Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ditemui media selepas program ‘Penyertaan Paling Ramai Peserta Memakai Pakaian Etnik’ dalam Persembahan Tarian Koreografi untuk menempa nama dalam The Malaysia Book of Record, di Tebingan Kuching, di sini, hari ini. Foto, Mohd Raffiq (TVS).

Sarawak minta Putrajaya rangka mekanisme kawal inflasi

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 19 Mei: Sarawak meminta Kerajaan Persekutuan supaya merangka mekanisme bagi mengawal inflasi yang mungkin berlaku selepas kenaikan gaji penjawat awam hujung tahun ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, secara asasnya kenaikan lebih 13 peratus seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mampu merancakkan ekonomi negara, namun kesan inflasi menjadi kerisauan.

Kata Abang Johari, beliau tidak mahu berlaku kenaikan barang secara mendadak.

“Jika kadar inflasi meningkat, maka tiada kebaikan untuk menaikkan gaji.

“Oleh itu, dasar ekonomi kita mesti seimbang dan pihak bank hendaklah memberi input mengenai inflasi, yang mana jika kita menaikkan kadar faedah, aliran wang dalam pasaran akan berkurangan dan mahu tidak, harga barang akan menurun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir program Penyertaan Paling Ramai Peserta Memakai Pakaian Etnik’ dalam Persembahan Tarian Koreografi untuk menempa nama dalam The Malaysia Book of Record, di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni Persembahan dan Industri Kreatif Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak tidak mahu kuasa beli pengguna masih sama apabila skim gaji baharu dilaksanakan kerana ia tidak akan memberi manfaat yang menyeluruh.

“Sebab itu, Kerajaan Persekutuan khususnya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan hendaklah melihat inflasi seperti jumlah peratusan kenaikan dan implikasinya kepada aliran wang di dalam pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, kata Abang Johari, Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan dengan meningkatkan produktiviti pekerjaan berkemahiran tinggi bagi mengatasi kesan inflasi.

“Apa yang boleh dilakukan ialah kita mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi, sebab itu, petani (perlu) menggunakan mesin berteknologi yang turut meningkatkan pendapatan mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, menerusi pendekatan itu, Kerajaan Sarawak memberi tumpuan kepada pembangunan bakat kemahiran di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.

Sementara itu, mengulas mengenai pelarasan gaji pejawat awam Sarawak, Abang Johari berkata, kerajaan negeri mempunyai kajian yang telah diarahkan kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak yang mana pihak swasta perlu mengikut gaji minimum yang telah ditetapkan dalam perkhidmatan awam, berdasarkan kepada kemampuan mereka. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan