Search
Close this search box.
Anwar hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Iran, di atas tragedi yang menimpa Presiden Ebrahim Raisi bersama delegasi kepemimpinan negara itu, dalam satu nahas helikopter di barat laut Iran, pada Ahad. (Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Anwar zahir takziah, nyata solidariti Malaysia kepada Iran susulan nahas libatkan Presiden Raisi

ByBernama

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Iran, di atas tragedi yang menimpa Presiden Ebrahim Raisi bersama delegasi kepemimpinan negara itu, dalam satu nahas helikopter di barat laut Iran, pada Ahad.

Anwar berkata Malaysia juga berduka atas tragedi berkenaan dan bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran.

“Terkesan dan sedih tatkala menerima laporan mengenai insiden pesawat di wilayah utara Iran melibatkan Presiden Iran Ebrahim Raisi dan delegasi kepemimpinan Iran, termasuk Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian

“Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran, dan semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisiNya,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri dalam hantaran sama turut berkongsi sekeping gambar beliau bertemu Raisi pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat, November tahun lepas.

Anwar berkata dalam pertemuan itu beliau dan Raisi telah menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.

“Raisi menonjolkan sikap yang terbuka tetapi tegas, terutamanya dalam soal pembangunan rakyatnya serta punyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat.

“Saya selesa bekerjasama dengan beliau dan tragedi ini tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam, terutamanya dalam perjuangan membela warga Palestin,” kata Anwar.

Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS) Pir-Hossein Kolivand hari ini menyatakan bahawa, tiada mangsa selamat ditemukan di lokasi helikopter terhempas di barat laut Iran yang membawa Presiden Iran Ebrahim Raisi.

Helikopter Raisi terhempas pada petang Ahad di kawasan Varzaqan, ketika beliau dalam penerbangan pulang bersama Menteri Luar Hossein Amirabdollahian dan beberapa individu lain, daripada upacara perasmian empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan