kompaun dan RM4.9 juta hasil pelupusan melalui jualan kayu rampasan telah dikutip dalam tempoh tersebut.

112. Manakala, sejak Januari 2024 sehingga April 2024, SFC telah membuka sebanyak sembilan (9) kertas siasatan bagi kes kesalahan yang berkaitan TPA dan hidupan liar. Satu (1) kes telah dibawa ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan manakala lapan (8) lagi kes masih dalam peringkat siasatan.

113. Bagi tempoh masa yang sama, sejumlah 13 kes pada tahun sebelumnya telah didakwa di mahkamah di mana 12 kes telah dikenakan hukuman denda atau penjara, manakala satu (1) kes dikenakan bon berkelakuan baik. Sehingga kini, jumlah kompaun terkumpul sejak awal tahun 2024 adalah sebanyak RM35,500.00, manakala jumlah denda mahkamah adalah sebanyak RM180,492.00.

114. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Jabatan Hutan Sarawak juga telah diberi penarafan semula Corruption Risk Rating dari status risiko tinggi pada tahun 2020 ke status risiko rendah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tahun 2023.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

115. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Opar, berdasarkan rekod Jabatan Hutan Sarawak, Gunong Poi Forest Reserve telah diwartakan melalui Warta GN. 145 (CXLV) pada tahun 1927 dan First Extension pula diwartakan melalui GN. 732 pada tahun 1958. Berdasarkan siasatan di lapangan dan semakan dokumen-dokumen yang berkaitan, hanya Kampung Pasir Hulu yang termasuk di dalam kawasan pewartaan.

116. Manakala bagi Kampung Jantan dan Kampung Temaga Dayak, pertindihan ke atas kawasan pewartaan hanya melibatkan tanah pertanian yang diusahakan penduduk kedua-dua kampung tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian serta agensi berkaitan sedang dalam peringkat akhir bagi memuktamadkan rekomendasi penyelesaian untuk pertimbangan Kerajaan sebelum tindakan seterusnya diambil.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Sektor Perlombongan Sarawak

117. Sarawak mempunyai kepelbagaian sumber mineral yang amat penting dan bernilai tinggi untuk kegunaan industri tenaga dan pembuatan hiliran (downstream industry). Berdasarkan rekod Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Sarawak, anggaran nilai semasa deposit sumber mineral di Sarawak bagi kawasan seluas lebih kurang 39,824 kilometer persegi atau 3,982,400 hektar atau bersamaan dengan 32 peratus keluasan Sarawak yang telah dibuat kajian kewujudan sumber mineral dan pemetaan geologi yang dianggarkan bernilai lebih kurang RM1.252 trilion.

118. Melalui Post Covid-19 Development Strategy (PCDS) 2030, Kerajaan Sarawak juga berusaha untuk melaksanakan kajian dan pemetaan geologi bagi kawasan seluas lebih kurang 31,474 kilometer persegi atau 3,174,400 hektar atau bersamaan dengan 25.3 peratus keluasan Sarawak yang belum diterokai dengan anggaran kos berjumlah RM300 juta. Peruntukan berjumlah RM21 juta juga telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan setakat 31 Mac 2024, kawasan seluas 1,289 kilometer persegi atau 128,900 hektar telah dilengkapkan kajian dengan kos perbelanjaan berjumlah RM12.1 juta.

119. Kerajaan Sarawak melalui kementerian ini juga telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia (NRES) agar peruntukan yang lebih besar dapat disalurkan kepada pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Sarawak supaya kajian kewujudan sumber mineral di Sarawak dapat dilaksanakan dengan lebih luas. Kajian dan pemetaan geologi ini amat penting bagi membolehkan perancangan guna tanah dan pembangunan industri berasaskan mineral dapat dibuat secara terperinci dan komprehensif oleh Kerajaan.

120. Dalam pembangunan industri berasaskan mineral, Kerajaan Sarawak kini sedang berusaha membangunkan industri hiliran (downstream) terutamanya berasaskan pasir silika bagi pembuatan photovoltaic glass (PV glass) untuk kegunaan penjanaan kuasa solar (tenaga hijau) dan batu kapur (limestone) untuk industri klinker dan simen. Selain itu, kerajaan juga sedang mengkaji potensi industri berasaskan mineral strategik yang bernilai tinggi iaitu Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE). NR-REE diperlukan dalam pelbagai industri pembuatan seperti magnetics, phosphors, ceramics, metal alloys, defense dan sebagainya.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

121. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Baleh, di kawasan Tunoh Kapit, terdapat satu (1) kawasan telah diluluskan untuk dikeluarkan dengan Pajakan Melombong (Mining Lease (ML) yang berkeluasan lebih kurang 1,937 hektar dan satu lagi kawasan berkeluasan lebih kurang 2,344.87 hektar telah diluluskan pembaharuan Lesen Mencarigali Am (General Prospecting License (GPL).

122. Bagi Pajakan Melombong yang telah diluluskan, pajakan berkenaan hanya akan dikeluarkan dan dibenarkan beroperasi setelah syarat-syarat kelulusan khas dipatuhi, di mana antaranya adalah seperti:-

i. Kerja-kerja ukur sempadan perimeter kawasan pajakan melombong telah disiapkan oleh Juruukur Swasta Berlesen yang berdaftar dengan “Land Surveyors Board Sarawak” dan diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Survei;

ii. Memperolehi kelulusan Kajian Terperinci Kebolehupayaan Lombong (Detailed Mine Feasibility Study) dan Pelan Pemulihan Lombong (Mine Rehabilitation Plan) di bawah Minerals Ordinance 2004 daripada Lembaga Pengurusan Mineral Sarawak (State Minerals Management Authority);

iii. Memperolehi kelulusan Environmental Impact Assessment di bawah Natural Resources and Environment Ordinance [Cap.84 (1958 Edition)] daripada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB);

iv. Memperolehi kelulusan Skim Pengendalian Melombong di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Sarawak; dan

v. Memperolehi kelulusan Hidrological Assessment & Water Quality Control and Monitoring daripada State Water Authority.

123. Sekiranya aktiviti perlombongan dilakukan tanpa Pajakan Melombong yang sah, maka boleh disabitkan dengan kesalahan dan dikenakan denda tidak melebihi RM500,000.00 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

124. Bagi kawasan yang telah dikeluarkan dengan tenemen mineral, Kerajaan boleh membatalkan tenemen mineral tersebut sekiranya didapati terdapat pelanggaran syarat-syarat khas dalam tenemen tersebut.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Prestasi Industri Perkayuan Sarawak

125. Prestasi eksport hasil industri perkayuan Sarawak bagi tahun 2023 menurun sebanyak 20 peratus kepada RM3.14 bilion berbanding RM3.95 bilion pada tahun 2022. Penurunan nilai eksport ini adalah kesan daripada pengurangan jumlah eksport produk utama iaitu papan lapis. Jepun kekal sebagai pengimport utama bagi produk perkayuan Sarawak dengan nilai RM1.67 bilion atau 53 peratus daripada keseluruhan nilai eksport.

126. Setakat suku pertama 2024, nilai eksport produk perkayuan adalah RM682 juta berbanding RM752 juta pada tempoh yang sama tahun 2023 iaitu penurunan sebanyak 9 peratus.

127. Jepun kekal sebagai pengimport utama bagi produk perkayuan Sarawak dengan nilai RM387 juta atau 57 peratus. Pasaran utama lain adalah India sebanyak RM104 juta, China RM46 juta, Taiwan RM29 juta dan Filipina RM23 juta.

128. Bagi menyokong aspirasi untuk mempromosikan ekonomi hijau, Sarawak juga mengeluar dan mengeksport kayu pelet. Nilai eksport kayu pelet Sarawak bagi tempoh suku pertama tahun 2024 adalah berjumlah RM22 juta. Ini merupakan peningkatan sebanyak 118 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2023 yang bernilai RM10 juta. Kayu pelet merupakan bahan bakar mesra alam yang digunakan untuk menjana kuasa elektrik. Pasaran utama kayu pelet Sarawak adalah Jepun dan Belanda. Produk biojisim terutama sekali kayu pelet mempunyai satu potensi yang besar untuk pasaran dalaman mahupun eksport kerana kita mempunyai sumber bahan mentah yang mampan. Peluang ini harus dimanfaatkan oleh pemain industri perkayuan di Sarawak.

129. Sejajar dengan aspirasi PCDS 2030 untuk meningkatkan pengeluaran produk kayu bernilai tinggi (high value timber product), PUSAKA telah menghasilkan Engineered Wood Product Blueprint dan Polisi Pembangunan Industri Buluh Sarawak sebagai garis panduan dan hala tuju industri kayu kejuruteraan dan buluh di Sarawak. Pembangunan industri ini dijangka akan mentransformasikan lanskap industri perkayuan dan buluh di Sarawak.

130. PUSAKA selaku pemangkin pembangunan industri perkayuan Sarawak menggalakkan penghasilan produk perkayuan bernilai tambah tinggi dan mampan. Ini dilaksanakan menerusi program penyelidikan dan pembangunan atau R&D secara kerjasama strategik dengan institusi penyelidikan, pengajian tinggi serta penglibatan langsung pihak industri perkayuan. Inisiatif R&D ini dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada “applied R&D” ke arah pengkomersilan.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Industri Buluh

131. PUSAKA komited dalam melaksanakan inisiatif untuk membangunkan industri buluh di Sarawak. Pada tahun 2023 Polisi Pembangunan Industri Buluh Sarawak telah disediakan. Susulan itu, “Jerayawara Program Kesedaran Pembangunan Industri Buluh Sarawak 2023” dan “Pertandingan Produk Kraf Buluh 2023” juga telah diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan pemain industri dalam membangunkan industri ini.

132. Pada Februari 2024, PUSAKA telah membida penganjuran “13th World Bamboo Congress 2026” (13th WBC) di Sarawak. Tujuan pembidaan tersebut adalah untuk mempromosikan industri buluh di samping membolehkan pemain industri mendapat maklumat berhubung perkembangan terkini industri buluh di peringkat global. Ianya sekaligus dapat meningkatkan penyertaan rakyat Sarawak dan pihak swasta serta menarik pelaburan dalam membangunkan industri buluh di Sarawak.

133. Berdasarkan kepada “Bamboo Global Market Report 2023”, pasaran produk buluh di peringkat global adalah berjumlah USD71.63 bilion. Untuk makluman, industri buluh di Sarawak masih lagi di peringkat awal. Maka dengan adanya inisiatif yang dilaksanakan oleh PUSAKA, ianya dijangka dapat membantu meningkatkan pembangunan industri buluh di Sarawak agar berpotensi menghasilkan produk berasaskan buluh untuk pasaran domestik serta bersaing untuk menembusi pasaran global. Oleh yang demikian, PUSAKA telah menyasarkan 10,000 hektar kawasan untuk penanaman buluh menjelang 2030 dengan menggalakkan penglibatan usahasama pihak swasta dan juga komuniti.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Program Pembangunan SME Industri Perabot

134. Selaras dengan usaha Kerajaan untuk memperkasakan industri hiliran bernilai tambah tinggi terutama sekali perabot dan meningkatkan kapasiti pengeluaran industri SMEs, PUSAKA sedang membangunkan STIDC Blueprint for SMEs in Woodworking and Furniture Making Industry in Sarawak 2030. Antara pelan tindakan strategik yang akan dilaksanakan adalah penyusunan semula program pembangunan SME industri perabot Sarawak. Program ini adalah sejajar dengan matlamat PUSAKA untuk meningkatkan pengeluaran perabot untuk pasaran eksport. Perabot, produk kayu kejuruteraan, produk biojisim dan produk berasaskan buluh akan dijangka menyumbang kepada nilai eksport berjumlah RM4 bilion menjelang 2030.

135. Kerajaan Sarawak melalui PUSAKA bercadang untuk mewujudkan kemudahan infrastruktur seperti Taman Industri Perabot (Furniture Park) bagi menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan luar negara. Di samping itu, program-program pembangunan usahawan sedang giat dijalankan untuk meningkatkan penglibatan serta kemahiran pemain industri tempatan supaya berdaya saing.

136. Bagi tujuan tersebut, PUSAKA akan meneruskan program SayD’Signers untuk menghasilkan pereka perabot tempatan. Di samping itu, PUSAKA juga mengadakan kerjasama dengan Institut Kemahiran MARA Alor Setar dan UiTM Sarawak yang dijangka akan melahirkan lebih ramai anak muda untuk menyertai industri perkayuan khasnya industri perabot.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Pengurusan Alam Sekitar

137. Kerajaan Sarawak komited dalam mengurus dan melindungi sumber semulajadi untuk mencapai pembangunan mampan. Sehubungan itu, the Natural Resources and Environment Ordinance [Cap.84 (1958 Edition)] mewajibkan pihak pemaju projek untuk mengemukakan laporan penilaian kesan alam sekitar atau Environmental Impact Assessment (EIA) dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar atau Environmental Management Plan (EMP) untuk kelulusan NREB sebelum projek dimulakan.

138. Bagi suku pertama tahun 2024, NREB telah menerima sejumlah 12 laporan EIA dan 19 laporan EMP. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 11 laporan EIA dan 16 EMP telah diluluskan manakala empat (4) masih dalam pelbagai peringkat penilaian. Dalam tempoh yang sama, daripada 1,207 projek di bawah pemantauan NREB sebanyak 340 projek telah dipantau melalui Post-EIA Inspection. Terdapat sebanyak 28 kes ketidakpatuhan terhadap terma dan syarat kelulusan EIA dan EMP telah direkodkan. Daripada jumlah tersebut, satu (1) kertas siasatan telah dibuka manakala 21 Notis dan enam (6) Notis Akhir telah dikeluarkan oleh NREB. Sebanyak lapan (8) kes telah diselesaikan di mana pihak pemaju projek telah mengambil tindakan pembetulan terhadap ketidakpatuhan tersebut.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Status Kualiti Udara di Sarawak

139. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), negara kita sedang mengalami fasa peralihan monsun (inter-monsoon season) yang bermula pada 29 Mac 2024 dan dijangka berterusan sehingga Mei 2024. Dalam tempoh tersebut, rantau negara termasuk Sarawak dijangka akan mengalami kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa yang singkat pada waktu petang dan awal malam di kawasan selatan dan tengah Sarawak.

140. Pada masa yang sama, METMalaysia juga turut meramalkan fenomena El-Niño berterusan sehingga suku kedua tahun 2024. Keadaan panas dan kering ini boleh meningkatkan risiko berlakunya kebakaran tanah gambut dan belukar. Walau bagaimanapun, setakat ini insiden kebakaran yang dilaporkan berlaku di Kampung Pemukat dan Banting di Lawas dan Kuala Baram di Miri tidak menjejaskan kualiti udara ambien di Sarawak. Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di seluruh Sarawak bagi tempoh Januari sehingga Mac 2024 adalah di dalam kategori Baik (0 hingga 50) dan Sederhana (51 hingga 100).

141. Kerajaan ingin menasihatkan orang awam untuk tidak melakukan pembakaran terbuka terutama sekali semasa cuaca panas dan kering untuk mengelak kejadian jerebu setempat. Sebarang aduan bolehlah diajukan kepada Pejabat NREB dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang terdekat untuk tindakan lanjut.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Prosedur Operasi Standard Untuk Melaksanakan Pencegahan Dan Pemadaman Kebakaran

Di Kawasan Tanah Gambut Di Kuala Baram, Miri

142. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan dan Pemadaman Kebakaran di Kawasan Tanah Gambut yang telah ditambah baik telah diadaptasi oleh lapan (8) syarikat pemilik tanah di Kuala Baram, Miri dengan termeterainya Memorandum of Undertaking (MoU) berkenaan SOP tersebut pada 1 Mac 2024 yang lalu.

143. SOP ini menyarankan beberapa tindakan bagi mencegah kebakaran tanah gambut di Kuala Baram seperti menghalang dari pencerobohan tanah oleh pemburu atau pemancing haram dengan mendirikan pos kawalan keselamatan 24 jam di lokasi strategik serta menjalankan rondaan. Syarikat-syarikat tersebut diwajibkan melantik person-in-charge untuk membuat laporan secara berkala kepada pihak berkuasa, menubuhkan pasukan pemadam api berserta peralatan yang lengkap untuk kesiapsiagaan memadam kebakaran sekiranya ia berlaku di kawasan tanah mereka.

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Kawal Selia Kendiri Alam Sekitar Melalui Audit Pematuhan Alam Sekitar

144. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Kerajaan Sarawak melalui NREB akan mewajibkan pelaksanaan Audit Pematuhan Alam Sekitar (Environmental Compliance Audit – ECA) bagi sektor perhutanan berkuatkuasa mulai 1 Julai 2024. Adalah dijangkakan 101 projek perhutanan yang terdiri daripada 61 Pemegang Forest Timber Licence (FTL) dan 40 Pemegang Licence for Planted Forest (LPF) akan mengadaptasi pendekatan kawal selia kendiri (self-regulation) alam sekitar melalui ECA. Ini adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan akauntabiliti pihak pemaju projek melalui pendekatan kawal selia kendiri dengan memastikan pematuhan terma dan syarat kelulusan laporan EIA, garis panduan atau peraturan lain yang dikeluarkan oleh NREB di bawah Natural Resources and Environment (Audit) Rules, 2008.

145. Bagi memastikan ECA dapat dilaksanakan dengan lancar, NREB telah mengadakan 14 siri latihan audit yang telah berjaya menghasilkan 166 juruaudit berdaftar dengan NREB dalam pelbagai sektor. Melalui kerjasama di antara NREB dan Sarawak Timber Association (STA), projek perintis ECA telah dilaksanakan yang melibatkan sembilan (9) pemegang FTL dan empat (4) pemegang LPF.

146. Dalam masa terdekat, NREB akan memperluaskan pelaksanaan pendekatan kawal selia kendiri alam sekitar ini kepada sektor pertanian, kuari dan perlombongan serta projek mega.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Transfer of Autonomy on Environment under Malaysia Agreement 1963 (MA63)

147. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, proses Transfer of Autonomy on Environment under Malaysia Agreement 1963 (MA63) akan dijalankan secara berfasa. Dalam fasa pertama, Kerajaan Sarawak berhasrat mengambil alih kuasa tadbir urus berkaitan dengan pengurusan buangan terjadual (Scheduled Wastes) bermula pada tahun 2025. Manakala aspek pengurusan efluen industri, kawalan kualiti udara dan pengurusan EIA akan diambil alih pada fasa berikutnya.

148. Bagi memperkasakan pelaksanaan Transfer of Autonomy on Environment under Malaysia Agreement 1963 (MA63), satu (1) rangka kerja pelaksanaan telah disediakan dan diperaku oleh Lembaga NREB pada 2 Ogos 2023. Rangka kerja tersebut yang berada di bawah seliaan Kementerian ini terdiri daripada Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal serta empat (4) Jawatankuasa Kerja yang masing-masing bertanggungjawab berkenaan perkara Perundangan, Sumber Manusia, Pembangunan Sistem dan Infrastruktur.

149. Dari segi perundangan, Kerajaan Sarawak dalam proses meminda the Natural Resources and Environment Ordinance [Cap.84 (1958 Edition)] dengan menambah peruntukan-peruntukan yang berkaitan sebagai punca kuasa bagi membolehkan NREB mengambilalih kuasa autonomi alam sekitar yang menyeluruh dari Kerajaan Persekutuan.

150. Kerajaan Sarawak juga telah meluluskan penyusunan semula organisasi dan keperluan sumber manusia bagi memastikan jumlah tenaga kerja yang mencukupi dan kompeten. Pegawai-pegawai NREB turut didedahkan dengan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya seperti Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual), 2005.

151. Sekiranya wujud keperluan untuk peminjaman atau penyerapan tenaga kerja dari JAS Sarawak ke NREB, ia akan dibincangkan serta diteliti secara bersama dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan JAS Malaysia terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan.

152. Selain itu, NREB juga sedang membangunkan Environmental Information System Sarawak (EnvISS) yang merupakan sistem pengurusan sisa buangan terjadual yang setara dengan yang digunapakai oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) seperti Electronic Scheduled Waste Information System (eSWIS), Mypremis dan Elektronik Kualiti Alam Sekitar (eKAS).

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

153. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Ba’kelalan, Kerajaan Sarawak melalui NREB telah menjalankan pemantauan kualiti air sungai ambien (ambient river water quality) melalui pelaksanaan River Water Quality Monitoring Program (RWQMP) sejak tahun 1999.

154. Pada tahun 2023, berdasarkan pemantauan terhadap 66 batang sungai di seluruh Sarawak, sebanyak 11 sungai adalah dalam kategori Indeks Kualiti Air (IKA) “Bersih” dan 50 sungai dalam kategori “Sederhana Tercemar”. Selebihnya, lima (5) sungai dalam kategori “Tercemar”, iaitu Sungai Kenyana, Sungai Penat, Batang Matu, Batang Jemoreng dan Sungai Miri.

155. Bagi memelihara kualiti dan meminimakan kesan pencemaran air sungai, pihak NREB:-

i. Menjalankan penguatkuasaan melalui Post-EIA Inspection bagi projek-projek yang dilaksanakan di sepanjang sungai untuk memastikan terma dan syarat kelulusan EIA dipatuhi;

ii. Mengadakan kempen kesedaran dan pendidikan alam sekitar dengan komuniti, industri dan pelajar sekolah dengan menerapkan modul berkaitan kepentingan penjagaan sungai; dan

iii. Melaksanakan program pemuliharaan sungai dari semasa ke semasa dengan kerjasama agensi-agensi lain yang berkaitan.

156. Dalam usaha kerajaan untuk rehabilitasi kualiti air Sungai Plan, Bintulu, NREB telah menandatangani satu MoU dengan MLNG Sdn. Bhd., JAS Sarawak, Bintulu Development Authority serta Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu bagi melaksanakan projek pemuliharaan sungai tersebut dalam tempoh empat (4) tahun. Melalui projek ini, baseline data akan dikumpul dan pemantauan bulanan akan dilakukan bagi mengenalpasti trend kualiti air sungai tersebut.

157. Bagi Sungai Miri pula, inisiatif bagi meminimakan pencemaran sungai akibat pencemaran air kumbahan (grey and black waste water) pula, Kerajaan Sarawak telah menyiapkan projek Sistem Pembentungan Berpusat Fasa 1 untuk Bandaraya Miri pada awal tahun 2024. Kerja-kerja penyambungan sistem tersebut ke kawasan perumahan, bangunan komersil dan pejabat kerajaan dijangka siap pada suku ketiga tahun 2024. Bagi persediaan pelaksanaan Fasa 2 projek ini, Valuation Lab telah diadakan pada bulan Mac 2024 yang lalu.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Pengiktirafan

158. Kementerian bersama-sama dengan jabatan dan agensi di bawahnya sentiasa komited untuk memberi perkhidmatan yang berkualiti secara berterusan. Usaha-usaha ini telah diiktiraf melalui pelbagai anugerah yang telah diterima di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya adalah:-

i. Jabatan Tanah dan Survei

a) Empat (4) Anugerah Emas dan tiga (3) Anugerah Khas sempena Malaysia Technology Expo (MTE) 2024 di bawah kategori International Innovation Awards (IIA) dan Public Service Innovation Asia (PSIA);

b) Kategori Emas Anugerah Integriti, Tadbir Urus dan Anti Rasuah (AIGA) 2023; dan

c) Anugerah Emas Setiausaha Kerajaan Sarawak bagi Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS).

ii. Jabatan Hutan Sarawak

a) Anugerah Emas Premier Sarawak bagi Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS) 2022;

b) Dua (2) Anugerah Emas dan satu (1) Anugerah Khas sempena Malaysia Technology Expo (MTE) 2024 di bawah kategori Public Service Innovation Asia (PSIA); dan

c) Kategori Emas Anugerah Integriti, Tadbir Urus dan Anti Rasuah (AIGA) 2023.

iii. Sarawak Forestry Corporation

Kategori Gangsa Anugerah Integriti, Tadbir Urus dan Anti Rasuah (AIGA) 2023.

iv. PUSAKA

Anugerah Gangsa Premier Sarawak bagi Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS) 2022.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

Pengurusan Hal Ehwal Islam Di Sarawak

159. Sekarang saya ingin menyentuh beberapa perkara yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat berhubung dengan pengurusan hal ehwal Islam di Sarawak.

160. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Balingian, Kerajaan Sarawak akan meneliti cadangan pembinaan masjid di Kampung Seberang Mukah, demi memenuhi keperluan masyarakat Islam setempat. Buat masa kini, surau di Kampung Sungai Alo boleh menampung keperluan semasa masyarakat sekitar dan bahkan surau ini telah pun diberi kelulusan untuk mendirikan solat Jumaat.

161. Berhubung dengan cadangan pembinaan balai cerap di Kampung Sungai Alo, Mukah pula, buat masa ini Kerajaan belum ada perancangan untuk menambah bilangan balai cerap di Sarawak.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

162. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Kabong, cadangan pembinaan Masjid Baharu Daerah Kabong bagi menampung kapasiti 3,000 orang jemaah telah mendapat kelulusan pelan bangunan daripada Majlis Daerah Saratok. Tender untuk pelaksanaannya akan dijadualkan pada bulan Jun 2024 dan pembinaannya dijangka akan bermula pada penghujung tahun ini.

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

163. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Beting Maro, buat masa ini belum ada cadangan untuk pembinaan sekolah rendah Islam antarabangsa di kawasan Beting Maro. Walau bagaimanapun, kerajaan sedang membina Sekolah Menengah Islam Antarabangsa di Kuching dan dijangka mula beroperasi pada tahun 2027. Sekolah antarabangsa ini akan memberi peluang kepada murid-murid di seluruh Sarawak termasuk daripada kawasan Beting Maro untuk melanjutkan pelajaran menggunakan kurikulum al-Azhar dan International General Certificate Secondary Education (IGCSE).

 

Tan Sri Datuk Amar Speaker,

164. Perkara berkaitan dengan pengisytiharan status agama seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat bagi Pending sebenarnya telah diajukan melalui soalan bertulis beliau. Jawapan bagi soalan tersebut telah pun kita kemukakan ke Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri yang mulia ini. Oleh itu, saya tidak berhasrat untuk mengulang jawapan tersebut dan Ahli Yang Berhormat bolehlah mendapat jawapan tersebut dari Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri.

 

PENUTUP

Dari Lawas ke Tanjung Belawai,

Ku kerahkan tenaga untuk berkayak,

Selamat Menyambut Hari Gawai,

Buat rakan keturunan Dayak.

 

Gayu Guru Gerai Nyamai,

Lantang Senang Nguan Menua.

 

165. Saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Wesak bagi yang meraikannya.

166. Demikianlah saja Ucapan Penggulungan saya bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar.

 

Sekian, terima kasih.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan